Pengasuhan Positif

Anak Remaja Saya Tak Mahu Bercakap!

Zaman remaja boleh jadi sukar untuk hubungan kekeluargaan. Si manja anda yang sentiasa ketawa dan bermain dengan anda ketika berumur 5 tahun, kini menjadi remaja 14 tahun yang sering mengurung diri dalam bilik untuk bermain permainan video dan cuma mengeluh atau menjawab sepatah apabila ditanya.

Apabila kanak-kanak memasuki alam remaja, ramai yang perlahan-lahan berhenti bercakap dengan ibu bapa. Tapi jangan risau! Ini perkara normal ketika remaja. Anak anda sedang menghadapi masa peralihan yang sukar daripada kanak-kanak ke dewasa dan pelbagai perkara baru seperti perubahan hormon dan fizikal, serta tekanan rakan sebaya.

Kenapa mereka berhenti bercakap?

Terdapat pelbagai sebab kenapa anak remaja anda menjauhkan diri. Mereka mungkin mengenali anda lebih daripada yang anda sangka dan boleh mengesan apabila anda tertekan atau sibuk. Mereka tidak mahu menambah beban anda dan lebih suka menyimpan masalah sendiri kerana tidak mahu anda risau.

Mereka juga mungkin takut yang anda akan marah. Sudah lebih sedekad mereka mempelajari kelakuan apa yang anda tidak suka. Oleh itu, mereka tidak mahu memberitahu anda bahawa mereka akan atau telah melakukan sesuatu yang salah.

Selain itu, ada kemungkinan mereka berasa anda tidak akan faham apa yang mereka lalui. Bayangkan mereka mahu mendapatkan tatu atau bertindik. Kebanyakan ibu bapa dan remaja pasti sukar berbicara secara tenang dan rasional tentang topik tersebut, jadi remaja akan mengelakkan perbualan tersebut.

Perkara salah yang mungkin anda lakukan

Ibu bapa sering menjadikan setiap topik sebagai ceramah atau bertanya terlalu banyak soalan, lalu membuatkan remaja rasa terkongkong. Anda juga mungkin tersilap apabila tidak mengakui perasaan anak anda dengan menganggapnya sekadar berkelakuan dramatik atau mengada-ada. Jangan remehkan perasaan mereka dan pastikan mereka tahu bahawa tak mengapa untuk berperasaan begitu. Oleh itu, mereka akan rasa difahami dan selesa untuk bercakap dengan anda.

Apa anda boleh lakukan?

  • Cuba adakan interaksi positif dengan anak remaja anda
  • Kongsi perkara dalam hidup anda
  • Jika anda terbuka, anak anda juga pasti akan mengikut anda
  • Ajak anak anda menyertai aktiviti yang anda berdua gemari
  • Duduk dan makan bersama anak anda
  • Anggap dan hormati anak anda sebagai orang dewasa apabila bercakap dengannya

Tanda amaran

Jika remaja anda langsung tidak bercakap dengan sesiapa, menghabiskan masa dalam bilik dengan pintu tertutup, menjauhkan diri daripada rakan-rakan, hilang minat terhadap aktiviti yang digemarinya dulu, atau menjadi semakin terasing, ini mungkin bukan sekadar perkembangan normal remaja. Dalam hal ini, cuba siasat sekiranya dia mengalami trauma (contohnya akibat buli) atau menyalahgunakan dadah atau alkohol.

Akhir sekali, remaja memerlukan ruang mereka sendiri tapi masih memerlukan ibu bapa. Maka, apabila mereka cuba menjauhkan diri daripada anda, anda juga perlu berusaha untuk merapatkan jurang tersebut! Dengan ini, anda boleh mempunyai hubungan yang sihat dan positif dengan remaja anda – hubungan yang berdasarkan kasih sayang, komunikasi dan hormat.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen