Pengasuhan Positif

Komplikasi Influenza dan Bagaimana Ia Menjejaskan Tubuh

Jangkitan influenza (flu) pada kanak-kanak selalunya ringan, dan ibu bapa sering menganggapnya penyakit yang biasa.1 Tetapi flu tidak seringan yang anda sangka. Ia boleh mengakibatkan komplikasi bahaya yang menjejaskan lebih daripada sistem pernafasan.

 

Pengenalan kepada influenza

Influenza ialah jangkitan virus yang mudah tersebar dan menjejaskan sistem pernafasan. Ia biasanya tersebar melalui hubungan rapat dengan individu yang dijangkiti (melalui titisan pernasafan daripada batuk, bersin, dll).

 

Antara gejala dalam kanak-kanak ialah demam, batuk, sakit kepala, sakit tekak, dan muntah-muntah.2 Dalam sesetengah kes, kanak-kanak boleh mendapat komplikasi teruk yang menjejaskan sistem organ selain daripada peparu.

 

Influenza dan sistem organ tubuh

Influenza dan jantung

Jangkitan influenza boleh menjejaskan tekanan darah, kadar degupan jantung, dan fungsi jantung. Walaupun ini lebih bermasalah bagi warga tua dengan masalah jantung, dalam kes-kes terpencil ia boleh menjejaskan kanak-kanak, terutamanya yang mempunyai masalah jantung kongetinal atau kronik.

 

Terdapat juga laporan di mana influenza menjangkiti otot jantung secara langsung dan menyebabkan keradangan (myokarditis).

 

Myokarditis boleh menyebabkan komplikasi lain seperti:

  • Jantung membesar (dilated cardiomyopathy)
  • Kegagalan jantung
  • Ritma jantung abnormal

 

Influenza dan otak

Jangkitan influenza juga boleh menjejaskan otak dan menyebabkan pelbagai komplikasi. Komplikasi ini menyebabkan kadar kematian yang tinggi, dan bagi yang terselamat, mereka juga berisiko tinggi mendapat kecacatan saraf. Berikut beberapa komplikasi influenza melibatkan otak:

  • Ensefalopati Berkaitan Influenza. Kerosakan otak yang boleh menyebabkan sawan, koma, malah kematian. Berbanding orang dewasa, ensefalopati lebih kerap berlaku pada kanak-kanak antara umur 6-18 bulan.
  • Jangkitan otak secara langsung yang menyebabkan keradangan. Ini boleh mengakibatkan kerosakan otak, pendarahan dalam otak, dan kemusnahan saraf.
  • Sindrom Guillain-Barré. Satu penyakit di mana sistem imun tubuh menyerang diri sendiri dan ini menjejaskan saraf dalam tubuh, lalu menyebabkan kelemahan otot dan kelumpuhan.

 

Influenza dan sistem pernafasan

Sistem pernafasan ialah sasaran utama virus influenza. Ini boleh menyebabkan pelbagai komplikasi seperti:

 

  • Jangkitan peparu di mana kantung udara kecil (alveoli) menjadi radang. Ini biasanya berlaku pada kanak-kanak kecil, warga tua, dan wanita hamil. Pneumonia boleh menjejaskan salah satu atau kedua-dua peparu.
  • Keradangan dan kerengsaan dalam saluran udara peparu (bronkus). Dalam kes yang teruk, ini boleh menyebabkan penyempitan salur darah dalam peparu, lalu meningkatkan tekanan darah.
  • Keradangan sinus, yang boleh menyebabkan hidung tersumbat, sakit berdekatan mata, sakit kepala yang teruk, sukar bernafas, deria bau dan rasa yang berkurangan, dan lenguh leher.

Influenza ialah satu jangkitan yang kerap berlaku merentas umur. Walaupun majoriti kes adalah ringan, penting bagi ibu bapa untuk menyedari bahawa kanak-kanak kecil adalah antara kumpulan berisiko tinggi mendapat komplikasi teruk. Oleh itu, ibu bapa harus memahami komplikasi ini dan cuba mencegah influenza daripada menjangkiti si kecil. Sebagai ibu bapa, kita bertanggungjawab ke atas kesihatan anak kita. Oleh itu, penting untuk merujuk doktor tentang influenza dalam kanak-kanak, komplikasi yang boleh terjadi, dan mengambil langkah yang wajib bagi menjamin kesihatan anak anda.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen