Pengasuhan Positif

Bahaya Batuk Kokol (Pertusis)

The Perils of Pertussis

Bilangan kes pertusis di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara pada dekad yang lepas. Ini mencetuskan kebimbangan kerana bayi dan kanak-kanak kecil rentan terhadap penyakit ini.

Sumber: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)1

Data daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization, WHO) menunjukkan bagaimana kes pertusis di Malaysia mula melonjak pada tahun 2011 selepas kekal di bawah 100 kes sejak 1988.1 Malah, sejumlah 42 kematian telah dicatatkan semasa kemuncak pada tahun 2018-2019.2 Kebanyakan kes terjadi kepada bayi yang belum menerima imunisasi yang dijadualkan pada umur 2 bulan serta kanak-kanak kecil yang tidak divaksin.2 Walaupun terdapat penurunan pada tahun 2020-2021 kerana sekatan pergerakan COVID-19, masalah ini masih lagi satu kerisauan kerana sempadan telah dibuka dan dunia mula kembali normal. Tapi apa yang anda tahu tentang pertusis?

Batuk kokol

Pertusis ialah jangkitan pernafasan yang amat mudah berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Bordetella pertussis. Antara gejala utama ialah batuk yang bertalu-talu.3,4 Ia juga dikenali sebagai “batuk kokol” kerana pesakit akan batuk dengan kuat sehingga mengokol atau membongkok. Dalam Bahasa Inggeris, ia dipanggil “whooping cough” kerana bunyi berdesis panjang seperti “whoop” apabila pesakit mengambil nafas selepas batuk yang kuat.3 Namun, bukan semua orang akan menghasilkan bunyi tersebut, terutamanya bayi, kerana mereka mungkin tercungap-cungap ketika ini berlaku.3

Penyakit ini berkembang dalam tiga peringkat, masing-masing berlaku selama 1-2 minggu:4

Amat mudah berjangkit

9 daripada 10 individu rentan yang terdedah kepada pertusis mungkin akan dijangkiti penyakit ini, menjadikannya satu penyakit yang amat mudah berjangkit.4 Pertusis tersebar melalui udara.3 Apabila orang yang dijangkiti batuk, bersin, ketawa, mencium atau memeluk orang lain, dia boleh menyebarkan penyakit ini.3 Bayi biasanya dijangkiti daripada saudara yang lebih tua, ibu bapa atau penjaga yang mempunyai gejala ringan dan tidak sedar yang mereka telah dijangkiti pertusis.4

Ancaman kepada si manja

Pertusis berbahaya kepada bayi, terutamanya yang berumur bawah 18 bulan, kerana batuk yang kuat boleh menyebabkan mereka berhenti bernafas.3 Mereka lebih berkemungkinan terkena penyakit yang teruk, mendapat komplikasi dan perlu dimasukkan ke hospital.4 Bayi dan kanak-kanak kecil mungkin mendapat komplikasi seperti berikut:3

  • Apnea (nafas terhenti seketika)
  • Pneumonia
  • Sawan
  • Ensefalopati (penyakit atau kerosakan otak)

Kanak-kanak lebih besar, remaja dan orang dewasa juga boleh dijangkiti, biasanya dengan gejala lebih ringan.4 Namun, mereka juga mungkin mendapat komplikasi akibat batuk yang teruk, seperti pengsan, masalah tidur, kencing tidak lawas, retak tulang rusuk dan pneumonia.3,4

Mengurangkan beban pertusis

Dua jenis vaksin boleh didapati untuk membantu melindungi diri kita daripada pertusis: DTaP* dan Tdap**. Vaksin ini juga melindungi kita daripada tetanus dan difteria.

Ketika ini, vaksin DTaP disertakan dalam program imunisasi kebangsaan dan diberikan sebagai suntikan 6 serangkai (DTaP-IPV-HepB-Hib) pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan.5

Tambahan lagi, dos penggalak dengan vaksin Tdap juga boleh diberi kepada kanak-kanak lebih besar, remaja dan dewasa setiap 10 tahun kerana imuniti kita boleh menurun dalam masa tersebut.6 Kanak-kanak lebih besar boleh mendapatkan vaksin tersebut antara umur 11-12 tahun.3

Selain itu, wanita hamil juga boleh menerima vaksin Tdap semasa peringkat awal trimester ketiga setiap kali mengandung. Antibodi yang dihasilkan selepas vaksinasi kepada ibu akan dikongsi dengan janin ketika kehamilan, lalu memberikan perlindungan kepada bayi terhadap pertusis pada bulan-bulan terawal selepas kelahiran.4, 6

Langkah pencegahan lain juga boleh diambil jika ada penghuni rumah dijangkiti pertusis. Mereka perlu menutup mulut dengan betul apabila batuk atau memakai pelitup muka. Membasuh tangan dengan betul juga penting untuk mencegah penyebaran pertusis.3

Sebelum vaksin diperkenalkan, pertusis merupakan antara punca utama kematian bayi. Vaksinasi sedunia telah berjaya mengurangkan bilangan tersebut.4 Namun, perlindungan terhadap pertusis yang diperoleh daripada vaksin DTaP didapati akan menurun selepas beberapa lama, kerana itulah suntikan penggalak Tdap diperlukan. Vaksinasi lengkap mengikut jadual, ditambah dengan vaksinasi ibu ketika hamil, penting untuk mengurangkan beban pertusis di kalangan bayi dan kanak-kanak kecil. Ibu bapa dan wanita hamil boleh berbincang dengan doktor untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penyakit ini dan vaksinasi.

*DTaP = diphteria-tetanus-acellular-pertussis vaccine

**Tdap = tetanus-diphtheria-acellular-pertussis vaccine

Rujukan:
  1. World Health Organization. (2022, July 15). Global Health Observatory data repository – Pertussis Reported cases by country. World Health Organization. Retrieved March 17, 2023, from https://apps.who.int/gho/data/view.main.1540_43?lang=en
  2. Director General of Health. (2020, April 24). Kenyataan Akhbar KPK 24 April 2020 – Minggu Imunisasi Kebangsaan 24 – 30 April 2020 (World Immunization Week 2020). From the Desk of the Director-General of Health Malaysia. Retrieved March 17, 2023, from https://kpkesihatan.com/2020/04/24/kenyataan-akhbar-kpk-24-april-2020-minggu-imunisasi-kebangsaan-24-30-april-2020-world-immunization-week-2020/
  3. (n.d.). Whooping cough: Causes, symptoms, treatment and prevention. WebMD. Retrieved March 17, 2023, from https://www.webmd.com/children/whooping-cough-symptoms-treatment
  4. Bocka, J. J. (2023, January 18). Pertussis. Medscape. Retrieved March 17, 2023, from https://emedicine.medscape.com/article/967268-overview#showall
  5. (2020, November 18). Malaysia updates child immunisation schedule with hexavalent vaccine. CodeBlue. Retrieved March 17, 2023, from https://codeblue.galencentre.org/2020/11/17/malaysia-updates-child-immunisation-schedule-with-hexavalent-vaccine/
  6. Lim, V. K. E. (Ed.). (n.d.). Guidelines for Adult Immunisation (3rd ed.). Malaysian Society of Infectious Diseases and Chemotherapy (MSIDC). Retrieved from https://adultimmunisation.msidc.my/wp-content/uploads/2020/12/AIG-3rd-edition-Final-version-09122020-c.pdf

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen