Pengasuhan Positif

Gejala Gastrousus yang Biasa di Kalangan Kanak-Kanak

Gejala gastrousus, seperti sakit perut, cirit-birit, sembelit dan muntah, adalah antara gejala yang sering menyebabkan ibu bapa membawa anak mereka berjumpa doktor.

Salur gastrousus bermula dari mulut dan berakhir di dubur, serta merangkumi kerongkong, esofagus, perut, usus kecil dan usus besar, serta organ dalaman seperti hati dan pankreas yang merembeskan enzim dan bahan penting lain ke dalam saluran tersebut untuk membantu pencernaan.

Fungsi sistem gastrousus boleh terjejas akibat pelbagai faktor, seperti jangkitan, refluks gastroesofagus, alergi makanan, keradangan dan gangguan pencernaan lain. Berikut adalah beberapa gejala gastrousus yang kerap dilihat dalam bayi dan kanak-kanak:

  1. Sakit perut/abdomen: Kanak-kanak boleh mengalami sakit perut sama ada yang ringan dan sementara atau yang teruk dan kronik. Kesakitan boleh dirasai di seluruh abdomen atau spesifik di bahagian tertentu. Ini sering menyebabkan kanak-kanak rasa tidak selesa. Kebanyakan punca tidak serius, tetapi penting untuk berjumpa doktor bagi memastikan punca yang serius boleh dikesan awal.

Punca-puncanya: Punca yang biasa adalah sembelit, gastroenteritis (cth. jangkitan rotavirus, kepialu), keracunan makanan, alahan makanan dan tekanan psikososial. Antara punca lain termasuklah apendisitis, penyakit radang usus (IBD), jangkitan salur kencing, batu hempedu, usus tersumbat, ulser peptik dan banyak lagi.

Awas! Dapatkan rawatan segera sekiranya sakit perut menjadi sangat teruk dan tidak tertahan, atau jika ia kerap terjadi secara berterusan. Awasi gejala lain seperti penurunan berat badan, demam panas, darah dalam najis atau muntah yang teruk. Sekiranya anda risau, dapatkan nasihat doktor kerana sakit perut boleh jadi petanda pelbagai masalah.

  1. Cirit-birit: Ini bermakna kerap membuang air besar dengan najis yang lembik dan berair. Cirit-birit adalah masalah biasa yang mungkin berlaku selama 1 atau 2 hari dan biasanya akan pulih sendiri. Namun, ia juga boleh berlanjutan sehingga 1-2 minggu. Ini boleh jadi petanda masalah yang lebih serius jika berlanjutan lebih lama.

Punca-puncanya: Cirit-birit jangka pendek biasanya disebabkan oleh keracunan makanan, gastroenteritis (cth. jangkitan rotavirus), intoleransi makanan, tindak balas terhadap ubatan dan sebab-sebab lain. Cirit-birit jangka panjang atau kronik mungkin disebabkan oleh sindrom usus rengsa (IBS), jangkitan gastrousus kronik, kolitis ulseratif, penyakit Crohn, gangguan endokrin dan masalah lain.

Awas! Dehidrasi adalah antara kebimbangan utama apabila kanak-kanak mengalami cirit-birit. Awasi tanda-tanda dehidrasi, seperti kurang membuang air kecil, kurang air mata ketika menangis dan dahaga yang melampau. Tanda lain yang serius termasuklah kesedaran yang menurun, tidak berupaya mengekalkan cecair oral, kerap muntah dan demam panas. Penilaian oleh doktor penting supaya dehidrasi dikesan dan dirawat lebih awal.

  1. Sembelit: Sembelit merujuk kepada kesukaran membuang najis yang keras dan kering. Pergerakan usus mungkin menyebabkan kesakitan pada dubur dan darah dalam najis. Ia boleh berlaku pada kanak-kanak pelbagai umur, tetapi kerap terjadi di kalangan kanak-kanak petatih yang berlatih membuang air di tandas dan kanak-kanak bersekolah yang lebih muda. Sebilangan besar kes boleh diatasi jika ditangani lebih awal dan sewajarnya.

Punca-puncanya: Tekanan daripada latihan membuang air di tandas, kekurangan serat atau cecair dalam diet, sindrom usus rengsa, sering menahan air besar, perubahan rutin serta ubat-ubatan – semua ini boleh menyebabkan sembelit.

Awas! Rujuk doktor jika masalah itu berlanjutan atau jika terdapat petanda lain seperti penurunan berat badan atau muntah. Enkopresis (terbuang air besar tanpa sengaja) adalah antara komplikasi sembelit kronik dengan penahanan najis yang mungkin memerlukan nasihat perubatan.

  1. Muntah: Berlaku apabila kandungan dalam perut terkeluar daripada mulut. Ia bukan sekadar jeluak (regurgitation). Antara punca biasa berlakunya muntah ialah gastroenteritis akibat jangkitan virus atau bakteria.

Punca-puncanya: Terdapat pelbagai punca muntah terjadi, seperti mabuk pergerakan, keracunan makanan, jangkitan salur kencing atau demam. Ia juga boleh berlaku kerana makan terlalu banyak, terlalu teruja, gugup atau bimbang. Penyakit serius seperti meningitis, apendisitis dan usus tersumbat juga boleh menyebabkan muntah.

Awas! Muntah berterusan adalah tidak normal, jadi dapatkan rawatan untuk memastikan ia diurus dengan sewajarnya. Ini terutamanya jika anak anda muntah dengan teruk (muntah bersembur), muntahnya mengandungi darah atau hempedu, disertai dengan cirit-birit yang teruk, sering meragam atau tahap kesedarannya berubah-ubah. Dehidrasi juga satu bahaya apabila anak muntah, jadi awasilah tanda-tandanya.

Memastikan kesihatan sistem gastrousus

Untuk memastikan sistem gastrousus anak anda sihat dan terus berfungsi dengan normal, berikut adalah beberapa perkara yang perlu diberi perhatian:

  • Diet: Diet yang sihat dan seimbang penting untuk pertumbuhan dan perkembangan optimum anak anda, yang menyumbang kepada kesihatannya secara keseluruhan.
  • Kebersihan: Amalan kebersihan yang baik (seperti mencuci tangan sebelum dan selepas makan, dan selepas pergi ke tandas) adalah penting untuk mencegah jangkitan yang boleh menyebabkan masalah gastrousus. Utamakan kebersihan apabila menyediakan makanan di rumah atau membeli makanan di luar.
  • Rutin harian yang baik: Mengekalkan rutin harian yang baik dengan tidur yang mencukupi, waktu makan yang tetap dan senaman sihat akan membantu menjaga kesihatan usus.
  • Kesejahteraan psikososial: Beri perhatian kepada kesihatan mental anak anda dan pastikan hubungan yang baik dan mesra dalam keluarga.

Sistem gastrousus yang sihat akan memastikan anak anda tidak mengalami kesakitan dan ketidakselesaan akibat masalah gastrousus di atas. Sentiasa dapatkan nasihat perubatan lebih awal jika anda risau tentang gejala anak anda.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen