Pengasuhan Positif

Hepatitis B: Ancaman Kepada Hati

Pada 2019, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan terdapat sekitar 296 juta orang menghidap hepatitis B kronik, sejenis jangkitan hati yang boleh mengancam nyawa, dengan 1.5 juta jangkitan baru setiap tahun. Tapi apakah yang anda tahu tentang penyakit ini?

 

Hepatitis B ialah penyakit hati yang disebabkan oleh virus hepatitis B (HBV). Walaupun ia merupakan masalah kesihatan sedunia yang meningkatkan risiko kerosakan hati, kanser hati, malah kematian, pesakit hepatitis B masih boleh mengawal penyakit mereka dan menjalani hidup yang sihat. Jika anda, anak anda atau mana-mana ahli keluarga menghidap hepatitis B, amat penting untuk mempelajari tentang penyakit tersebut untuk mengetahui apa yang perlu anda hadapi dan bagaimana untuk mencegahnya daripada bertambah buruk.

 

Bagaimana hepatitis B tersebar?

Hepatitis B tersebar apabila seseorang terdedah kepada darah atau cecair daripada tubuh seseorang pesakit. Kebiasaannya, ia tersebar daripada ibu yang menghidap hepatitis B kepada bayinya semasa kelahiran. Ia juga boleh tersebar melalui hubungan seks tanpa perlindungan dengan pesakit, serta menerusi perkongsian jarum atau barangan peribadi yang mungkin terdedah kepada darah atau cecair tubuh yang dijangkiti. Namun, anda harus tahu bahawa hepatitis B tidak tersebar melalui batuk, bersin, pelukan, memasak dan berkongsi makanan.

Bagaimana kalau anak saya dijangkiti hepatitis B?

Jika anak anda menghidap hepatitis B, amat penting untuk mendapatkan rawatan awal. Keparahan hepatitis B berbeza antara individu. Ramai bayi dan kanak-kanak mungkin tiada gejala atau hanya bergejala ringan kerana mereka masih dalam fasa imunotoleran. Ketika ini, tubuh tidak mencetuskan tindak balas imun ke atas virus yang sedang mereplikasi. Namun, jika jangkitan berterusan, gejala berikut mungkin akan muncul:

Kanak-kanak yang menghidap hepatitis B kronik boleh menjalani hidup yang normal tapi perlu pengawasan perubatan secara berkala. Ini termasuklah melalui saringan ultrabunyi bagi mengesan kanser hati di peringkat awal dan ujian fungsi hati yang boleh mengesan jika pesakit telah memasuki fasa imunoaktif melalui parameter hati yang abnormal.

 

Pada fasa ini, kerosakan sel hati akibat tindak balas imuniti mungkin terjadi. Rawatan mungkin perlu dimulakan ketika ini untuk mengawal virus dan mencegah kerosakan hati. Sebagai langkah pencegahan, ahli keluarga lain juga perlu diuji dan divaksin.

 

Bagaimana cara mencegah hepatitis B?

Cegah jangkitan hepatitis B dengan mengamalkan langkah-langkah berikut:

 

  • Mengambil vaksin: Vaksinasi ialah cara terbaik untuk mencegah hepatitis B. Dalam Program Imunisasi Kebangsaan, satu dos vaksin HepB diberi selepas lahir, kemudian sebagai vaksin enam serangkai pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan. Perlindungan boleh bertahan sekurang-kurangnya 20 tahun dan mungkin seumur hidup. Vaksin HepB juga disarankan kepada kanak-kanak lebih tua dan orang dewasa yang berisiko dijangkiti hepatitis B, manakala vaksin HepA pula disarankan kepada pesakit hepatitis B kronik. Disarankan juga untuk memeriksa tahap antibodi secara berkala, terutamanya bagi individu yang tinggal bersama pesakit hepatitis B kronik. Jika rendah, suntikan penggalak mungkin diperlukan.
  • Berhati-hati dengan darah/cecair tubuh: Elakkan pendedahan langsung dengan darah dan cecair tubuh, dan basuh tangan sepenuhnya dengan sabun dan air jika terdedah. Lindungi semua luka dengan elok. Buang tisu atau tuala wanita ke dalam beg plastik.
  • Jangan kongsi barangan peribadi: Terutamanya barangan yang mungkin terdedah kepada darah dan cecair tubuh, seperti pisau cukur, pemotong kuku, berus gigi, subang atau tindik lain.
  • Berhati-hati menggunakan jarum: Pastikan jarum baru dan steril digunakan untuk menindik telinga atau bahagian tubuh lain, tatu dan akupuntur, dan amalan kebersihan diamalkan.
  • Amalkan hubungan seks selamat: Penghidap hepatitis B perlu menggunakan kondom semasa hubungan seks untuk mengurangkan risiko penyebaran.

 

Hepatitis B biasanya merupakan penyakit yang ringan dan berjangka pendek. Namun ia boleh mengubah hidup seseorang selamanya jika bertukar menjadi jangkitan kronik, yang boleh menyebabkan masalah kesihatan yang mengancam nyawa seperti penyakit hati atau kanser hati. Kanak-kanak kecil dan golongan rentan lain adalah yang paling berisiko. Dengan vaksinasi dan langkah-langkah berjaga di atas, anda boleh mencegah anak anda dan keluarga daripada dijangkiti hepatitis B.

 

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen