Pengasuhan Positif

Kebersihan Sebagai Langkah Pencegahan Penyakit: Kepentingan dan Batasan

Hygiene as a Tool in Disease Prevention: Importance and Limitations

Ibu bapa sering mengajar anak-anak tentang kepentingan kebersihan diri dan persekitaran bagi mencegah penyebaran penyakit. Tapi adakah kita benar-benar faham bagaimana amalan kebersihan boleh membantu mencegah penyakit? Bagaimana pula dengan batasannya?

Apakah itu kebersihan?

Kebersihan atau hygiene merujuk kepada amalan sihat untuk menjaga kebersihan diri dan membantu mencegah penyebaran penyakit. Terdapat dua jenis amalan kebersihan: persekitaran dan diri.1

Kebersihan persekitaran

Ini merujuk kepada amalan harian di rumah bagi memastikan kebersihan rumah dan kawasan di sekitarnya. Ia termasuklah kebersihan am, sanitasi, pembuangan sisa sampah dan penyahjangkitan kawasan rumah (cth. dapur, bilik tidur, tandas, bilik mandi, dll.).1

Kebersihan diri

Ini merujuk kepada amalan sihat untuk memastikan kebersihan tubuh badan seseorang, yang juga boleh membantu mencegah penyakit atau penyebaran jangkitan kepada orang lain. Ia termasuk amalan seperti membasuh tangan, mandi, gosok gigi, dll.2

Kebersihan penting untuk mencegah penyebaran penyakit

Kebersihan diri dan persekitaran yang teruk bukan saja meningkatkan risiko anak anda dijangkiti, malah boleh membahayakan orang lain di sekeliling mereka. Kajian menunjukkan kebersihan yang teruk juga berkait dengan penyebaran pelbagai penyakit.3,4,5

Contohnya:

  • Tidak membasuh tangan selepas bermain di luar, lalu memegang makanan boleh menyebarkan bakteria seperti coli, Salmonella, dll.5,6
  • Tidak menggosok gigi dengan kerap boleh menyebabkan jangkitan gigi (cth. gigi rosak dan penyakit gusi).5,7,8
  • Tidak mencuci ruang dalam rumah dengan betul boleh menyebabkan pertumbuhan kulapuk pada permukaan rumah, yang boleh mengakibatkan kerengsaan salur pernafasan dan pelbagai gejala (cth. batuk, berdehit, kulit atau mata merah, dll.).9,10
  • Tidak membuang sampah dari rumah dengan betul boleh menjadikan rumah tempat pembiakan pelbagai vektor penyakit seperti lalat dan tikus, lalu meningkatkan risiko dijangkiti penyakit (cth. keracunan makanan, cirit-birit, jangkitan cacing, dll.).11

Amalan kebersihan diri dan persekitaran yang baik boleh memecahkan kitaran jangkitan virus bagi pelbagai penyakit. Maka, risiko dijangkiti penyakit atau menyebarkannya kepada orang lain juga berkurang.4

Adakah kebersihan sahaja cukup untuk melindungi kanak-kanak?

Dalam sesetengah keadaan, kebersihan semata-mata tidak mencukupi untuk mencegah jangkitan. Maka, langkah pencegahan lain juga penting dalam hidup anak-anak kita. Pandemik COVID-19 telah pun memperkenalkan kita kepada pelbagai langkah pencegahan jangkitan seperti penjarakan fizikal dan etika batuk/bersin (seperti menutup mulut/hidung apabila batuk atau bersin).12,13

Antara perkara lain yang penting ialah menjaga sistem imun kita bagi memastikan imuniti yang optimum dan menjauhkan penyakit. Ini boleh dicapai melalui pemakanan yang sihat dan seimbang, tidur yang mencukupi setiap malam dan senaman yang kerap.14

Selain itu, vaksinasi juga satu lagi langkah pencegahan yang ibu bapa harus pertimbangkan. Vaksinasi boleh mencegah pelbagai penyakit berjangkit serta mengurangkan beban penyakit berjangkit di kalangan kanak-kanak. Ini terutama sekali dalam kes jangkitan rotavirus, iaitu virus yang amat mudah berjangkit yang sukar dikawal walaupun tabiat kebersihan yang baik diamalkan.15

Rotavirus: kerap dan mudah berjangkit

Rotavirus ialah antara punca utama cirit-birit teruk di kalangan kanak-kanak kecil. Antara gejalanya ialah cirit-birit yang berterusan selama beberapa hari, muntah, demam dan keletihan. Ia biasanya tersebar melalui laluan tinja-oral. Rotavirus amat mudah berjangkit dan boleh bertahan di permukaan dan objek selama berminggu-minggu.16 Vaksin rotavirus disarankan kepada bayi seawal umur 6 minggu. Ia boleh didapati dalam 2 atau 3 dos bergantung kepada jenis. Rujuk pakar pediatrik bagi mengetahui lebih lanjut mengenai vaksin rotavirus.17,18

Amalan kebersihan diri dan persekitaran yang baik ialah antara cara termudah untuk mencegah penyakit. Namun, amalan kebersihan semata-mata tidak mencukupi. Oleh itu, amat penting bagi ibu bapa untuk memastikan anak mereka sihat dengan menjaga sistem imun dan mendapatkan vaksinasi. Sila rujuk doktor anda bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan topik ini.

Rujukan

  1. International Scientific Forum on Home Hygiene. (2022). What is home and everyday life hygiene? IFH. Retrieved from https://www.ifh-homehygiene.org/what-home-hygiene
  2. Ames, H. (2020). Why is personal hygiene important? Retrieved from https://www.medicalnewstoday.com/articles/personal-hygiene
  3. World Health Organization: WHO. (2022). Sanitation. Retrieved from https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/sanitation
  4. Aiello, A. E., & Larson, E. (2002). What is the evidence for a causal link between hygiene and infections? Lancet Infectious Diseases, 2(2), 103–110. https://doi.org/10.1016/s1473-3099(02)00184-6
  5. Santos-Longhurst, A. (2021). What Does It Mean to Have Bad Hygiene? Healthline. Retrieved from https://www.healthline.com/health/healthy-lifestyle/bad-hygiene#why-hygiene-matters
  6. World Health Organization. (2022). Food safety. Retrieved from https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/food-safety
  7. Mayo Clinic. (2021). Oral health: A window to your overall health. Retrieved from https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/adult-health/in-depth/dental/art-20047475
  8. Centers for Disease Control and Prevention. (2022). Hygiene-related Diseases. Retrieved from https://www.cdc.gov/hygiene/disease/index.html
  9. Centers for Disease Control and Prevention. (2022). Basic Facts about Mold and Dampness. Retrieved from https://www.cdc.gov/mold/faqs.htm

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen