COVID-19 melanda dunia dengan hebat sejak dua tahun lalu dan akibatnya ramai orang di serata dunia menderita. Pandemik ini amat dahsyat dari pelbagai segi kerana ia mengakibatkan kesakitan, kematian dan pengasingan, serta menyebabkan gangguan ekonomi dan sosial yang parah. Kesannya teruk dan meluas, dan masih terus dirasai di seluruh dunia.
Kini kita melangkah ke tahun 2022, dan ramai yang mula bangkit. Dengan lebih daripada 90% populasi dewasa di Malaysia telah divaksin dan akan mendapatkan suntikan penggalak, sinar harapan mulai kelihatan untuk kita menyesuaikan dan meneruskan hidup kita.
Namun begitu, jalan pemulihan akan penuh dengan cabaran. Lebih-lebih lagi, sebagai ibu bapa kita mempunyai tanggungan yang mengharapkan kita, jadi bagaimana kita boleh menjaga diri agar kita boleh menjadi ibu bapa yang baik? Apakah masalah yang mungkin kita hadapi apabila kita kembali ke pejabat dan anak-anak kembali ke sekolah? Bagaimana keluarga boleh berhadapan dengan “norma baharu”?
Prof Dr Alvin Ng menganggap situasi yang kita hadapi kini di luar daripada pengalaman “normal” kita dan ini boleh mendatangkan perasaan tertekan, gelisah dan tidak berdaya.
“Pandemik ini boleh menyebabkan kesan teruk jangka panjang yang berterusan, bukan sahaja pada orang dewasa, malah pada kanak-kanak dan remaja. Faktor seperti kematian orang tersayang, pengasingan, kehilangan pendapatan dan ketakutan boleh mencetuskan masalah kesihatan mental atau melaratkan masalah sedia ada. Ramai orang mungkin mengalami insomnia, kemurungan dan keresahan,” katanya.
Datuk Dr Zulkifli Ismail bersetuju dan menambah bahawa ramai yang berdepan kesusahan di peringkat asas lagi, seperti mendapatkan makanan dan memperoleh pendapatan yang stabil. “Apabila ini terjadi, kanak-kanak juga akan terkesan dengan teruk,” katanya.
Kanak-kanak akan turut terpalit dengan keresahan yang dirasai oleh orang dewasa, seperti ibu bapa, datuk, nenek serta orang lain di sekeliling mereka.
Kanak-kanak tidak bercakap, takut untuk keluar rumah, meragam kerana tidak mahu tinggalkan rumah – ini semua tanda mereka perlukan bantuan. Tidak anehlah kenapa terdapat peningkatan panggilan kepada sebilangan pakar, seperti pakar pediatrik perkembangan, pakar psikologi dan pakar terapi pertuturan.
Kenali tanda amaran
Bagaimana ibu bapa boleh mengenal pasti bila anak mereka memerlukan bantuan? Dr Rajini Sarvananthan berkata ibu bapa memainkan peranan penting.
“Jika anak anda makin kuat merungut, kuat meragam dan berkelakuan agresif, atau sebaliknya, makin pendiam dan menyendiri, kedua-dua jenis kelakuan ini mungkin tanda-tanda amaran.
“Perubahan corak tidur dan masalah selera makan juga mungkin menandakan sesuatu tidak kena. Ibu bapa mesti sentiasa peka dengan tanda-tanda ini,” kata Dr Rajini, lalu menambah yang guru dan penjaga juga berperanan. “Sesiapa yang menjaga kanak-kanak perlu memakai ‘topi detektif’ dan mengawasi apa-apa perubahan.”
Seringkali kanak-kanak tidak sedar pun mereka dalam bahaya. Orang dewasa mungkin telah belajar untuk bertahan dan meminta bantuan, namun kanak-kanak tidak tahu apa-apa. Dr Alvin menjelaskan: “Kanak-kanak, terutamanya yang masih kecil, belum belajar kata-kata yang sesuai untuk menyatakan apa yang berlaku dalam diri mereka atau meluahkan emosi mereka.”
Kanak-kanak boleh belajar
Dr Alvin mencadangkan anda boleh mencegah tanda amaran dengan mengajar anak anda tentang kesusahan yang akan dihadapi, dan melatihnya untuk bertahan. Ajarnya kemahiran untuk meminta bantuan apabila terdesak, nasihatnya lagi.
“Dengan COVID jangka panjang, kita perlu menyediakan anak-anak kita dengan cara ini,” kata pakar psikologi klinikal tersebut.
“Ajar anak anda cara untuk berkomunikasi, bukan hanya dengan adik-beradik dan rakan, tapi dengan orang dewasa lain juga. Anda akan mula membiasakannya dengan pengurusan emosi dengan cara ini. Jika kanak-kanak boleh mempelajari kemahiran ini, apabila mereka besar, mereka akan lebih bersedia berhadapan dengan cabaran baru dalam hidup.”
Membantu remaja
Dalam pada itu, remaja mempunyai akses ke media sosial dan jumlah maklumat yang besar (serta berita palsu) boleh membuatkan mereka gelisah dan takut.
Oleh itu, Dr Zulkifli merasakan bahawa penting untuk menggalakkan komunikasi terbuka. “Waktu makan ialah masa terbaik untuk membincangkan sesuatu perkara. Pastikan peranti digital diketepikan dan anda menumpukan perhatian semasa makan bersama. Buka minda terhadap pandangan masing-masing dan berbuallah tentang pelbagai perkara.”
Mendengar secara aktif, terutamanya dengan kanak-kanak, merupakan sebahagian besar daripada komunikasi berkesan. Pastikan anda memberi perhatian, beri peluang anak anda berkata-kata dan bersikap terbuka.
Dr Alvin mencadangkan ibu bapa untuk memupuk kemahiran kelakuan adaptif apabila mendidik anak mereka, contohnya, cara untuk bertenang. “Lebih kerap anda berlatih untuk bertenang, lebih mudah untuk anda bertenang,” terangnya.
Penyelesaian masalah juga satu kemahiran yang perlu digalakkan. “Dengan ini, walaupun anda rasa teruk, anda boleh mengetepikan emosi anda dan menumpukan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Psikologi positif seperti ini membantu seseorang maju dalam hidup walaupun berdepan cabaran.”
Masa berkualiti dan tabiat baik
Walaupun ibu bapa meluangkan banyak masa di rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan, ironinya ramai yang rasa bersalah! Ini kerana mereka terlalu sibuk memenuhi keperluan rumah dan kerja, hingga ramai ibu bapa yang tidak dapat memberi perhatian secukupnya kepada anak-anak.
Dr Rajini berkongsi beberapa petua mudah untuk mengatasi cabaran ini. “Anda boleh melakukan sesuatu di rumah yang tidak mengambil banyak masa, tapi akan membolehkan anda berhubung dengan anak anda secara bermakna.”
Pakar perunding pediatrik perhubungan tersebut mencadangkan keluarga untuk melakukan kegiatan mudah tapi bermakna, seperti mengemas katil bersama anak kecil, bermain semasa waktu mandi dengan bayi, bergurau dengan cara menggeletek mereka, berjalan-jalan atau bersenam bersama.
“Kegiatan ini tidak perlu ‘besar’. Yang penting ialah hal-hal kecil yang anda lakukan, yang boleh menjadi pencetus kepada komunikasi terbuka, sebagai antara sasaran utama yang anda mahu capai dalam keluarga.”
Satu lagi perkara yang perlu diingat ialah kita mesti terus mengamalkan tabiat sihat: makan dengan baik, tidur yang cukup, minum air secukupnya, bersenam dan kekal cergas. Bergaul dan membentuk persahabatan yang bermakna juga boleh meningkatkan kualiti hidup.
Pupuk kerohanian
Kerohanian ialah satu lagi cara untuk menangani tekanan. Ia berperanan besar dalam membantu kita bertahan semasa waktu sukar dan membina kekuatan semangat.
Tak kira agama apa yang anda anuti, kerohanian boleh mengukuhkan ikatan keluarga dan menyumbang kepada kestabilan keluarga. Kajian mendapati kanak-kanak dan remaja yang dibesarkan dengan amalan keagamaan atau kerohanian cenderung mempunyai kesihatan mental lebih baik dan hidup lebih sihat. Mereka juga memiliki kepuasan hidup, memproses emosi dengan lebih baik dan lebih mudah memaafkan orang di sekeliling.
Namun, Dr Zulkifli menyatakan bahawa kerohanian sering kali dipinggirkan.
“Walaupun ia sebahagian daripada aspek perkembangan manusia, kerohanian sering tidak diendahkan dalam komuniti besar sains. Walaupun begitu, kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak juga mempunyai kemampuan rohaniah semula jadi dan boleh mengalami pengalaman kerohanian,” kata pakar perunding pediatrik dan kardiologi pediatrik tersebut, lalu menambah bagaimana faktor keagamaan boleh menurunkan kadar bunuh diri.
Amalan seperti bersyukur, meluangkan masa beribadah dan bermeditasi, kemaafan, bersikap empati dan tolong-menolong, semuanya menyumbang kepada kesejahteraan menyeluruh seseorang manusia.
Kerohanian menggalakkan anda berfikir tentang persekitaran anda, lalu membina ikatan yang bermakna dan berpanjangan. Ia mengajar bagaimana untuk memahami diri dan bagaimana ia berkait dengan orang lain, alam sekitar dan bagi sesiapa yang percaya, dengan tuhan. Ini memberi makna dan ilham, serta rasa kebersamaan kepada seseorang.
Kembali ke sekolah
Ramai kanak-kanak sudah memulakan sekolah secara fizikal tahun ini. Ibu bapa pastinya risau bagaimana anak-anak akan menyesuaikan diri semula dengan alam persekolahan.
Dr Zulkifli berkata kita tidak patut memandang rendah dengan daya tahan anak-anak. Kita perlu menggalakkan mereka agar tidak kembali mengasingkan diri, tapi menasihatkan mereka juga untuk menjaga diri dengan baik.
“Penting bagi mereka untuk tidak kehilangan peluang bergaul dan berhubung. Kita mesti mendidik anak kita berempati dengan orang lain, dan tidak memulaukan atau mendiskriminasi sesiapa, sambil terus mematuhi SOP seperti penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan membasuh tangan.
“Kita harus berusaha mencapai keseimbangan agar dapat menghalang anak kita daripada membesar menjadi dewasa yang obsesif kompulsif!”
Dr Zulkifli juga menyarankan ibu bapa untuk menunjukkan minat dan melibatkan diri dengan guru dan pihak sekolah untuk memahami langkah yang diambil oleh sekolah termasuk vaksinasi staf, pemakaian pelitup muka, pembersihan, peredaran udara dan penjarakan fizikal.
Jangan lupa bermain
Para pakar juga memberi amaran kepada ibu bapa agar tidak terlalu menekan anak mereka untuk mengejar pembelajaran yang tertinggal semasa pandemik.
Dr Rajini menasihatkan: “Kanak-kanak masih perlu bersenam dan bermain di luar. Mereka terperangkap dalam persekitaran steril di rumah terlalu lama, jadi masa ‘bermain kotor’ penting untuk mengaktifkan semula sistem pertahanan. Benarkan anak anda keluar dan bergaul (sambil mematuhi SOP). Mereka akan mengambil masa untuk membiasakan diri duduk berjam-jam dalam kelas semula.”
Akhir kata, jika anda masih rasa resah atau bimbang tentang keluarga atau anak anda, ingatlah yang kita hidup bermasyarakat dan anda tidak perlu menanggung beban berseorangan.
Berhubunglah dengan orang di sekeliling anda. Jika anda perlu meluahkan sesuatu, bercakaplah dengan seseorang. Jika anda perlukan bantuan, minta sahaja. Jika orang dalam lingkungan anda tidak dapat membantu, cuba hubungi talian bantuan atau minta pertolongan profesional.
Komen