Pengasuhan Positif

Menyediakan Anak Anda Untuk Dunia Sebenar

Adakah anda antara ibu bapa yang bertegas anak anda perlu mendapatkan semua A di sekolah? Pengasuhan Positif berpendirian bahawa bagi memastikan anak anda bersedia menghadapi dunia sebenar, ibu bapa perlu melihat lebih daripada sekadar prestasi akademik. Ibu bapa juga perlu membantu anak-anak mempelajari dan mengembangkan kemahiran hidup serta nilai positif, supaya mereka membesar menjadi individu yang serba boleh, bertanggungjawab dan prihatin.

Kepentingan kemahiran hidup dan insani apabila dewasa

Prof Dr Alvin Ng, Presiden Pengasas Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, berkata bahawa kanak-kanak sering dinilai berdasarkan gred mereka, manakala kemahiran hidup dan insani jarang menjadi keutamaan.

“Hakikatnya, walaupun gred ialah penanda aras yang baik untuk mengukur kelebihan seseorang dan melihat apa yang perlu diperbaiki, ia tidak harus menjadi satu-satunya perkara yang dilihat oleh ibu bapa. Anda juga perlu memberi perhatian pada kemahiran adaptif dan kebolehan anak anda seperti menyelesaikan masalah dan daya fikir kritis,” kata Prof Ng.

Kanak-kanak dengan kemahiran menyelesaikan masalah, menurut pakar psikologi klinikal ini, belajar cara menguruskan emosinya, berfikir secara lebih kreatif dan bertahan sehingga mereka menemui penyelesaian masalah mereka. Maka, mereka akan membesar menjadi individu yang lebih yakin dan berdikari yang tidak akan mudah berputus asa atau kecewa apabila perancangan mereka tidak menjadi.

Pandemik COVID-19 ialah contoh terbaik bagaimana kemahiran menyelesaikan masalah dan daya fikir kreatif/kritis membantu ramai orang dewasa berdepan dengan kehilangan kerja dan bekerja dari rumah. Apabila mereka berdepan masalah baru, orang yang berkemahiran hidup akan bertahan dan mencari jalan untuk mengatasinya.

Prof Ng menambah bahawa kemahiran berkawan juga penting apabila dewasa. “Kita jarang membantu anak kita meneroka selok-belok pelbagai jenis perhubungan dalam hidup,” katanya. “Cuba berbual secara terbuka dan jujur dengan anak anda tentang rakan mereka; dan apabila mereka lebih besar, bincangkan mengenai perhubungan yang lebih matang dengan teman lelaki atau wanita, yang mungkin berakhir dengan perkahwinan.”

Jika anak anda belajar bagaimana untuk menguruskan perhubungan sejak kecil, ia pasti menjadi satu kelebihan apabila dia dewasa dan mempunyai keluarga sendiri. Perhubungan dan perasaan ialah hal-hal yang rumit. Lebih cepat kita belajar menguruskannya, lebih baik.

Prof Ng berkata ibu bapa perlu membincangkan masalah dan memperakui perasaan anak-anak. “Perakuan ialah aspek perhubungan yang sering kita terlepas pandang. Setiap orang sukakan penerimaan dan takut ditolak. Perakuan membantu mengekalkan perasaan diterima, lalu mengukuhkan perhubungan.”

Satu lagi aspek yang boleh diajar oleh ibu bapa dan dicontohi anak-anak ialah aspek pengurusan kesihatan dan kewangan. “Ajar anak anda untuk mengamalkan tabiat sihat, seperti pemakanan sihat, senaman, rehat dan tidur, serta lebih daripada itu – cuba hadkan masa skrin dengan mengadakan masa membaca bersama keluarga dan galakkan anak anda membaca label makanan semasa membeli barang dapur. Ini membantu mereka membuat pilihan lebih baik demi kesihatan dan belanjawan. Anda juga boleh melakukan kegiatan fizikal bersama keluarga – hadiri kelas zumba atau yoga bersama, dan semestinya, cari masa untuk bermain badminton, berenang dan mendaki bukit bersama. Ini semua cara yang bagus untuk mengeratkan perhubungan.”

Anda juga boleh galakkan anak anda membina kesedaran tentang komuniti, serta tanggungjawab terhadap alam sekitar. “Ini apa yang saya gelarkan sebagai pendekatan kesejahteraan planet,” kata Prof Ng. “Ini memberi konteks kepada makna kesejahteraan. Bagi seseorang untuk menjadi sejahtera, masyarakat malah seluruh planet juga perlu sejahtera.”

Perkara yang betul pada masa yang tepat

Pakar Perunding Pediatrik Perkembangan, Dr Rajini Sarvananthan menyatakan bahawa mengajar anak-anak nilai bersesuaian pada peringkat umur berbeza dalam hidup adalah penting.

Anda boleh memupuk nilai kesetaraan jantina dalam anak anda sejak kecil. “Anak lelaki dan perempuan sama-sama boleh digalakkan untuk melakukan kerja rumah seperti mengemas katil, melipat dan menyimpan baju sendiri, menolong di dapur dan membuang sampah. Apabila menjalankan projek buat-sendiri di rumah – contohnya, membuat rumah bermain untuk anak anda atau mengecat bilik tidur – ibu bapa boleh meminta anak-anak membantu mereka dengan menyerahkan peralatan, memegang peralatan, memberi cadangan dan tugas lain yang mudah.”

Apabila mereka lebih besar, beri peluang untuk mereka melibatkan diri dengan komuniti setempat. Dengan ini, ibu bapa boleh menunjukkan cara bertolak ansur dan menghormati orang lain. Ajar anak anda untuk menjaga dan menghormati orang lebih tua, bermula dengan datuk dan nenek, serta warga emas yang ditemui di taman atau restoran.

Galakkan mereka untuk menyertai kegiatan kejiranan seperti gotong royong, kebun komuniti dan majlis perayaan. Pastikan anda berkongsi dengannya mengenai budaya berbeza, serta bagaimana dan kenapa orang menyambut dan meraikan perayaan berbeza.

Kata Dr Rajini, penglibatan anak-anak dalam memahami hal kewangan juga perlu bermula sejak dari awal. Jadikan kegiatan harian sebagai cara untuk mereka belajar. Pengalaman pergi ke ATM atau pusat beli-belah boleh jadi peluang untuk anda mengajar prinsip dan cara perbelanjaan anda.

Semasa kanak-kanak masih kecil, anda boleh mengajar konsep wang melalui permainan, seperti berlakon pergi ke kedai atau restoran. Apabila mereka lebih besar, anda boleh tunjukkan kepadanya cara anda mengatur perbelanjaan bulanan dan menggalakkan mereka menabung untuk membeli benda yang dimahukannya.

Ajar anak anda bagaimana untuk berkomunikasi secara berkesan dengan orang di sekeliling dan beri mereka peluang berbual dengan orang di luar keluarga. Contohnya, belajar berinteraksi dengan orang dewasa lain di kedai atau majlis.

Dr Rajini menambah bahawa kerjasama, pengurusan masa dan tanggungjawab, semuanya ialah kemahiran yang boleh diajar. Merancang dan menyediakan sajian di rumah, merancang cuti dan majlis keluarga, menggalakkan anak anda memberi makan dan membersihkan haiwan peliharaan, serta pergi membeli-belah adalah antara beberapa jenis kegiatan yang boleh dilakukan bersama agar anak anda belajar kemahiran ini secara semulajadi.

Kelak, mereka akan belajar berpandangan jauh, malah bukan sekadar belajar menjaga diri sendiri, malah keluarga dan masyarakat setempat.

Prof Ng juga menambah, ibu bapa harus menyokong dan memberi anak-anak peluang menggilap pemikiran kritis, kemahiran kepimpinan, perilaku positif, kreativiti dan kebolehsuaian.

“Apabila menyelesaikan masalah, atau menyiapkan kerja sekolah, kita harus menggalakkan anak kita bertanya soalan dan berfikir secara kreatif, bukan sekadar mencari “jawapan betul” setiap masa. Lebih baik jika persoalan bagaimana dan mengapa yang diutamakan, namun ini jarang ditemui dalam pendidikan formal hari ini,” kata Prof Ng.

Menggalakkan nilai positif

Untuk bertahan di dunia sebenar, Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pengerusi Pengasuhan Positif, berkata bahawa penting bagi ibu bapa untuk membesarkan anak-anak menurut acuan agama.

“Kerohanian ialah komponen penting dalam keibubapaan yang perlu dipandang serius. Melalui kerohanian, kita boleh menjadi teladan dan menggalakkan anak kita untuk mengamalkan perilaku positif seperti bersyukur, berbuat baik dan berempati,” kata Dr Zulkifli.

“Komunikasi di rumah juga amat penting. Sebagai ibu bapa, kita perlu cuba berkongsi pandangan dengan anak kita, agar mereka belajar mendengar serta berasa selesa berkongsi dengan kita tentang hidup dan kesukaran yang dihadapi. Bermain bersama, beribadat bersama, makan bersama dan meluangkan masa melakukan sesuatu yang bermakna – ini boleh mengeratkan perhubungan dan anak-anak pasti belajar cara meluahkan perasaan dan pendapat dengan lebih berkesan.”

Ramai di antara kita pasti masih ingat bagaimana kita mempelajari kemahiran hidup dan insani – seperti cara membuat biskut atau menukar lampu atau menggosok baju – daripada ibu bapa, datuk, nenek atau saudara lebih tua. Oleh itu, kita wajib menerapkan pengajaran dan pembelajaran ini dalam hidup harian anak kita juga.

Mempelajari kemahiran ini sama seperti belajar melakukan kerja rumah. Lagipun, jika anda tidak membuang sampah, rumah anda akan berbau busuk! Sama juga, jika anda tidak belajar berbuat baik kepada orang lebih tua atau melibatkan diri dalam komuniti, anda mungkin tidak akan tahu bagaimana untuk menerapkannya dalam hidup dan pasti akan mengalami kesukaran nanti.

Ingatlah, hidup bukan sekadar gred dan markah. Bagi menyediakan anak anda untuk dunia sebenar, lengkapkan mereka dengan kemahiran insani dan nilai positif agar mereka membesar menjadi insan yang serba boleh dan sejahtera.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen