Pengasuhan Positif

Hidup Dengan Ekzema dan Haiwan Peliharaan

Kekerapan ekzema makin meningkat sehingga 2-3 kali ganda sejak dekad 1970-an. Lebih kurang 1 daripada 5 kanak-kanak di seluruh dunia terjejas akibat masalah kulit ini. Biasanya, kanak-kanak akan pulih daripada ekzema apabila meningkat remaja, tapi sesetengah orang akan berhadapan masalah ini sehingga dewasa dan menjadi masalah seumur hidup.

Penyelidik masih kurang pasti dengan punca sebenar ekzema, tapi beberapa pencetus yang boleh memburukkan masalah kulit ini telah dikenal pasti. Mengelakkan pencetus ialah langkah penting bagi memastikan ekzema terkawal. Antara pencetus tersebut ialah:

  • Jangkitan virus
  • Alergen makanan
  • Barang kosmetik
  • Pewangi
  • Cuaca
  • Alergen persekitaran, cth: hama debu, debunga, kulapuk, kelemumur haiwan

Salah satu penyebab utama ekzema ialah haiwan peliharaan. Sesetengah penghidap ekzema mungkin tiada masalah tinggal dengan haiwan, namun ada yang langsung tidak boleh bersentuhan dengan haiwan. Penting untuk anda tahu bagaimana haiwan boleh mencetuskan keradangan ekzema, sama ada haiwan tersebut sesuai untuk kanak-kanak yang menghidap ekzema, dan cara mencegah keradangan jika tinggal dengan haiwan peliharaan.

Bagaimana haiwan mencetuskan ekzema?

Walaupun haiwan bukan punca ekzema secara langsung, ia boleh menyumbang kepada pencetus (dalam bentuk kelemumur atau protein dalam air liur/kencing) yang menyebabkan keradangan ekzema. Apabila tubuh mempunyai alahan terhadap alergen (pencetus), banyak antibodi yang dihasilkan, lalu membawa kepada kemunculan gejala ekzema.

Adakah haiwan peliharaan sesuai untuk kanak-kanak dengan ekzema?

Tiada jawapan yang pasti kerana ia bergantung kepada keterukan gejala anak anda dan bagaimana dia bertindak balas pada rawatan profilaksis atau pencegahan.

Terdapat juga kajian menunjukkan bahawa memelihara haiwan, terutamanya anjing, pada peringkat awal hidup merupakan faktor perlindungan terhadap alahan. Ini berdasarkan hipotesis bahawa pendedahan kepada alergen membentuk pertahanan/imuniti. Ada juga kajian mendapati kanak-kanak yang memelihara haiwan sejak kecil mempunyai kurang antibodi yang menyebabkan gejala ekzema. Ini menunjukkan bahawa pendedahan kepada haiwan sejak kecil boleh mengurangkan risiko menghidap ekzema. Namun, kajian lain mendapati kanak-kanak dengan kecenderungan ekzema masih berkemungkinan tinggi mendapat ekzema walaupun didedahkan dengan haiwan semasa kecil.

Anda juga perlu tahu bahawa tiada haiwan peliharaan yang benar-benar “hipoalergenik” (haiwan yang kurang menghasilkan alergen). Kelemumur dan air liur akan masih terhasil, tak kira haiwan apa pun. Namun, anda boleh memilih jenis haiwan atau baka yang kurang meluruhkan bulunya. Haiwan tanpa rambut, bulu atau pelepah, seperti ikan atau serangga, juga boleh dipertimbangkan. Rujuklah doktor tentang tahap ekzema anak anda sebelum mendapatkan haiwan peliharaan.

Cara mencegah keradangan akibat haiwan peliharaan

Anda tidak perlu memilih antara memelihara haiwan atau menjaga kesihatan keluarga. Langkah pengawasan boleh diambil untuk memastikan keradangan ekzema tidak memburuk dan boleh dikawal. Ini termasuklah:

  • Hadkan akses haiwan ke kawasan tertentu dalam rumah. Sekat haiwan peliharaan anda daripada pergi ke kawasan tertentu (cth: bilik tidur, bilik kerja, almari, dll.) untuk mengehadkan pendedahan.
  • Mandikan dan bersihkan haiwan anda secara kerap. Haiwan peliharaan perlu kerap dibersihkan untuk menyingkirkan kelemumur terkumpul pada badannya dan mengurangkan kelemumur yang jatuh merata-rata dalam rumah.
  • Kerap bersihkan kawasan kelemumur terkumpul. Kawasan di mana haiwan peliharaan sering berada (cth: tempat tidur, tempat bermain, tempat kegemaran, dll.) perlu kerap dibersihkan.
  • Basuh tangan selepas menyentuh haiwan. Selepas membelai atau bermain dengan haiwan, pastikan anda atau anak anda membasuh tangan.
  • Jaga kesihatan haiwan anda. Haiwan peliharaan yang terkena jangkitan kulat boleh mencetuskan ekzema pada anak anda akibat jangkitan kulat sekunder, jadi rawatlah haiwan itu sewajarnya.

Selain daripada mengambil langkah pencegahan untuk memastikan haiwan peliharaan tidak mencetuskan ekzema, rutin penjagaan kulit ekzema yang berterusan juga penting. Pastikan kulit sentiasa dilembapkan kerana ia membantu mencegah dan melegakan keradangan. Sebagai contoh, guna pelembap kulit sebagai sebahagian daripada rutin penjagaan kulit peribadi.

Tiada jawapan yang pasti sama ada orang dengan ekzema boleh tinggal bersama haiwan peliharaan. Ia bergantung kepada keterukan gejala dan bagaimana individu tersebut boleh mengawal keradangan dengan ubatan dan langkah pencegahan. Dengan nasihat yang tepat dan pengurusan ekzema yang baik, anak anda juga mungkin boleh mendapat haiwan peliharaan!

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen