Pengasuhan Positif

Mengapa Kita Sukar Meminta Maaf?

Sorry seems to be the hardest word…” Ramai antara kita pasti pernah mendengar Elton John menyanyikan lagu cinta klasik ini semasa sedang membesar dan pertama kali mengalami putus cinta. Namun, adakah lirik ini benar, dan mengapa?

Mana-mana suami isteri pasti tahu bahawa bukan semuanya indah dalam perkahwinan. Ada pahit dan manisnya. Kesilapan pasti berlaku dan boleh menyebabkan masalah lebih besar jika dibiarkan. Kadang-kala, apa yang perlu untuk memulihkan hubungan hanyalah dengan mengaku silap dan meminta maaf.

Kenapa konflik timbul?

Ketahui punca-punca yang boleh menyebabkan konflik dalam perkahwinan, contohnya:

  • Perbezaan personaliti: Banyak faktor yang menentukan personaliti kita, seperti jantina, cara dibesarkan, pendidikan dan kepercayaan. Pasangan dengan personaliti berbeza boleh saling melengkapi, tapi pertembungan personaliti boleh membawa konflik.
  • Kurang masa: Kesibukan dengan kerja atau anak-anak boleh membuatkan pasangan kurang meluangkan masa kualiti bersama. Ini menyebabkan kurangnya rasa romantik dan intim, yang penting untuk menjaga perhubungan.
  • Komunikasi yang lemah: Sering berahsia, mengelakkan perbualan sukar atau gagal mendengar – ini tanda-tanda komunikasi yang tidak berkesan dalam perkahwinan. Komunikasi berkesan penting untuk mengelakkan salah faham.
  • Hal kewangan: Masalah kewangan boleh menggugat perkahwinan, walaupun pasangan itu bahagia. Selain itu, pengurusan wang yang lemah serta masalah kepercayaan antara pasangan juga antara faktor konflik melibatkan kewangan.
  • Pihak ketiga: Antara faktor terbesar terjadinya konflik dan perceraian ialah campur tangan pihak ketiga. Ini termasuklah kecurangan, keluarga mertua yang masuk campur atau pengaruh buruk daripada rakan.

Perkataan paling sukar

Sesetengah orang enggan meminta maaf kerana mereka mahu mengelakkan daripada rasa malu, yang boleh mengukuhkan imej diri mereka yang negatif. Ada juga yang menyamakan perbuatan minta maaf dengan kelemahan. Selain itu, ada yang percaya bahawa mereka tidak perlu meminta maaf kerana kesilapan mereka tidak disengajakan.

Terdapat pelbagai sebab kenapa orang enggan meminta maaf, tapi ia sebenarnya satu ritual sosial penting untuk menyatakan rasa hormat dan empati kepada pihak yang tersinggung. Permintaan maaf yang ikhlas membantu mengesahkan perasaan dan pandangan pihak yang tersinggung. Ia juga cara meleraikan konflik, membina kepercayaan dan mengembalikan keharmonian. Malah, meminta maaf juga membantu pihak yang bersalah (walaupun tidak sengaja) untuk mengatasi rasa bersalah dan malu mereka.

Katakan dengan betul!

Selain enggan meminta maaf, permintaan maaf yang tidak betul juga satu masalah. Berikut beberapa petua untuk meminta maaf secara berkesan:

  • Mengaku kesilapan: Sukar untuk meminta maaf jika anda langsung tidak sedar apa kesalahan anda. Meminta penjelasan dan mengakui kesan yang disebabkan menunjukkan bahawa anda faham apa yang salah tentang perbuatan anda. Cth: “Saya sedar kata-kata saya buat awak tersinggung dan saya kesal.”
  • Minta kemaafan: Kemaafan perlu dua hala. Setelah anda menyatakan kekesalan dan mengakui kesalahan anda, minta maaf dengan pihak yang tersinggung untuk beri mereka peluang membalasnya. Beritahu bahawa terpulang kepada mereka untuk memaafkan anda atau tidak.
  • Jangan alih kesalahan: Menyalahkan orang atau perkara lain menghalang anda meminta maaf secara berkesan. Jangan kata “Saya minta maaf, tapi…” atau “Saya minta maaf jika saya sakiti awak.” Jangan beri alasan, terutamanya dengan menyatakan bagaimana orang yang anda sakiti atau orang lain yang menyebabkan anda membuat silap.
  • Perbaiki kesilapan anda: Beritahu apa yang anda boleh buat untuk perbetulkan keadaan atau bagaimana anda akan cuba berubah. Cth: “Saya akan ganti duit yang saya tersalah guna sebaik saja saya dapat gaji,” atau “Saya akan ambil kelas pengurusan marah untuk kawal kemarahan saya.”
  • Tiada menang atau kalah: Kedua-dua pihak perlu sedar yang meminta maaf tidak bermakna ada satu pihak menang dan satu pihak kalah. Sanggup untuk meminta dan memberi kemaafan bermakna kedua-dua pihak menghargai hubungan mereka lebih daripada ego masing-masing.

Tiada siapa pun yang sempurna dan perkahwinan yang harmoni memerlukan usaha daripada kedua-dua pasangan. Kemaafan dan tanggungjawab merupakan asas bagi rumah tangga yang bahagia. Kita perlu cuba mengakui kesilapan dan memperbaikinya dengan menangani emosi negatif dan belajar menjadi lebih baik demi perhubungan tersebut. Ini elemen utama yang perlu untuk mengekalkan perhubungan yang berpanjangan dan positif dengan pasangan anda.

Reference:
https://www.huffpost.com/entry/marriage-mistakes-that-lead-to-divorce_n_6795674
https://www.webmd.com/sex-relationships/features/marriage-mistakes-for-women
https://www.psychologytoday.com/intl/blog/the-couch/201404/why-sorry-seems-be-the-hardest-word
https://www.huffpost.com/entry/how-apologizing-can-improve-your-marriage_b_590bb04de4b056aa2363d355
https://www.psychologytoday.com/us/blog/the-compassion-chronicles/202006/why-we-need-apologize
https://www.psychologytoday.com/us/blog/speaking-about-trauma/202101/i-m-sorry-how-do-you-offer-real-apology
https://www.psychologytoday.com/us/blog/valley-girl-brain/201709/7-ways-truly-say-youre-sorry

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen