Pengasuhan Positif

Menjamin Hidup Sihat Untuk Kanak-kanak Dengan Hemofilia

Jika anak anda menghidap masalah hemofilia, malah mana-mana masalah genetik pun, pelbagai perubahan gaya hidup perlu diterapkan bagi menjamin jangka hayat yang sihat untuk anak anda. Berikut beberapa perkara yang ibu bapa perlu tahu bagi menjamin hidup yang sihat untuk kanak-kanak dengan hemofilia.

Hemofilia secara ringkas

Hemofilia ialah masalah darah keturunan (genetik) yang terjadi apabila darah tidak boleh membeku kerana kekurangan protein darah tertentu yang menjadi faktor pembekuan. Asasnya, terdapat dua jenis utama hemofilia, yang ditentukan berdasarkan faktor pembekuan yang bermasalah: Hemofilia A (kurang faktor VIII) dan Hemofilia B (kurang faktor IX).

Selain itu, tahap keterukan hemofilia boleh dikategorikan bermula dengan ringan ke serius, bergantung pada kekurangan faktor pembekuan. Contohnya, bagi sesiapa yang kekurangan sejumlah besar faktor pembekuan biasanya menghidap hemofilia serius (severe haemophilia).

Gejala dan komplikasi hemofilia

Individu dengan hemofilia boleh mengalami pendarahan secara spontan (i.e. berlaku tanpa trauma, terutamanya dalam hemofilia serius) dan tanpa kawalan selepas kecederaan. Ia juga boleh membawa maut jika organ penting terlibat.

Antara gejala lain termasuklah pendarahan pada:

  • Kulit – menyebabkan lebam dan bengkak
  • Sendi – menyebabkan sakit sendi, bengkak dan kecacatan
  • Otot – menyebabkan otot mengecut jika tidak dirawat dengan betul
  • Hidung dan gusi
  • Air kencing dan najis (kadang-kadang)

Apa yang perlu ibu bapa lakukan?

  • Rawatan berkala. Kanak-kanak dengan hemofilia serius harus dirawat secara berkala untuk menambah faktor pembekuan yang kurang dalam badan. Ini dipanggil rawatan profilaksis.
  • Rawatan awal. Jika pendarahan berlaku, ibu bapa harus belajar memberi rawatan awal kepada mereka dan tahu bilakah untuk mendapatkan pertolongan perubatan.
  • Elakkan aktiviti mudah cedera. Jangan benarkan anak anda menyertai aktiviti atau sukan yang mudah menyebabkan kecederaan seperti ragbi, karate, mendaki batu, dll.
  • Alat pengenalan perubatan. Pastikan anak anda memakai alat pengenalan perubatan supaya mudah dikenal pasti dalam kes kecemasan.
  • Elakkan sesetengah ubatan. Tanya doktor anak anda tentang ubatan yang perlu dielakkan kerana mungkin mengganggu pembekuan darah (cth. aspirin, ibuprofen, dll.).

Bagaimana cara menangani hemofilia dalam kanak-kanak?

Menangani luka kecil

Bilas luka dengan air, tekan untuk mengawal pendarahan dan tampal pelekat luka.

Menangani sakit sendi dan bengkak

Amalkan teknik R.I.C.E:

  1. Rehat (Rest) – Hentikan aktiviti fizikal
  2. Ais (Ice) – Letakkan pek ais
  3. Tekanan (Compression) – Balut dengan kain pembalut untuk memberi tekanan
  4. Angkat (Elevate) – Angkat anggota badan yang terjejas di atas paras jantung

Penting juga untuk merawat anak anda dengan faktor pembekuan dan menghubungi doktor atau jururawat anak anda. Apabila sakit telah reda, lakukan senaman (seperti yang disarankan oleh ahli fisioterapi anak anda).

Apabila berlaku kecemasan atau kemalangan serius

Berikan faktor pembekuan kepada anak anda untuk mengawal pendarahan dan dapatkan rawatan kecemasan segera.

Hemofilia boleh menyebabkan komplikasi pendarahan serius dalam kanak-kanak. Melakukan persediaan lebih awal dan mengambil langkah pencegahan boleh membantu ibu bapa menangani kecemasan. Dengan rancangan rawatan yang betul, si kecil anda juga boleh membesar menjadi orang dewasa yang sihat dan berdikari.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen