Pengasuhan Positif

Hepatitis Virus: Dari A ke E

Menjelang tahun 2022, terdapat laporan peningkatan jangkitan hepatitis akut di kalangan kanak-kanak atas sebab yang belum dikenalpasti. Namun, biasanya hepatitis berpunca daripada jangkitan virus hepatitis yang tertentu. Adakah apa yang anda tahu cukup untuk memastikan keselamatan anda dan keluarga?

Hati ialah organ dalaman penting yang berfungsi untuk pelbagai proses tubuh seperti penapisan, penghadaman, metabolisma lemak, penyahtoksikan dadah dan alkohol, sintesis protein serta simpanan vitamin dan mineral. Tanpa hati, hidup seharian kita pasti akan terjejas teruk. Kegagalan hati akut sering menyebabkan komplikasi seperti edema serebrum (cecair berlebihan di otak), masalah pendarahan, jangkitan dan kegagalan buah pinggang.

Hepatitis adalah salah satu penyakit yang menjejaskan hati. Ia disebabkan oleh sama ada jangkitan virus atau ejen tidak berjangkit, lalu mengakibatkan keradangan hati. Hepatitis terdiri daripada beberapa strain (jenis) berbeza, dan ia boleh membawa maut kepada hos jika penyakitnya teruk. Namun, jangan risau kerana terdapat cara pencegahan dan rawatan untuk setiap strain.

Gejala dan jenis

Terdapat pelbagai jenis atau strain virus hepatitis, daripada hepatitis A ke hepatitis E. Semua jenis penyakit ini menyasarkan hati dan fungsinya, lalu mencetuskan penyakit hati yang lain dan boleh mengakibatkan barah atau kegagalan hati.

Strain hepatitis berbeza dari segi cara jangkitan, keterukan penyakit, penyebaran geografi, dan kaedah pencegahan/rawatan. Oleh itu, sesetengah orang lebih terdedah kepada jenis virus tertentu berbanding virus lain. Contohnya, hepatitis A mungkin berpunca daripada kebersihan yang tidak memuaskan ketika mengendalikan makanan dan lebih prevalen di negara membangun dengan akses kebersihan yang terhad.

Semua jenis hepatitis menjejaskan hati. Oleh itu, gejala utama penyakit ini biasanya sama, seperti:

  • Jaundis (kekuningan)
  • Bengkak dan sakit abdomen
  • Bengkak di kaki dan buku lali
  • Kulit gatal
  • Air kencing gelap
  • Najis berwarna pucat
  • Keletihan kronik
  • Loya atau muntah
  • Hilang selera makan
  • Mudah lebam

Hepatitis A (hepA) amat mudah berjangkit dan kerap terjadi di negara membangun dengan tahap kebersihan yang buruk dan akses terhad kepada air bersih. Ia tersebar secara kemasukan virus ke dalam tubuh (melalui air atau makanan tercemar) dan penyebaran najis. Antara cara pencegahan jangkitan hepA adalah dengan vaksinasi. Selain vaksin, amalan kebersihan yang baik, terutamanya sebelum dan selepas makan juga cara yang bagus untuk mencegah jangkitan hepA.

Hepatitis B (hepB) adalah permulaan bagi penyakit kronik lain dan punca utama barah hati. Seperti hepA, ia juga disebabkan oleh penyebaran antara individu, tetapi melalui pertukaran cecair badan (seks atau sentuhan darah). Kebanyakan orang biasanya dijangkiti semasa lahir. Vaksinasi hepB termasuk dalam jadual imunisasi kanak-kanak di Malaysia. Antara rawatan penyakit ini ialah rawatan antiviral yang mencegah kerosakan hati dan barah.

Hepatitis C (hepC) adalah antara penyebab penyakit kronik dan punca utama barah dan pemindahan hati. Hari ini, kebanyakan orang dijangkiti oleh hepC apabila berkongsi jarum suntikan atau alatan lain untuk menyediakan dan menyuntik dadah. HepC tiada vaksin, maka cara terbaik untuk mencegahnya adalah dengan mengelakkan kelakuan yang boleh menyebarkan penyakit, contohnya melalui suntikan dadah. Ujian hepC juga penting kerana rawatan boleh menyembuhkan pesakit hepC dalam 12-24 minggu.

Hepatitis D ialah virus satelit yang hanya boleh menjangkiti orang yang pernah menghidap hepatitis B. Tiada vaksin untuk penyakit ini, namun terdapat ubatan. Selain itu, hepatitis E pula sama dengan hepA, kerana penyakit ini tersebar melalui makanan dan air tercemar. Namun, masih tiada vaksinasi meluas yang boleh didapati.

Vaksinkan orang tersayang!

Vaksinasi ialah cara pencegahan utama bagi penyakit hepA dan hepB dan terbukti berkesan mencegah penyakit tersebut. Vaksinasi amat disarankan bagi kanak-kanak kecil dan pengembara ke negara membangun.

Vaksin hepA terdiri daripada 2 suntikan yang diberi dalam jarak 6 bulan. Kanak-kanak disarankan mengambil dos pertama pada umur antara 12 dan 23 bulan. Jika anda mengembara, dapatkan vaksin tersebut sekurang-kurangnya sebulan sebelum perjalanan.

Di Malaysia, dos pertama vaksin hepB diberi ketika lahir, diikuti oleh 3 dos utama dan 1 dos penggalak yang diberi sebagai vaksin heksavalen pada umur 2 bulan, 3 bulan, 5 bulan dan 18 bulan.

Orang dewasa juga boleh mendapatkan vaksinasi hepB yang terdiri daripada 3 dos. Dos pertama boleh diambil pada bila-bila masa, dos kedua sebulan selepasnya, dan dos ketiga 6 bulan selepas dos pertama.

Pastikan keluarga anda, terutamanya kanak-kanak kecil, divaksin sepenuhnya bagi menjamin perlindungan daripada penyakit hepatitis dan potensi kerosakan hati.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen