Pengasuhan Positif

Imunisasi Tertangguh atau Terganggu: Jangan Ketinggalan!

Sudahkah anak anda mendapat semua suntikan vaksin? Adakah dia terlepas mana-mana suntikan, terutamanya semasa tempoh kawalan pergerakan? Sudahkah anda mendapatkan dos susulan (catch-up) untuknya? Berikut perkara yang perlu anda tahu tentang imunisasi tertangguh atau terganggu.

 

Pada Julai tahun lepas, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization, WHO) melaporkan penyusutan terbesar vaksinasi kanak-kanak sejak lebih kurang 30 tahun. WHO menyatakan 25 juta kanak-kanak terlepas satu atau lebih dos vaksin DTP (untuk difteria, tetanus dan pertusis) pada tahun 2021. Ini mencetuskan kebimbangan tentang peningkatan bilangan kanak-kanak yang berisiko mendapat penyakit berbahaya yang boleh dicegah.

 

Terdapat beberapa punca bagi penyusutan ini, termasuklah pandemik COVID-19, serta kekurangan akses kepada perkhidmatan kesihatan bagi kanak-kanak yang tinggal di kawasan konflik dan di negara berpendapatan rendah dan menengah. Tambahan pula, penyebaran maklumat palsu yang berbahaya oleh aktivis antivaksin telah mencetuskan keraguan terhadap keberkesanan vaksin. WHO merumuskan bahawa penyusutan yang berterusan ini telah menyebabkan penurunan imunisasi kanak-kanak untuk seluruh generasi, dan ini akhirnya akan menyebabkan lebih banyak wabak penyakit di masa depan.

 

Ini sememangnya satu kerisauan, dan sebagai ibu bapa, kita perlu memberi perhatian terhadap hal ini. Malaysia juga tidak terlepas kerana terdapat kes penangguhan dan gangguan imunisasi di sini. Penting bagi ibu bapa untuk memahami jika anda memilih untuk menangguhkan, melangkau atau menolak vaksin, ini satu risiko bukan saja ke atas anak anda, malah untuk komuniti.

 

Apa itu imunisasi tertangguh atau terganggu?

Imunisasi tertangguh ialah situasi apabila jadual vaksinasi seseorang kanak-kanak terlewat berbanding jadual yang disarankan tapi belum terlepas sepenuhnya, manakala imunisasi terganggu ialah situasi apabila seseorang kanak-kanak terlepas satu atau lebih dos vaksin. Sebagai contoh, semasa pandemik ramai kanak-kanak/bayi mungkin terlepas vaksinasi kerana perintah kawalan pergerakan atau terdapat seseorang dalam keluarga yang dijangkiti COVID-19.

 

Vaksinasi yang tepat pada masanya adalah penting bagi memastikan populasi dilindungi sepenuhnya daripada penyakit boleh dicegah vaksin dan mengekalkan imuniti kelompok. Imunisasi tertangguh atau terganggu meningkatkan risiko penyakit boleh dicegah vaksin. Amat penting untuk mendapatkan semula dos vaksin yang terlepas dan mengikuti jadual vaksinasi yang disarankan agar anak anda mendapat perlindungan secukupnya daripada penyakit yang boleh dicegah.

 

Menyedari bahawa bukan semua kanak-kanak boleh mendapatkan vaksinasi mengikut masa, WHO memperkenalkan jadual “vaksinasi susulan” bagi sesiapa yang imunisasi mereka terganggu atau bermula lewat, dengan saranan terperinci bagi semua imunisasi, termasuklah vaksin HepB (hepatitis B), MMR (campak-beguk-rubela) dan DTP (difteria-tetanus-pertusis).

 

Apakah akibat terlepas vaksinasi?

Menangguhkan imunisasi kanak-kanak boleh menyebabkan banyak kesan, termasuklah meningkatnya kerentanan terhadap penyakit boleh dicegah vaksin seperti hepatitis B, pertusis dan difteria. Dalam situasi paling buruk, penyakit-penyakit ini boleh mengakibatkan komplikasi serius, termasuklah kemasukan ke hospital, kerosakan otak, malah kematian. Kanak-kanak yang tidak divaksin juga boleh menyebarkan penyakit berjangkit kepada orang lain, termasuklah orang yang tidak boleh menerima vaksin kerana masalah kesihatan atau sistem imun yang lemah.

 

Apa yang harus saya lakukan jika anak saya terlepas vaksinasi?

Jangan risau! Jumpa doktor anda untuk membincangkan langkah terbaik untuk ‘mengejar semula’ vaksinasi yang tertangguh atau terlepas untuk anak anda. Jadual vaksinasi susulan atau yang dipercepatkan mungkin disarankan bagi memastikan kanak-kanak dilindungi sepenuhnya dengan secepat mungkin daripada penyakit boleh dicegah vaksin. Doktor juga akan menentukan vaksin mana yang diperlukan berdasarkan umur dan status kesihatan anak anda, lalu menyarankan jarak masa yang sesuai untuk dos susulan (catch-up) jika perlu.

 

Kesan daripada penangguhan atau gangguan imunisasi kanak-kanak boleh jadi serius, sama ada kepada kanak-kanak tersebut serta komuniti di sekitarnya. Maka, para ibu bapa wajib memastikan anak mereka menerima semua vaksin yang disarankan – mengikut masanya jika boleh, atau dapatkan dos susulan – demi melindungi kesihatan mereka dan mencegah penyebaran penyakit berjangkit.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen