Pengasuhan Positif

Jagalah Kesihatan Imuniti Anak Anda!

Adakah anda perasan bagaimana kanak-kanak kecil mudah jatuh sakit? Ini kerana sistem imun mereka masih berkembang dan kurang cekap melawan jangkitan. Apakah status imuniti anak anda dan bagaimana anda boleh membantu menguatkannya agar anak anda membesar dengan sihat?

Ujian status imuniti

Status imuniti anak anda dipengaruhi banyak faktor. Terdapat juga tanda yang anda perlu awasi kerana ia mungkin menunjukkan sistem imun yang lemah. Adakah perkara berikut ada pada anak anda?

Jika anda menjawab YA kepada mana-mana soalan, sila berbincang dengan doktor anak anda untuk menentukan jika terdapat masalah.

Baris pertahanan pertama

Sistem imun ialah jaringan sel, tisu dan organ yang berfungsi untuk mempertahankan tubuh daripada penceroboh seperti bakteria dan virus. Sistem imun terdiri daripada dua bahagian – sistem imun semula jadi (innate) dan boleh suai (adaptive) – dan usus memainkan peranan penting sebagai sebahagian daripada sistem imun semula jadi, serta dianggap barisan pertahanan pertama tubuh melawan jangkitan.

Tiga komponen dalam usus membantu melindungi tubuh daripada patogen: mikrobiota usus, lapisan epitelial usus dan sistem imun mukus. Malah, dijangka sekitar 70-80% sel imun tubuh berada dalam usus. Tiga komponen ini saling berkerjasama untuk mengatur tindak balas imun dalam usus.

Mikrobiota usus ialah komuniti bertrilion mikroorganisma yang hidup dalam ekosistem usus, dan kandungannya dipengaruhi oleh pelbagai faktor, cth. genetik, jantina, umur, pemakanan, cara kelahiran, tekanan, faktor sosioekonomi, dan faktor persekitaran. Mikrobiota usus yang sihat dan seimbang boleh membantu sistem imun dengan:

  • Memberi signal kepada sel imun untuk melawan patogen
  • Bersaing dengan patogen untuk mendapatkan nutrien, lalu mengekang pertumbuhannya
  • Membina lapisan pelindung di permukaan usus untuk mencegah patogen membuat koloni
  • Menghasilkan asid lemak rantai pendek (short-chain fatty acids, SCFA) dan metabolit lain yang boleh mengurangkan keradangan dan menggalakkan kesihatan penghadaman

Bagaimana untuk menguatkan imuniti?

Apa yang kita boleh lakukan untuk memastikan anak kita sihat dan sistem imunnya berfungsi dengan baik? Berikut beberapa cara:

  • Pemakanan sihat:

    Yang terbaik ialah diet seimbang yang mengandungi pelbagai makanan yang diambil secara sederhana.

  • Probiotik & prebiotik:

    Sertakan makanan kaya probiotik (cth. yogurt, kefir, tapai) dan prebiotik (cth. pisang, asparagus, bawang).

Probiotik ialah bakteria/mikrob baik yang membantu memperkaya mikrobiota usus, manakala prebiotik ialah makanan untuk bakteria baik dalam usus. Probiotik membantu memastikan keseimbangan mikrobiota usus, yang secara optimumnya perlu terdiri daripada 85% bakteria baik dan 15% bakteria jahat. Kedua-dua probiotik dan prebiotik memainkan peranan penting untuk memastikan kesihatan usus, lalu menguatkan sistem imun.

  • Kekal aktif: Galakkan anak anda bergerak aktif sekurang-kurangnya 1 jam sehari – ini termasuklah aktiviti mudah seperti bermain di taman atau berjalan-jalan.
  • Tidur secukupnya: Pastikan anak anda tidur mengikut jadual yang sesuai dengan umurnya.
  • Pengurusan tekanan: Luangkan masa berkualiti dengan anak anda dan dengar luahan hatinya.
  • Vaksinasi: Jangan terlepas suntikan vaksin yang dijadualkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan dan dapatkan juga vaksin tambahan yang disarankan.
  • Pencegahan asas: Membasuh tangan dengan betul, etika batuk/bersin, memakai pelitup muka, menjauhi tempat sesak – ini semua langkah asas untuk mencegah jangkitan.

Pandemik ini juga mengingatkan kita tentang kepentingan untuk menjaga kesihatan dan sistem imun kita. Penting juga untuk kita tahu bahawa usus kita memainkan peranan utama dalam mengekalkan imuniti kita. Mula pupuk tabiat sihat dalam anak anda sejak kecil bagi memastikan dia membesar menjadi dewasa dengan sihat.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen