Pengasuhan Positif

Salah Faham Mengenai Vaksinasi Flu

Sejak pandemik COVID-19, kes influenza atau flu lebih rendah daripada biasa. Namun, apabila Malaysia dan seluruh dunia mula membuka semula sempadan, kes influenza kembali meningkat seperti yang dijangkakan.

Virus influenza manusia pertama kali dikenal pasti pada 1933, tetapi rujukan kepada wabak influenza boleh ditemui sejak zaman dahulu lagi. Pada zaman moden, sebelum kemunculan COVID-19, wabak influenza berlaku hampir setiap tahun, adakalanya pada skala global. Mujurlah sudah terdapat cara untuk mengurangkan kesan penyakit tersebut: vaksin influenza.

Namun, apabila melibatkan vaksin, berita palsu dan salah faham sering tersebar. Akibatnya, sesetengah ibu bapa ragu-ragu untuk memberi vaksin kepada anak mereka kerana takutkan kesan buruk.

Melawan salah faham

“Vaksin flu tidak selamat.”

Antara salah faham yang sering tersebar mengenai vaksin flu ialah ia tidak selamat dan boleh mengakibatkan komplikasi. Ini tidak benar sama sekali. Vaksin flu sejak dahulu lagi mempunyai rekod keselamatan yang baik, dan jika ada kesan sampingan, ia biasanya ringan dan hilang dalam sehari dua.

Banyak kajian lanjut telah membuktikan, bukan sekadar keselamatan vaksin tersebut, malah manfaat yang diterima apabila seseorang divaksin, seperti mengurangkan risiko masalah kardiovaskular dan jangkitan peparu, serta perlindungan daripada komplikasi flu.

“Vaksin flu boleh menyebabkan flu.”

Satu lagi salah faham ialah vaksin influenza akan membuatkan penerima dijangkiti flu. Ini juga salah, kerana vaksin influenza diperbuat menggunakan virus yang telah mati atau dilemahkan, atau dengan protein daripada virus flu. Oleh itu, penerima tidak akan dijangkiti virus flu selepas menerima vaksin.

“Flu tidak berbahaya.”

Sesetengah orang mungkin lebih risau tentang kesan sampingan vaksin berbanding dengan komplikasi penyakit tersebut. Dalam kebanyakan kes, gejala influenza cuma ringan, tapi komplikasinya boleh jadi berbahaya dan mengakibatkan kemasukan ke hospital serta kematian, terutamanya bagi kanak-kanak kecil, warga emas dan orang yang lemah imuniti atau mempunyai penyakit lain.

Malah, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat menjangka bahawa flu telah mengakibatkan antara 9-41 juta jangkitan, 140,000-710,000 kemasukan ke hospital, dan 12,000-52,000 kematian di AS setiap tahun antara 2010 dan 2020. Oleh itu, manfaat vaksinasi jelas melebihi risiko dijangkiti flu.

Vaksinasi sebagai perlindungan

Vaksin flu memberikan perlindungan penting daripada influenza. Ia mengurangkan risiko kemasukan ke hospital bagi kanak-kanak dan mengurangkan risiko mendapat komplikasi teruk. Vaksin ini juga dapat mengurangkan ketidakhadiran ke sekolah atau tempat kerja. Vaksin flu juga disarankan kepada wanita hamil yang rentan terhadap jangkitan kerana perubahan fisiologi ketika kehamilan.

Masa untuk divaksin

Vaksin influenza diberi setiap tahun. Ini kerana strain virus yang tersebar berubah dari tahun ke tahun. Di Malaysia, influenza berlaku sepanjang tahun, tidak seperti di beberapa negara lain di mana terdapat tempoh kemuncak penyebaran. Vaksinasi harus diberi setiap tahun, sama ada yang menggunakan formula Hemisfera Utara atau Selatan, bergantung pada formulasi mana yang ada di klinik yang anda pergi.

Vaksinasi tahunan disarankan untuk kanak-kanak berumur 6 tahun dan ke atas. Bagi kanak-kanak bawah umur 9 tahun yang menerima vaksin flu untuk kali pertama, dos kedua perlu diberi selepas 4 minggu. Rujuk doktor anak anda untuk mengetahui lebih lanjut tentang vaksin flu untuk si kecil anda.

Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada merawat. Kini sekolah dan institusi mula dibuka semula dan kita tidak boleh lagi mengelak daripada bertemu orang lain. Maka, penyebaran influenza juga akan meningkat, dan orang yang tidak divaksin akan lebih berisiko dijangkiti. Sama ada mahu divaksin atau tidak, ia pilihan anda, tapi jangan dipengaruhi oleh berita palsu dan salah faham.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen