Pengasuhan Positif

Imunisasi Kanak-Kanak di Malaysia: Dulu, Kini & Akan Datang

Program Imunisasi Kebangsaan (PIK) untuk kanak-kanak pertama kali diperkenalkan di Malaysia pada awal 1950-an dengan pengenalan vaksin cacar. Makin banyak vaksin telah diperkenalkan sejak itu, dan ketika ini, liputan imunisasi kita boleh dianggap tinggi di paras >95%. PIK menyediakan vaksinasi percuma untuk semua kanak-kanak; namun bermula tahun 2015, individu bukan warganegara dikenakan bayaran kecil. Sejak PIK dimulakan di negara kita, prevalens penyakit yang dilindungi telah menurun dengan ketara.

Masa kini: Vaksin 6-dalam-1 dan PCV

Terdapat 2 perubahan terbaru dalam PIK: 1) pertukaran daripada vaksin 5-dalam-1 ke vaksin 6-dalam-1, 2) pengenalan vaksin konjugat pneumokokus (PCV).

Pada November 2020, Kementerian Kesihatan memperkenalkan vaksin 6-dalam-1 atau heksavalen untuk menggantikan vaksin 5-dalam-1 atau pentavalen yang digunakan sebelum ini. Vaksin 5-dalam-1 (DTaP-IPV/Hib) memberikan perlindungan terhadap difteria, tetanus, pertusis, polio dan Haemophilus influenzae jenis b, dan diberi dalam 3 dos utama pada umur 2 bulan, 3 bulan dan 5 bulan, serta dos penggalak pada umur 18 bulan.

Kini, vaksin 6-dalam-1 (DTaP-IPV-HepB-Hib) juga memberi perlindungan terhadap 5 penyakit tersebut, serta perlindungan tambahan terhadap hepatitis B. Bilangan dos yang sama akan diberi pada umur yang sama (2, 3, 5 dan 18 bulan). Vaksin monovalen hepatitis B (HepB), yang sebelum ini diberi semasa lahir, pada umur 1 bulan dan 6 bulan, kini hanya akan diberi dalam 1 dos semasa lahir.

Pertukaran ini dapat mengurangkan bilangan suntikan yang diperlukan untuk melindungi daripada 6 penyakit, iaitu daripada 7 kepada 5 suntikan sahaja. Ini membantu ibu bapa untuk memastikan anak mereka menerima vaksin tepat pada masanya mengikut jadual kerana bilangan suntikan serta lawatan ke klinik telah dikurangkan. Bilangan suntikan yang berkurang juga bermakna makin kurang kesakitan dan keresahan yang perlu anak anda lalui.

Kemudian, pada Disember 2020, vaksin konjugat pneumokokus (PCV) akhirnya dimasukkan ke dalam PIK selepas peruntukan diluluskan pada tahun sebelumnya. PCV10, yang melindungi daripada pneumokokus serotip 1, 4, 5, 6B, 7F, 9V, 14, 18C, 19F dan 23F, akan diberi dalam 3 dos – 2 dos utama pada umur 4 dan 6 bulan, serta 1 dos penggalak pada umur 15 bulan. Namun, hanya kanak-kanak yang lahir pada tahun 2020 atau selepas itu yang layak mendapat suntikan PCV percuma melalui PIK. Walaupun begitu, ini satu perkembangan penting untuk PIK.

Jadual PIK terkini

Vaksinasi COVID-19 untuk kanak-kanak dan remaja

Vaksinasi COVID-19 untuk kumpulan remaja (12-17 tahun) telah dimulakan pada September 2021, dengan 2 dos biasa diberikan dalam jarak masa sekurangnya 21 hari. Ketika artikel ditulis, hampir 90% remaja di Malaysia telah menerima kedua-dua dos.

Sementara itu, vaksinasi COVID-19 untuk kanak-kanak (PICKids) berumur antara 5-11 tahun juga telah dimulakan pada Februari 2022. 2 dos akan diberi dalam jarak masa 8 minggu. Dos lebih rendah untuk kanak-kanak akan diberikan, iaitu lebih kurang 1/3 dos biasa.

Masa hadapan

PIK untuk kanak-kanak di Malaysia ketika ini memberi perlindungan terhadap 13 penyakit: tuberkulosis, difteria, tetanus, pertusis, polio, Haemophilus influenzae jenis b, Hepatitis B, papilomavirus manusia, campak, beguk, rubela, ensefalitis Jepun (hanya Sarawak) dan terbaru, pneumokokus.

Masih terdapat beberapa vaksin tambahan lain yang digalakkan, seperti vaksin rotavirus, meningokokus, cacar air, hepatitis A dan influenza. Vaksin-vaksin ini boleh dicadangkan untuk dimasukkan ke dalam PIK pada masa hadapan jika perlu.

Namun, kebangkitan gerakan antivaksin kebelakangan ini, terutamanya dalam menentang usaha vaksinasi COVID-19, boleh menjejaskan perkembangan program imunisasi kita. Antara penyelesaian yang dicadangkan ialah penguatkuasaan vaksinasi mandatori. Namun, usaha untuk mendidik orang awam tentang kepentingan vaksinasi juga perlu diteruskan.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen