Pengasuhan Positif

Mengajar Kanak-Kanak Tentang Kebaikan dan Kebajikan

Kebaikan bermula di rumah, begitulah kata pepatah. Perbuatan baik juga bermula di rumah apabila kanak-kanak memerhatikan orang dewasa di sekeliling mereka setiap hari. Apabila kita bercakap tentang kebaikan dan kebajikan, perlu diingat bahawa seseorang tidak perlu jadi kaya untuk membuat kebaikan. Kebaikan sering dikaitkan dengan pemberian wang, namun sifat baik hati dan tidak menghakimi juga satu bentuk kebaikan. Tidak mampu menderma wang tidak bermakna kita tidak boleh membuat kebaikan. Inilah mesej pertama yang perlu diajar kepada anak-anak kita.

Bagaimana untuk menerapkan nilai kebaikan dalam diri anak?

Cara terbaik ialah dengan menunjukkan teladan, kerana kanak-kanak belajar melalui pemerhatiannya. Mulakan dengan tabiat baik yang mudah, seperti senyum dan berterima kasih kepada orang lain. Jangan mengejek orang lain, sebaliknya tumpukan pada kelebihan mereka. Cuba berempati, bukan mengkritik. Biasanya, kita sering mengejek dan mencemuh tanpa niat, dan tabiat ini disaksikan dan diulang oleh anak kita.

Elakkan daripada membeza-bezakan orang mengikut penampilan, kerakyatan dan pekerjaan. Sebaliknya, ajar anak bahawa semua orang perlu dilayan sama rata, tanpa mengira rupa, pakaian atau pendidikan. Kurangkan penekanan pada harta benda dan lebihkan pada kebaikan. Benar, kita perlukan duit untuk hidup, tapi kejayaan tidak diukur dengan kekayaan semata-mata.

Sifat pemurah juga boleh diajar daripada kecil. Jika tidak boleh menderma kepada pengemis, kita boleh menyumbang kepada pelbagai pertubuhan kebajikan yang kadang-kala boleh ditemui di pusat beli-belah dan sebagainya. Luangkan masa untuk singgah agar anak anda boleh mendengar tentang kegiatan pertubuhan tersebut.

Sentiasa bersifat pemurah dengan rakan sekerja. Ketika saya membesar, saya sering melihat ibu saya membelikan sebungkus epal kepada stafnya, serta menjahitkan baju bayi sebagai hadiah apabila mereka mendapat bayi baru. Selain itu, saya pernah melihat para pesakitnya membantu menganyam kelongsong ketupat menggunakan daun palas yang dibawanya ke klinik. Dia bercadang untuk menyiapkannya apabila ada masa terluang. Bayangkan betapa terkejutnya dia apabila mendapati semua ketupat telah siap dianyam ketika ingin pulang. Bayangkan juga, betapa gembira stafnya apabila menerima hadiah daripadanya.

Ini berlaku pada tahun 70-an dan awal 80-an, namun ia masih segar dalam ingatan saya 40 tahun selepas pemergiannya. Itulah pengaruh perbuatan baik ibu saya ke atas pemikiran saya yang sedang berkembang. Tiada leteran, hanya perbuatan baik. Ini juga bukti bahawa budi yang baik akan dibalas baik. Pembantu rumah kami juga dilayan dengan hormat dan baik. Kami tidak dibenarkan untuk mengarahkan mereka. Setiap permintaan perlu bersopan dan diucapkan terima kasih.

Anak yang lebih besar pula boleh didedahkan dengan pertubuhan kebajikan, contohnya yang memberi makan kepada gelandangan. Pendedahan ini membolehkan mereka merenung diri dan menghargai apa yang mereka ada. Apabila menjadi sukarelawan, mereka juga akan belajar menjaga kata-kata dan tindakan, serta merendah diri. Beritahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan sebelum menyertai kegiatan sukarelawan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Kesimpulannya, kebaikan dan kebajikan boleh diajar sejak kecil apabila ibu bapa sendiri mengamalkannya. Kanak-kanak belajar melalui pemerhatian, dan melihat ibu bapa mereka melibatkan diri dalam kegiatan kebajikan boleh meninggalkan kesan berpanjangan.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen