Pengasuhan Positif

Komplikasi COVID-19 Terhadap Kanak-kanak

Sesetengah kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19 akan mendapat komplikasi teruk yang boleh menjejaskan kesihatan mereka. Berikut beberapa contoh komplikasi COVID-19 terhadap kanak-kanak.

 

Sindrom Keradangan Multisistem dalam Kanak-kanak (Multisystem Inflammatory Syndrome in Children, MIS-C)

Apa itu MIS-C?

MIS-C ialah komplikasi COVID-19 yang jarang berlaku dalam kanak-kanak, yang menyebabkan keradangan pelbagai sistem organ (biasanya dua atau lebih), seperti jantung, buah pinggang, peparu, otak dan saluran penghadaman.

 

Gejala MIS-C

  • Demam, sukar bernafas, tekanan atau sakit di dada, kulit pucat atau kebiruan, pening, nodus limfa bengkak, ruam, sakit perut, cirit-birit dan muntah.

Bagaimana ia dirawat?

Ketika ini, tiada rawatan khusus untuk MIS-C, tapi doktor biasanya akan memberi rawatan sokongan dan ubatan untuk mengurangkan keradangan. Mujurlah, MIS-C bukan masalah kronik. Kanak-kanak yang terjejas boleh sembuh daripada MIS-C dengan rawatan yang sewajarnya.

COVID Berpanjangan

Apa itu COVID Berpanjangan?

COVID Berpanjangan (juga dikenali sebagai “Long COVID” atau “Masalah Pasca-COVID”) boleh menjejaskan mana-mana kumpulan umur, termasuk orang dewasa dan kanak-kanak. Individu dengan COVID Berpanjangan mengalami gejala berlarutan, malah mungkin mendapat gejala baru, sehingga beberapa bulan setelah mula-mula dijangkiti.

Gejala COVID Berpanjangan

  • Keletihan
  • Masalah bernafas
  • Rasa lemah
  • Sakit dada
  • Batuk
  • Kemurungan atau keresahan
  • Jantung berdebar
  • Sakit otot
  • Hilang deria bau atau rasa.

Bagaimana ia dirawat?

Tiada rawatan tunggal yang berkesan untuk COVID Berpanjangan. Sebaliknya, doktor akan bertindak untuk merawat gejala menggunakan ubatan. Selain itu, para pakar dirujuk untuk menilai sesetengah gejala (cth. kanak-kanak dengan sakit dada biasanya perlu berjumpa pakar kardiologi). Mujurlah, kanak-kanak biasanya sembuh lebih pantas berbanding orang dewasa.

Tip Pencegahan COVID-19 Dalam Kanak-kanak

Kesimpulannya, jangkitan COVID-19 biasanya ringan dalam kanak-kanak. Namun, sebilangan kecil kanak-kanak yang dijangkiti boleh mendapat komplikasi teruk seperti MIS-C dan COVID Berpanjangan, terutamanya yang menghidap penyakit kronik atau mempunyai sistem imun yang lemah. Sebagai ibu bapa, penting bagi kita untuk melindungi si manja sebaik mungkin. Ini termasuklah memahami komplikasi yang boleh terjadi dan bagaimana kita boleh mencegah penyakit.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen