Pengasuhan Positif

Pemindahan Sel Tunjang Darah Tali Pusat: Rawatan Penyelamat Nyawa

Darah tali pusat? Sel tunjang? Pernahkah anda mendengar perkataan ini? Bagaimana pula dengan pemindahan sel tunjang darah tali pusat? Tahukah anda bahawa prosedur ini boleh digunakan untuk merawat lebih kurang 80 penyakit?

Terma asas

Sebelum kita pelajari lebih lanjut mengenai pemindahan sel tunjang darah tali pusat, berikut penjelasan ringkas tentang terma penting yang perlu anda ketahui:

  • Sel tunjang (Stem cells): Sejenis sel dengan potensi untuk berkembang menjadi pelbagai jenis sel berbeza dalam tubuh. Sel tunjang berperanan sebagai sistem pemulihan tubuh. Ia berfungsi untuk menggantikan, membaiki atau menghasilkan semula sel-sel rosak, contohnya, sel otak, sel jantung, dll. Sel tunjang pluripoten boleh ditemui dalam sumsum tulang, darah periferal dan darah tali pusat.

  • Darah tali pusat (Cord blood): Darah daripada bayi yang berbaki dalam tali pusat dan uri selepas lahir. Darah tali pusat kaya dengan sel tunjang hematopoetik (haematopoietic stem cell, HSC), iaitu sel tunjang khas yang menghasilkan darah, sama seperti yang ditemui dalam sumsum tulang. HSC berperanan penting untuk menghasilkan darah dan memulihkan sistem imun. Sel tunjang yang berharga ini boleh disimpan untuk diguna sebagai rawatan perubatan di masa hadapan.

Pemindahan sel tunjang darah tali pusat

Pemindahan sel tunjang ialah satu prosedur untuk menggantikan sel darah yang rosak dengan yang sihat, terutamanya apabila sumsum tulang telah rosak dan tidak dapat menghasilkan sel darah baru yang sihat. Prosedur ini juga dijalankan untuk menggantikan sel darah yang rosak atau musnah selepas rawatan kanser intensif.

Terdapat dua jenis pemindahan sel tunjang: 1) alogeneik (menggunakan sel tunjang daripada orang lain yang sepadan), dan 2) autologus (menggunakan sel tunjang sendiri yang diambil dan disimpan lebih awal). Darah tali pusat ialah salah satu sumber sel tunjang. Sumber lain termasuklah sumsum tulang dan darah periferal.

Manfaat yang terbukti dan penggunaan baru

Pemindahan sel tunjang darah tali pusat telah diluluskan oleh Jabatan Makanan dan Ubatan (FDA USA) sebagai rawatan standard untuk lebih kurang 80 penyakit dan lebih 40,000 pemindahan telah dijalankan dalam masa lebih 30 tahun yang lalu sejak pemindahan pertama pada 1988.

Pemindahan sel tunjang darah tali pusat paling kerap digunakan untuk merawat penyakit darah, seperti leukemia, talasemia, limfoma dan anemia anaplastik. Ia juga telah digunakan untuk merawat pelbagai penyakit genetik, seperti:

Walaupun penggunaan sel tunjang darah periferal makin meningkat sejak kebelakangan, lalu mengurangkan peranan sel tunjang darah tali pusat dalam sesetengah rawatan, kajian masih berterusan untuk meneroka potensi sel tunjang darah tali pusat dalam bidang perubatan yang baru, seperti terapi sel dan perubatan regeneratif untuk autisme, palsi serebrum, kecederaan saraf tunjang, kehilangan pendengaran, diabetes, dan sebagainya.

Kisah sebenar yang berikut ialah satu contoh pemindahan sel tunjang darah tali pusat yang berjaya:

Cerita pesakit: Menghadapi leukemia

Maria, seorang ibu muda, amat sedih apabila anak perempuannya, Anna, telah didiagnosis dengan leukemia mieloid akut pada umur 12 bulan. Semasa penilaian awal, doktor hanya memberikannya kurang daripada 10% peluang untuk hidup dan tubuhnya yang kecil menderita akibat kanser tersebut.

Selain itu, Maria juga mendapati bahawa dia mengandung anak kedua. Akibat tekanan dan terdesak mencari rawatan untuk Anna, Maria juga mempertimbangkan untuk menggugurkan kandungan dan merujuk beberapa doktor.

Mujurlah seorang pakar ginekologi menasihatkannya untuk tidak meneruskan pengguguran dan membawa sinar harapan untuk menyembuhkan anaknya apabila dia memperkenalkan Maria kepada “pemindahan sel tunjang darah tali pusat”. Anna berpeluang untuk sembuh jika dia dapat menjalani pemindahan sel tunjang darah tali pusat menggunakan sel tunjang adiknya nanti, sekiranya Anna dapat bertahan sehingga kelahiran adiknya dan sel tunjang darah tali pusat adiknya sepadan untuknya.

Akhirnya, Maria melahirkan Isaac dan sel tunjang darah tali pusatnya diambil ketika lahir untuk simpanan jangka panjang. Berita baiknya, sel tunjang tersebut sepadan untuk Anna. Maria dan suaminya gembira mendapat khabar tersebut. Dua bulan kemudian, pemindahan sel tunjang berjaya dijalankan. Anna makin pulih sedikit demi sedikit dan nyawanya berjaya diselamatkan dengan sumbangan sel tunjang daripada adiknya.

Nota: Nama dan perincian telah ditukar untuk melindungi privasi.

 

Penyimpanan darah tali pusat

Penyimpanan darah tali pusat ialah proses mengambil sel tunjang yang boleh menyelamatkan nyawa daripada tali pusat dan uri bayi baru lahir dan menyimpannya untuk tujuan perubatan di masa depan. Darah tali pusat akan diambil selepas lahir dan diletakkan dalam beg simpanan, lalu dihantar ke bank darah tali pusat. Di bank tersebut, darah tali pusat itu akan dikrioawet untuk simpanan jangka panjang.

Di Malaysia, Pusat Darah Negara telah menubuhkan bank darah tali pusat awam di mana ibu bapa boleh menderma darah tali pusat anak mereka untuk kegunaan awam. Ia telah beroperasi sejak 2001 sehingga hujung 2021, selalunya dengan kerjasama Hospital Kuala Lumpur. Sumbangan baru tidak lagi diambil, tapi unit sedia ada masih disimpan.

Banyak pemindahan berjaya dijalankan dengan darah tali pusat yang disimpan, contohnya melibatkan pesakit anemia aplastik, anemia Fanconi, leukemia mieloid akut dan leukemia limfoblastik akut.

Terdapat juga beberapa bank darah tali pusat swasta, di mana ibu bapa boleh menyimpan darah tali pusat anak mereka untuk kegunaan peribadi. Bank darah tali pusat swasta ialah satu pilihan yang boleh dipertimbangkan oleh keluarga dengan sejarah penyakit malignan atau genetik yang boleh dirawat dengan pemindahan sel tunjang.

Darah tali pusat daripada keluarga berkemungkinan lebih sepadan berbanding dengan darah tali pusat orang lain. Contohnya, adik-beradik ada 25% kemungkinan sebagai padanan sempurna dan 50% kemungkinan sebagai padanan separa. Jika pemindahan sel tunjang diperlukan untuk merawat orang tersayang, darah tali pusat yang disimpan telah sedia ada dan anda tidak perlu mencari penderma.

 

Patutkah anda menyimpan darah tali pusat semua anak anda?

Menyimpan darah tali pusat setiap anak memberi anda lebih banyak pilihan kerana anda tidak akan pasti unit mana yang sepadan jika pemindahan alogeneik diperlukan. Selain itu, kekurangan darah tali pusat ialah jumlahnya yang terhad dan hanya boleh diambil sekali ketika lahir. Maka, anda mungkin perlu menyimpan beberapa unit darah tali pusat sebagai simpanan tambahan sekiranya pemindahan pertama gagal atau penyakit muncul kembali.

Pemindahan sel tunjang darah tali pusat ialah sebahagian daripada kemajuan perubatan yang telah menyelamatkan ramai pesakit. Bagi keluarga yang berisiko mendapat penyakit tertentu, ia mungkin satu pilihan yang perlu diambil di masa hadapan. Rujuk doktor anda untuk mengetahui lebih lanjut tentang prosedur ini dan langkah-langkah persediaan. Jika anda memutuskan untuk menyimpan darah tali pusat anak anda, bersedialah lebih awal sebelum tarikh kelahiran.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen