Pengasuhan Positif

Kanak-Kanak Petatih & Tadika: Mereka Juga Perlu Dilindungi!

Kanak-kanak paling terdedah kepada jangkitan semasa bayi – kerana itulah mereka perlu menerima banyak suntikan imunisasi seawal mungkin pada peringkat umur tersebut. Namun, ini tidak bermakna sistem imun mereka telah matang sepenuhnya apabila mereka mula berjalan dan bercakap.

Selepas peringkat bayi, peringkat perkembangan kanak-kanak seterusnya ialah peringkat awal kanak-kanak, satu fasa penting apabila kanak-kanak mula meneroka sendiri persekitarannya. Ketika inilah mereka akan mula berjalan, mengucapkan ayat pertama, mula berkawan, pertama kali pergi ke tadika dan pelbagai lagi perkara baru dalam hidup. Biasanya, di peringkat awal kanak-kanak, mereka digelar kanak-kanak petatih pada umur 1-3 tahun dan kanak-kanak tadika pada umur 4-6 tahun.

Peringkat vaksinasi

Kanak-kanak menerima kebanyakan suntikan vaksin pada umur yang awal. Berikut garis masa jadual vaksinasi berdasarkan peringkat umur kanak-kanak:

Apabila seorang kanak-kanak mencapai umur 1 tahun, dia sepatutnya telah menerima sekurangnya 9 daripada 14 jumlah suntikan vaksin (atau lebih jika berada di Sarawak/Sabah) seperti yang dijadualkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan (PIK). Dia juga akan terus menerima baki suntikan semasa kanak-kanak dan remaja.

Strategi memberikan vaksin sebanyak dan seawal mungkin diambil di seluruh dunia kerana kanak-kanak terdedah kepada penyakit, terutamanya semasa bayi. Penyakit berjangkit, seperti tuberkulosis, polio, difteria, campak dan penyakit pneumokokus, boleh mengancam nyawa bayi. Namun, ini tidak bermakna kanak-kanak petatih dan tadika bebas daripada bahaya!

Kenapa mereka juga perlu divaksin?

Kanak-kanak kecil yang telah menerima suntikan vaksin semasa bayi akan dilindungi daripada penyakit berkenaan. Namun, mereka masih perlu melengkapkan dos vaksin PCV, DTaP-IPV-HepB-Hib dan JE selepas umur 1 tahun untuk memastikan perlindungan sepenuhnya terhadap penyakit tersebut.

Selain itu, penting bagi kanak-kanak petatih dan tadika untuk menerima dan melengkapkan vaksinasi kerana kanak-kanak bawah 5 tahun juga dikategorikan sebagai kumpulan berisiko tinggi yang boleh diancam penyakit berjangkit kerana sistem imun mereka yang masih belum matang.

Peringkat awal kanak-kanak juga merupakan tempoh apabila kebanyakan kanak-kanak mula pergi ke pusat jagaan, tadika atau prasekolah. Di tempat-tempat ini, mereka berada dalam jarak yang dekat dengan kanak-kanak lain, para pengasuh dan guru, lalu mendedahkan mereka kepada jangkitan. Pada umur ini, kanak-kanak juga tinggi rasa ingin tahu untuk meneroka persekitaran mereka dan kecenderungan ini boleh membuatkan mereka dijangkiti.

Sebab lain kanak-kanak petatih dan tadika perlu divaksin ialah untuk menyediakan lapisan perlindungan tidak langsung kepada populasi berisiko tinggi lain dalam rumah, seperti bayi, warga emas dan individu dengan penyakit kronik atau sistem imun yang terjejas.

Ibu bapa juga perlu ketahui bahawa kebanyakan pusat jagaan, tadika dan prasekolah mungkin mewajibkan kanak-kanak agar lengkap divaksin mengikut PIK jika mahu mendaftar dengan mereka.

Nota berkenaan vaksinasi susulan pneumokokus

PCV akhirnya telah dimasukkan dalam PIK bermula tahun 2020 dan ini satu khabar gembira. Namun begitu, ia kini hanya diberi percuma kepada kanak-kanak yang lahir pada tahun 2020 atau kemudian. Kanak-kanak yang lahir lebih awal sedikit masih berumur bawah 5 tahun ketika ini dan masih perlu dilindungi daripada jangkitan pneumokokus.

Oleh itu, vaksinasi susulan (catch-up) pneumokokus untuk kumpulan kanak-kanak ini juga disarankan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa vaksinasi susulan perlu dilaksanakan apabila memperkenalkan PCV dalam PIK jika boleh. Ini bertujuan untuk meningkatkan kesan pencegahan dalam kanak-kanak berumur antara 1-5 tahun. Rujuk pakar pediatrik untuk mengetahui lebih lanjut tentang vaksinasi susulan pneumokokus untuk anak anda.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen