Pengasuhan Positif

Memastikan Remaja Bersedia Untuk Ke Kolej

Menghadiri kolej untuk kali pertama adalah peristiwa yang penting bagi seseorang remaja. Namun begitu, apabila menyertai kolej, seseorang remaja itu harus meninggalkan rutin harian sewaktu zaman persekolahan dan keselesaan yang dinikmati semasa tinggal bersama ibu bapa. Perkara ini boleh menimbulkan perasaan risau dalam seseorang remaja.

Sebagai ibu bapa, semestinya sukar untuk melepaskan anak-anak ke kolej setelah bertahun-tahun menjaga dan membesarkan mereka. Namun begitu, apabila tiba masanya untuk anak anda memasuki kolej, persediaan yang rapi adalah amat penting untuk anda serta anak anda. Hal ini kerana menyertai kolej adalah satu langkah yang besar untuk mereka.

Mengapakah memasuki kolej membimbangkan?

Bagi kebanyakan remaja, apabila mereka menyertai kolej, inilah kali pertama mereka akan tinggal sendiri dan menguruskan kewangan serta rutin harian tanpa bimbingan ibu bapa. Tambahan pula, terdapat juga mereka yang harus tinggal di bandar yang jauh dari keluarga. Lebih-lebih lagi, struktur yang tersedia sewaktu zaman persekolahan tidak lagi digunakan di kolej. Mereka juga harus mencari kawan-kawan baru. Perkara-perkara ini boleh menimbulkan perasaan risau dalam golongan remaja.

Kolej juga memberikan tekanan akademik dan masalah sosial yang baru. Antara masalah lazim yang dihadapi oleh remaja adalah masalah menguruskan tugasan, projek, pembentangan serta peperiksaan, keresahan berkenaan memenuhi jangkaan keluarga, keyakinan diri yang rendah, tekanan oleh rakan sebaya dan perasaan rindu terhadap keluarga. Isu-isu tersebut boleh menimbulkan rasa kesepian, kemurungan, pengurusan masa yang lemah dan sikap menangguhkan kerja.

Bagaimana ibu bapa boleh membantu?

Ibu bapa boleh membantu anak-anak dengan menggalakkan mereka bersedia lebih awal sebelum kolej bermula.

  • Permulaan: Hari ini, terdapat pelbagai pilihan kerjaya dan kursus yang boleh dipilih. Anak remaja anda mungkin memerlukan bantuan anda ketika membuat permohonan ke kolej dan membuat pilihan kerjaya. Anda boleh membantu remaja anda dengan menyenaraikan semua kemahiran dan kelebihan mereka, serta meneroka minat dan kemahiran mereka. Jika mereka perlu mengisi borang atau menulis esei kemasukan kolej, anda boleh memberi bimbingan dan bantuan jika perlu. Anda juga boleh membantu mereka merujuk kepada pelajar lebih senior yang boleh membantunya dengan hal-hal praktikal di kolej.
  • Tempat tinggal: Bincangkan dengan anak remaja anda tentang tempat tinggal yang terbaik untuk mereka semasa di kolej. Adakah anak anda perlu pindah dari rumah keluarga ke asrama atau rumah sewa? Jika perlu berpindah ke negeri lain, apakah pilihan tempat tinggal terbaik untuk mereka?
  • Kemahiran hidup asas: Anda juga mungkin perlu mengajar mereka beberapa kemahiran asas, seperti memasak dan mencuci, menggosok serta membaiki pakaian. Kanak-kanak biasanya tidak sedar tentang usaha yang diperlukan untuk menjalankan tugasan rumah, oleh itu, lebih baik mereka bersedia sebelum meninggalkan rumah.
  • Hal kewangan: Latih anak anda sejak awal dalam hal melibatkan wang. Jika anak anda belum membuka akaun bank, anda boleh membantu mereka membuka akaun, mendapatkan kad ATM dan menggunakan perbankan dalam talian. Tunjukkan cara menggunakan kemudahan ini dengan betul, selamat dan bertanggungjawab. Anda juga boleh memaklumkan jumlah yuran kolej yang perlu anda bayar serta wang saku yang anda boleh berikan kepadanya.
  • Komunikasi terbuka: Galakkan komunikasi terbuka, agar anak anda sentiasa boleh merujuk kepada anda jika memerlukan nasihat. Nasihatkan anak remaja anda agar membuat keputusan yang baik dan mengelakkan kelakuan berisiko tinggi, seperti penyalahgunaan bahan terlarang. Ingatkan anak anda untuk memilih rakan yang baik – sistem sokongan yang baik boleh menentukan halatuju hidupnya. Namun begitu, jangan terlalu mengongkong, kerana ini masa terbaik untuk menggalakkan anak anda untuk lebih berdikari.
  • Matlamat dan keseimbangan: Bincangkan tentang matlamat anak anda. Tetapkan matlamat pencapaian akademik yang sesuai tanpa memberi tekanan berlebihan. Nasihatkan anak anda cara untuk menyeimbangkan pelajaran dan kegiatan kokurikulum, serta kerja separuh masa, jika mereka ingin bekerja.
  • Kesihatan dan kesejahteraan: Jangan lupa tentang kesihatan fizikal dan mental yang juga perlu diutamakan. Pastikan semua alahan anak anda telah dikenal pasti dan ubatan yang sesuai disediakan untuk mereka. Selain itu, kenal pasti klinik yang berdekatan kolej mereka atau nombor untuk ditelefon sekiranya ada kecemasan.

Tambahan pula, pastikan anak remaja anda telah mendapat vaksinasi yang disarankan sebelum pergi ke kolej. Antaranya termasuklah vaksin meningokokus, pneumokokus dan influenza. Vaksinasi adalah penting untuk pelajar kolej kerana jangkitan boleh tersebar dengan cepat di ruang yang dikongsi oleh orang ramai seperti asrama, dewan kuliah dan kafeteria.

Ya, persediaan untuk kehidupan kolej mungkin meresahkan, tapi ia juga masa yang mengujakan bagi ibu bapa dan remaja. Semasa mempersiapkan anak anda, ambil langkah-langkah yang sesuai untuk melancarkan transisi ini. Dengan persediaan awal yang menyeluruh, anda boleh membantu anak remaja anda secara sihat dalam perjalanan mereka menjadi dewasa.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen