Pengasuhan Positif

Baligh Awal: Apabila Kanak-Kanak Matang Lebih Awal Dari Biasa

Ada pandangan bahawa kanak-kanak kini lebih awal baligh berbanding beberapa dekad yang lalu. Kajian lanjut di Malaysia diperlukan untuk menentukan kesahihan pandangan tersebut, namun baligh awal (precocious puberty) sememangnya satu masalah kesihatan.

Baligh awal bukan semata-mata apabila kanak-kanak mengalami baligh sedikit awal daripada rakan sebaya. Ia merupakan satu masalah kesihatan apabila tubuh kanak-kanak mula berubah menjadi dewasa terlalu awalsebelum umur 8 tahun bagi perempuan dan sebelum umur 9 tahun bagi lelaki.

Perubahan ini termasuklah perubahan bentuk dan saiz tubuh, pertumbuhan tulang dan otot yang pantas, dan perkembangan fungsi seks dan pembiakan. Kebiasaannya, masalah ini lebih kerap berlaku di kalangan perempuan berbanding lelaki. Sebagai contoh, satu kajian mengenai baligh awal di Denmark mendapati ia berlaku dalam 9.2 per 10,000 kanak-kanak perempuan berbanding 0.9 per 10,000 kanak-kanak lelaki.

Mengesan tanda-tandanya

Tiada beza antara tanda-tanda baligh awal dan baligh normal, kecuali dari segi umur yang lebih awal.

**Tanda ini muncul di peringkat awal baligh bagi perempuan, tapi di peringkat akhir baligh bagi lelaki*Peringkat akhir baligh

Punca kerisauan

Baligh selalunya bermula apabila kelenjar pituitari (yang terletak di bawah otak) merembeskan hormon gonadotropin, yang kemudian merangsang ovari (bagi perempuan) atau buah zakar (bagi lelaki) untuk menghasilkan hormon seks (cth: estrogen atau testosteron) yang mencetuskan perubahan fizikal ketika baligh.

Terdapat 2 jenis baligh awal bergantung kepada puncanya:

  • Baligh awal pusat: Baligh awal jenis ini lebih biasa berlaku. Prosesnya sama dengan baligh normal. Yang berbeza hanyalah permulaannya yang lebih awal. Bagi perempuan, selalunya tiada masalah kesihatan lain di sebaliknya atau punca yang boleh dikenal pasti. Namun, bagi lelaki, sehingga 38% kes mungkin berpunca dari kerosakan atau trauma fizikal pada otak/saraf tunjang akibat tumor, kecederaan atau penyakit genetik.
  • Baligh awal persisian: Ia lebih jarang berlaku dan tidak melibatkan rembesan awal gonadotropin. Ia disebabkan oleh pengeluaran hormon seks akibat masalah seperti tumor/ketumbuhan (di ovari, buah zakar atau kelenjar adrenal) dan penyakit genetik. Selain itu, punca lain termasuklah pendedahan berlebihan kepada hormon seks dalam produk kesihatan atau kecantikan, seperti krim, minyak sapu, pil dan minyak pati (cth: minyak lavender atau pokok teh).

Kesan buruk

Baligh awal boleh menyebabkan masalah fizikal dan emosi dalam kanak-kanak jika tidak ditangani:

  • Rendah ketika dewasa: Kanak-kanak yang mengalami baligh awal akan membesar lebih cepat dan jadi lebih tinggi berbanding rakan sebayanya. Namun, kerana mereka matang lebih awal, mereka juga akan berhenti membesar lebih awal. Maka, apabila dewasa, mereka mungkin lebih rendah berbanding ketinggian purata.
  • Masalah sosial: Rakan-rakan akan melayan mereka secara berbeza kerana perubahan tersebut. Mereka mungkin rasa kekok, keliru atau tertekan. Ini boleh menjejaskan keyakinan diri atau meningkatkan risiko kemurungan atau penyalahgunaan bahan terlarang.
  • Masalah kelakuan: Mereka mungkin jadi lebih murung, mudah jengkel atau agresif kerana hormon. Mereka juga mungkin mempunyai nafsu seks yang tidak sesuai dengan umur mereka.

Apa yang boleh dilakukan?

Jika anak anda menunjukkan tanda-tanda baligh awal, sila rujuk pakar pediatrik atau pediatrik endokrinologi. Doktor anak anda mungkin mencadangkan rawatan berikut:

  • Terapi analog GnRH: Suntikan ubat setiap 1 atau 3 bulan untuk menghentikan perkembangan baligh. Ia perlu diambil sehingga mereka mencapai umur baligh yang normal.
  • Implan histrelin: Implan dalam bahagian lengan atas yang akan melambatkan perkembangan baligh. Ia bertahan selama setahun, jadi ia mungkin lebih mudah berbanding suntikan bulanan. Namun, ini jarang digunakan untuk kanak-kanak.
  • Rawatan punca dasar: Apabila punca atau masalah dasar tersebut dirawat, selalunya baligh awal juga akan terhenti, contohnya melalui pembedahan membuang tumor yang menyebabkan rembesan hormon.

Bagi perempuan yang baligh awal, iaitu dengan pertumbuhan payudara pada umur 8-9 tahun, sila bawa mereka jalani pemeriksaan kesihatan. Jika proses baligh tidak berlaku secara pantas, jelaskan apa yang sedang terjadi kepada tubuh mereka dan yakinkan mereka yang semuanya akan baik. Bantu mereka untuk meningkatkan keyakinan diri dan imej tubuh positif.

Baligh awal dalam lelaki sukar untuk ditentukan. Selalunya, mereka akan lambat didiagnosis, iaitu ketika suara bertukar garau. Ambil maklum bahawa pertambahan ketinggian yang mendadak, bulu kemaluan atau suara garau berlaku pada peringkat akhir baligh dalam lelaki. Kanak-kanak lelaki yang meningkat tinggi pada umur lebih awal daripada rakan sebaya perlu mendapat pemeriksaan kesihatan oleh pakar pediatrik/pediatrik endokrinologi. Doktor mereka perlu memeriksa saiz testis berdasarkan orkidometer standard Prader.

Baligh adalah sebahagian daripada proses tumbesaran, tapi baligh awal bukanlah sesuatu yang anda mahu anak anda lalui. Jika anda lihat tanda-tanda baligh awal pada anak anda, sila bawa mereka berjumpa doktor untuk menentukan masalah sebenar. Jangan risau! Dengan rawatan yang betul, kebanyakan kanak-kanak baligh awal akan membesar dengan baik, sama ada dari segi perubatan, psikologi dan sosial.

Reference:
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/precocious-puberty/symptoms-causes/syc-20351811
https://kidshealth.org/en/parents/precocious.html
https://www.stanfordchildrens.org/en/topic/default?id=precocious-puberty-early-puberty-90-P01973
https://www.webmd.com/children/causes-symptoms
https://emedicine.medscape.com/article/924002-overview

 

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen