Pengasuhan Positif

Ke Arah Persekitaran Bebas Rokok

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS 2017) melaporkan bahawa satu daripada 10 pelajar merokok. Pernahkah anda tertanya kenapa remaja mudah tertarik kepada rokok? Sebagai ibu bapa, anda perlu tahu majoriti perokok dewasa Malaysia mula merokok sebelum umur 18 tahun dan ramai yang sudah ketagih sebelum tamat sekolah menengah lagi!

Merokok ialah satu bentuk kemudaratan yang telah ada sejak sekian lama (mungkin sejak abad pertama Sebelum Masihi!) dan telah menjejaskan berbilion-bilion manusia.

“Merokok ialah satu beban yang besar, dengan 8 juta kematian setiap tahun di seluruh dunia berpunca daripada komplikasi akibat tabiat merokok. Terdapat sekitar 1.2 bilion perokok di seluruh dunia,” kata Prof Dr Mohamad Haniki Nik Mohamed, Presiden Persatuan Kesihatan Remaja Malaysia. “Di Malaysia saja, 20,000 kematian awal direkodkan setiap tahun akibat merokok, dan hampir RM3 bilion telah dibelanjakan untuk merawat 3 penyakit utama – penyakit jantung iskemia (IHD), barah paru-paru dan penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) – semuanya akibat komplikasi merokok!”

Perokok di Malaysia

Majoriti perokok di Malaysia ialah lelaki dalam kumpulan B40 dengan taraf sosio-ekonomi lebih rendah, menurut Dr Haniki, yang juga merupakan ketua projek flagship Komuniti Kampus Bebas Rokok Lestari di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau juga berkata bahawa merokok bukan saja menjejaskan kesihatan, malah memberi kesan kepada ekonomi negara.

Hari ini, remaja yang merokok masih menjadi cabaran utama bagi kesihatan awam di Malaysia. Hampir 5 juta perokok di Malaysia berumur 15 tahun ke atas. Menurut data terkumpul sejak beberapa tahun lalu, percubaan merokok di Malaysia bermula semasa kanak-kanak berumur seawal 7 tahun. Program Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (KOTAK) yang menjalankan pengesanan awal dan pemulihan merokok dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah telah melaporkan terdapat seramai 12,152 pelajar yang merokok di sekolah menengah pada tahun 2020.

Dr Haniki berkongsi bahawa semasa remaja, sikap mereka terhadap merokok sedang terbentuk, dan mereka mudah terpengaruh kerana ini tempoh mereka suka mencuba.

Antara faktor lain yang membuatkan remaja mudah terpengaruh untuk merokok ialah jantina, kecenderungan genetik dan gangguan psikiatri, kata Dr Haniki. “Pengaruh persekitaran juga memburukkan keadaan – kita boleh lihat iklan secara halus merata-rata, terutamanya menggunakan kotak rokok.”

Selain itu, rokok juga mengandungi nikotin. Nikotin ialah dadah perangsang yang mempercepatkan mesej yang bergerak antara otak dan tubuh, dan merupakan bahan psikoaktif utama dalam produk tembakau.

“Nikotin ialah bahan kimia dalam tembakau yang menyukarkan usaha berhenti merokok,” jelas Dr Haniki, yang berkata ia menghasilkan kesan enak yang sementara dalam otak seseorang. “Ini termasuklah nikmat, rangsangan, pengaturan mood dan pengurangan keresahan. Kajian menunjukkan hanya tiga batang rokok sudah cukup untuk memenuhi semua reseptor dalam otak. Ini menjelaskan kenapa terdapat kecenderungan tinggi untuk merokok dalam kalangan remaja.”

Sebaliknya, jika mereka tidak mendapat bekalan nikotin, mereka mula mengalami kesan penarikan seperti kejengkelan, insomnia, keresahan, selera bertambah, tidak boleh duduk diam dan kemurungan.

Dr Haniki, penggiat aktif dalam pengurusan kebergantungan tembakau, mendedahkan bahawa kebelakangan ini, produk tembakau yang baru seperti rokok elektronik telah mencipta masalah baru, dan beban ini akan beralih ke bahu remaja dan kanak-kanak dalam masyarakat kita.

“Terdapat 200,000 remaja yang telah pun menggunakan rokok elektronik hari ini,” beliau berkongsi data yang membimbangkan tersebut, lalu menambah bahawa bilangan gadis yang menghisap vape juga mula bertambah. Ini satu fenomena baru kerana peratusan perokok wanita di Malaysia adalah rendah.

Menurut Tinjauan Rokok Elektronik Kebangsaan (NECS 2016), terdapat 450,000 pengguna yang menghisap kedua-dua rokok elektronik dan rokok konvensional.

“Walaupun dipromosikan sebagai kaedah berhenti merokok, rokok elektronik sebenarnya menjadi pintu gerbang kepada rokok tembakau dan penyalahgunaan dadah,” kata Dr Haniki. “Remaja menggunakan rokok elektronik untuk mencuba. Mereka menyukai rasa dan bau rokok elektronik, dan mereka mahu mencubanya kerana ia satu trend popular.

“Ada pihak yang mendakwa bahawa rokok elektronik sebenarnya berkesan jika anda mahu berhenti merokok, tapi belum ada data berkualiti yang membuktikannya. Walaupun asap rokok elektronik mengandungi kurang kimia toksik berbanding asap rokok biasa, yang pastinya semua produk tembakau, termasuk rokok elektronik, mempunyai risiko. Malah, kajian terkini menunjukkan terdapat lebih 2,000 bahan kimia dalam rokok elektronik berbanding apa yang diuar-uarkan sebelum ini,” katanya, sambil menekankan pendapatnya bahawa nikotin tidak sepatutnya dibenarkan untuk kegunaan santai.

Manfaat berhenti merokok

Jika anda tidak merokok selama 20 minit, kadar jantung akan menurun

Dalam 12 jam, paras karbon monoksida (CO) darah anda kembali normal

Dalam 2 minggu ke 3 bulan, risiko serangan jantung mula menurun dan fungsi paru-paru meningkat

Dalam 1-9 bulan, batuk dan sesak nafas berkurangan

Dalam 1 tahun, risiko Penyakit Jantung Koronari (CHD) menurun separuh daripada perokok

Dalam 10 tahun, kadar kematian akibat kanser paru-paru menurun separuh daripada perokok

Dalam 15 tahun, risiko CHD sama dengan bukan perokok

Pemulihan tabiat merokok

Prof Dr Wee Lei Hum ialah Pakar Tingkah Laku Kesihatan, khasnya dalam Penggalakan Berhenti Merokok dan Tempat Kerja Sihat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan mengakui bahawa subjek kegemarannya ialah membantu perokok berhenti merokok!

Soalan pertama yang ditanya beliau kepada ibu bapa ialah: Adakah anda perokok?

Jika ya, Dr Wee ada beberapa fakta untuk dikongsi dengan anda:

  • Remaja dengan seorang ibu atau bapa yang merokok mempunyai lebih 3x kebarangkalian menjadi perokok
  • Jika kedua-dua ibu bapa merokok, risiko tersebut berganda
  • Ibu yang merokok mempunyai lebih kebarangkalian untuk mempengaruhi anak perempuan merokok dan ayah untuk mempengaruhi anak lelaki merokok
  • Anak sulung atau lebih tua mempunyai 15x lebih kebarangkalian untuk merokok sekiranya ahli-ahli dalam keluarga merokok (seperti ibu bapa/datuk/nenek/bapa saudara merokok) berbanding keluarga yang tidak merokok
  • Anak bongsu atau lebih muda pula mempunyai 6x lebih kebarangkalian untuk merokok jika saudara lebih tua merokok

“Semua ibu bapa perlu memahami bahawa jika mereka merokok, mereka juga sebenarnya meningkatkan risiko anak remaja mereka untuk merokok,” jelas Dr Wee. “Sebagai ibu bapa, keputusan terbaik yang anda boleh ambil ialah untuk mendapatkan rawatan berhenti merokok di klinik berhenti merokok seawal mungkin agar anak anda tidak menjadi seorang perokok kelak.”

Dr Wee menekankan bahawa bagi kanak-kanak atau remaja, merokok sering dianggap ‘sementara’. Katanya: “Mereka akan cakap mereka boleh ‘berhenti bila-bila masa’. Mereka tidak akan melihat diri mereka sebagai perokok, dan ini adalah satu tanggapan yang salah. Kebanyakan remaja tidak merokok setiap hari. Malah ibu bapa juga sering tersalah anggap bahawa ia hanyalah satu fasa dan berkata ‘Mereka suka cuba-cuba sahaja’.”

Tapi ini tidak benar. Dr Wee berkongsi bahawa kebanyakan kliennya yang mahu berhenti merokok mula merokok pada usia remaja, dan apabila mereka mahu berhenti, mereka telah mempunyai sejarah merokok yang panjang (30-40 tahun).

“Mereka mendapatkan perkhidmatan klinik berhenti merokok kerana mereka sudah mengalami gejala kesihatan akibat merokok. Namun pada masa ini, sudah sukar untuk berhenti kerana mereka benar-benar telah ketagih dengan nikotin. Kadar kegagalan dan kembali merokok amat tinggi pada usia ini. Ramai yang menyesal kerana mencuba rokok di usia muda dan tidak menjangkakan tahap ketagihan merokok yang mereka alami kini,” jelasnya.

“Golongan muda terutamanya perokok sosial dan bukan perokok harian juga akan mengalami kesukaran untuk berhenti disebabkan oleh ketagihan nikotin, dan selalunya kurang motivasi untuk berhenti. 70% cuba berhenti setiap tahun, tapi 90% yang mencuba akan kembali merokok.”

Dr Wee juga berkongsi bahawa penggunaan rokok elektronik telah meningkat tiga kali ganda dalam kalangan orang muda dan ini amat membimbangkan.

Namun harapan tetap ada. Dr Wee mencadangkan agar ibu bapa menggunakan strategi seperti STAR (Set, Tell, Anticipate, Remove) untuk menggalakkan remaja mereka berhenti merokok.

Strategi STAR

Set (Rancang): Bincangkan rancangan/tarikh berhenti merokok.

Tell (Beritahu): Beritahu dan bincang mengenai perubahan rutin harian anak anda dan dapatkan sokongan keluarga dan rakan. Bersedia dengan maklumat atau rancangan susulan (seperti aplikasi berhenti merokok di laman web). Guna duit yang dijimatkan sebagai ganjaran. Dapatkan bantuan profesional dan kekal aktif.

Anticipate (Jangka): Jangkakan bahawa cabaran seperti tekanan akibat gejala nikotin atau bergaul dengan perokok lain boleh menyebabkan anda merokok semula.

Remove (Buang): Buang semua benda yang mengingatkan anak anda kepada rokok. Elakkan situasi yang mendorong anak anda merokok.

Persekitaran yang tepat di rumah juga penting. Kata beliau: “Ibu bapa perlu membentuk rumah yang bebas rokok dan menjadi teladan yang baik kepada anak. Jangan benarkan keluarga atau orang lain merokok di dalam rumah anda. Anda juga perlu berhenti merokok. Membesarkan anak dalam persekitaran bebas asap rokok juga boleh menurunkan risiko asma, pneumonia, bronkitis dan jangkitan telinga.”

Faktor lain yang ibu bapa perlu pantau adalah kesan media sosial serta rakan-rakan sebaya anak anda di sekolah.

“Kanak-kanak sering mendapat maklumat berat sebelah dari media sosial. Ibu bapa perlu memantau sumber maklumat anak mereka. Mereka perlukan sumber maklumat yang boleh dipercayai. Contohnya, kanak-kanak mungkin menganggap kandungan nikotin dalam vape lebih rendah, perisa buahan atau sayuran dalam vape adalah sihat, vape tidak mengandungi tar atau bahan kimia lain yang berbahaya, atau tiada kesan sampingan berkaitan kesihatan apabila menghisap vape.

“Mereka mungkin berfikir vape ialah cara untuk berhenti merokok dan tidak sedar tentang kandungan nikotin dalam cecair vape tersebut,” kata Dr Wee.

Usaha bersepadu daripada ibu bapa perlu untuk memastikan anak-anak tidak terpengaruh untuk menghisap rokok atau vape. Dengan iklan dan media sosial, cabaran tersebut kini meningkat berkali ganda.

Walaupun begitu, masih ada sesuatu yang boleh dilakukan oleh ibu bapa sekarang. Dr Haniki dan Dr Wee menyarankan ibu bapa agar berhenti merokok dan memastikan rumah mereka bebas asap rokok, agar kita boleh menjadi sebuah negara Generasi Penamat Rokok.

Untuk mendaftar ke program berhenti merokok, sila lawat jomquit.com

“Jika tembakau ialah virus, ia pasti telah lama dianggap pandemik dan dunia akan menggembleng segala sumber untuk menghentikannya. Namun, ia adalah bisnes berbilion dolar yang mendapat untung daripada kematian & penyakit, menyebabkan kos tinggi ke atas sistem kesihatan dan meletakkan beban ekonomi yang besar dari segi kehilangan produktiviti.”

– Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, Ketua Pengarah WHO

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen