Pengasuhan Positif

5 Soalan Tentang Penderaan Kanak-kanak Secara Fizikal

Kanak-kanak boleh cedera dengan teruk jika mereka didera secara fizikal oleh ahli keluarga atau orang yang bertanggungjawab menjaga mereka. Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mengenal pasti kemungkinan berlakunya penderaan kanak-kanak dan melaporkannya.

 

  1. Apa itu penderaan kanak-kanak secara fizikal?
    • Penderaan fizikal berlaku apabila ibu bapa atau orang yang bertanggungjawab menjaga seorang kanak-kanak melakukan kekerasan secara sengaja ke atas tubuh kanak-kanak itu dan mencederakannya.
    • Contohnya:
      • Memukul dengan tangan kosong atau pelbagai objek
      • Menampar, mencubit, menumbuk, menolak, menyepak
      • Menarik rambut atau menggoncang dengan ganas
      • Menyebabkan kelecuran dengan objek atau cecair panas
      • Meletakkan bahan seperti cili ke dalam mulut atau pada bibir
      • Mengurung dalam tempat tertutup
      • Meletakkan dalam posisi tidak selesa
      • Sengaja tidak memberi makanan atau air

 

  1. Apakah antara keadaan yang boleh meningkatkan risiko penderaan fizikal ke atas kanak-kanak?
    • Orang dewasa yang tidak berkemampuan menjaga kanak-kanak
    • Orang dewasa yang dipengaruhi alkohol atau dadah
    • Ibu bapa yang muda dan tidak berpengalaman
    • Ahli keluarga dengan masalah mental yang tidak dirawat
    • Tekanan kerana kuat bekerja, masalah kewangan, tidak cukup tidur dan kurang sokongan
    • Pertengkaran keluarga yang bertukar ganas
    • Perubahan mendadak di rumah atau dalam keluarga
    • Kanak-kanak kecil dan kanak-kanak yang kurang diawasi lebih berisiko didera

 

  1. Apa boleh berlaku apabila kanak-kanak didera secara fizikal?
    • Lebih kecil seseorang kanak-kanak, lebih tinggi risiko cedera parah.
    • Kecederaan paling kerap terjadi pada kulit, seperti lebam, luka atau melecur.
    • Ada kanak-kanak yang patah tulang.
    • Bayi yang digoncang dengan ganas atau dipukul di kepala boleh mendapat pendarahan dalaman yang boleh menyebabkan maut atau kerosakan otak.
    • Pukulan ke atas tubuh boleh memecahkan organ dalaman seperti hati atau usus.
    • Masalah psikologi jangka panjang, cth. keresahan, kemurungan, masalah pembelajaran, rendah keyakinan diri, tingkahlaku agresif dan antisosial.

 

  1. Apakah langkah yang boleh diambil untuk mencegah penderaan fizikal?
    • Pastikan anak anda dipantau dengan teliti.
    • Kenali penjaga anak anda. Bawa bayi anda ke klinik jika terdapat lebam pada tubuhnya selepas pulang dari pusat jagaan.
    • Beri perhatian pada kanak-kanak jika dia memberitahu terdapat seseorang memukulnya. Jangan tunggu sampai dia cedera.
    • Bina jaringan sokongan antara keluarga, rakan dan jiran.
    • Jangan bertindak semasa marah. Tenangkan diri sebelum mengambil tindakan untuk memperbetulkan kelakuan anak anda.
    • Dapatkan pertolongan atau kaunseling jika anda ada masalah, cth. panas baran, penyalahgunaan dadah atau alkohol.

 

  1. Apa yang patut dilakukan jika ada kanak-kanak yang didera?
    • Buat laporan melalui:
      • Talian Nur 15999 oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia
      • Hospital (pusat khidmat krisis sehenti)
      • Polis (untuk kes penderaan seksual/fizikal)
    • Berikan maklumat (cth. nama kanak-kanak, lokasi, sebab pencederaan disyaki).
    • Doktor, ahli keluarga dan penjaga diwajibkan oleh undang-undang untuk melaporkan kejadian jika mereka sedar kanak-kanak telah didera.

 

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang topik ini, sila dengar ParentFlix Podcast: Recognising Physical Abuse in Children dengan mengimbas kod QR berikut:

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen