Pengasuhan Positif

Anak Saya Baru Divaksin: Petua Penjagaan Pascavaksinasi

Ramai ibu bapa yang risaukan kesan sampingan vaksin. Walaupun kesan sampingan biasanya ringan, artikel ini akan berkongsi beberapa petua penjagaan pascavaksinasi bagi kanak-kanak.

Kesan sampingan vaksin

Selepas anak anda diberi vaksin, dia mungkin mengalami sedikit kesan sampingan. Biasanya kesan sampingan vaksin hanya ringan dan akan reda dalam masa beberapa jam atau hari.

Contoh kesan sampingan yang biasa berlaku pada kanak-kanak:

  • Sakit, bengkak atau kemerahan di tempat suntikan
  • Demam dan/atau menggigil
  • Sakit kepala
  • Sakit otot
  • Lenguh sendi
  • Ruam (terutamanya selepas suntikan vaksin MMR atau cacar air)
  • Loya dan/atau muntah-muntah
  • Kelesuan atau keletihan
  • Hilang selera makan

Penjagaan pascavaksinasi

Suntikan vaksin boleh jadi sesuatu yang menakutkan bagi ramai kanak-kanak. Ibu bapa boleh membantu memberi pengalaman vaksinasi yang lebih baik untuk anak mereka dengan penjagaan pascavaksinasi yang baik.

  • Sediakan cecair secukupnya. Pastikan anak anda minum air dengan kerap agar kekal terhidrat.
  • Galakkan berehat. Hadkan kegiatan fizikal yang berat (cth: bersenam, bertanding sukan) dan kegiatan sosial (cth: keluar berjumpa kawan). Sebaliknya, galakkan anak anda melakukan kegiatan yang kurang memerlukan pergerakan fizikal seperti menonton TV, membaca buku, melukis, dsb.
  • Pastikan cukup tidur. Kanak-kanak yang mengalami kesan sampingan mungkin sukar untuk tidur. Galakkan dan bantu anak anda untuk tidur kerana ia boleh membantu menyokong sistem imunnya.
  • Berikan lebih perhatian dan kasih sayang. Pelukan dan perhatian yang lebih ketika ini boleh membantu, terutamanya bagi kanak-kanak lebih muda.

Meredakan gejala khusus

Sakit, bengkak atau kemerahan di tempat suntikan

  • Letakkan kain lembab atau balutan pek ais pada tempat suntikan untuk melegakan kesakitan.
  • Galakkan anak anda untuk menggerakkan anggota yang terkesan. Ini boleh menghalang kelenguhan dengan mengendurkan otot yang sakit.
  • Larang anak anda daripada menyentuh, menggaru atau menggosok tempat suntikan bagi mengelakkan keradangan lebih teruk.
  • Boleh gunakan ubat tahan sakit seperti parasetamol atau ibuprofen.

Demam dan/atau menggigil

  • Pakaikan pakaian nipis pada anak anda agar dia lebih selesa.
  • Boleh gunakan ubat demam seperti parasetamol atau ibuprofen.

Ubatan atas kaunter

Banyak ubatan pelega kesakitan atas kaunter yang boleh diberi kepada kanak-kanak, seperti parasetamol (juga dikenali sebagai asetaminofen) atau ibuprofen. Ubatan ini mempunyai sifat analgesik (melegakan kesakitan) dan antipiretik (mengurangkan demam), yang boleh membantu melegakan banyak gejala pascavaksinasi. Analgesik boleh mengurangkan sakit/bengkak/kemerahan di tempat suntikan, sakit kepala dan sakit otot/sendi, manakala antipiretik boleh mengurangkan demam.

Namun, asid asetilsalisilik (acetylsalicylic acid, ASA, juga dikenali sebagai aspirin) tidak boleh diberi kepada kanak-kanak bawah 16 tahun kerana ada kemungkinan berlakunya sindrom Reye. Ini ialah masalah yang jarang berlaku yang dikaitkan dengan penggunaan ASA pada kanak-kanak dan remaja. Ia menyebabkan hati dan otak bengkak, lalu mengakibatkan kecederaan kekal atau maut.

Bila perlu minta tolong?

Kesan sampingan vaksin sepatutnya surut selepas beberapa hari. Awasi anak anda selepas vaksinasi. Dapatkan bantuan perubatan jika:

  • Anak anda mula menunjukkan gejala serius (kesukaran bernafas, bengkak muka/kerongkong, kadar jantung meningkat, ruam teruk pada seluruh badan dan sawan).
  • Gejala pascavaksinasi tidak reda selepas berhari-hari, tanpa tanda-tanda makin pulih.
  • Gejala vaksinasi bertambah teruk selepas 24 jam.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen