Pengasuhan Positif

Mitos dan Fakta: Penyakit Pneumokokus

Terdapat pelbagai kekeliruan yang tersebar berkaitan penyakit pneumokokus. Di sini kami ingin menjelaskan beberapa mitos mengenai penyakit pneumokokus.

  • Mitos: Penyakit pneumokokus jarang berlaku.

Fakta: Pneumokokus merupakan punca biasa pneumonia di kalangan kanak-kanak. Di Amerika Syarikat, ia punca utama jangkitan bakteria pneumokokus invasif.

  • Mitos: Penyakit pneumokokus tidak teruk.

Fakta: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa penyakit pneumokokus menyebabkan 5% daripada kematian kanak-kanak pada 2012. Maka, jangan pandang ringan terhadap penyakit ini kerana ia boleh menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa serta menyebabkan kematian.

  • Mitos: Penyakit pneumokokus cuma menyebabkan pneumonia.

Fakta: Pneumonia (jangkitan peparu) cuma salah satu daripada jangkitan yang boleh disebabkan oleh penyakit pneumokokus. Jangkitan lain yang boleh terjadi ialah bakteremia (jangkitan darah), sinusitis (jangkitan sinus), dan meningitis (jangkitan lapisan luar otak/saraf tunjang) yang boleh jadi serius dan menyebabkan komplikasi jangka panjang seperti kerosakan otak, hilang pendengaran, sawan dan otitis media (jangkitan telinga tengah).

  • Mitos: Jika anda pembawa bakteria yang menyebabkan penyakit pneumokokus, anda tidak akan dijangkiti atau sakit disebabkannya.

Fakta: Ini benar jika sistem imun seseorang boleh menghalang bakteria tersebut daripada berkembang. Namun, jika sistem imun anda gagal mengekang bakteria tersebut, ia akan mula bercambah. Ini bermakna, seorang pembawa boleh jadi seperti bom jangka, malah lebih teruk lagi pembawa juga meningkatkan risiko orang di sekelilingnya untuk dijangkiti.

  • Mitos: Penyakit pneumokokus memberi kesan yang sama kepada semua orang.

Fakta: Sesiapa saja boleh mendapat penyakit pneumokokus, tapi golongan yang berisiko tinggi termasuklah kanak-kanak bawah 5 tahun, remaja, orang dewasa dengan penyakit kronik, warga tua lebih 60 tahun, dan pesakit yang mempunyai sistem imun yang terjejas (seperti pesakit imun lemah) berhadapan dengan risiko lebih tinggi jika dijangkiti penyakit pneumokokus, serta risiko komplikasi/kematian lebih tinggi. Maka, amat penting bagi kumpulan ini untuk dilindungi melalui imunisasi.

  • Mitos: Cuma terdapat satu strain bakteria yang menyebabkan penyakit pneumokokus.

Fakta: Terdapat lebih kurang 100 strain Streptococcus pneumoniae yang telah dikenal pasti. Ketika ini, vaksin yang ada melindungi daripada strain-strain bakteria yang paling kerap ditemui.

  • Mitos: Pneumonia akibat COVID-19 dan pneumonia pneumokokus adalah sama.

Fakta: Yang pertama ialah jangkitan virus dan yang kedua ialah jangkitan bakteria. Walaupun kedua-duanya boleh menyebabkan pneumonia, terdapat perbezaan, contohnya dari segi bagaimana ia berlaku; pneumonia virus selalunya berlaku secara berperingkat tapi boleh jadi teruk/membawa maut, manakala pneumonia bakteria pula berlaku secara pantas dan boleh jadi agresif/sukar dirawat.

Ambil langkah pencegahan

Sebagai ibu bapa, jangan terlepas pandang kepentingan vaksinasi. Jika anak anda lahir sebelum 1 Januari 2020, dia tidak layak menerima vaksinasi pneumokokus di bawah Program Imunisasi Kebangsaan, jadi pastikan anak anda juga mendapat vaksin tersebut.

Selain kanak-kanak kecil, individu dengan penyakit kronik (sakit jantung, diabetes, dll.) dan warga emas (60 tahun ke atas) juga berdepan risiko komplikasi lebih besar jika dijangkiti oleh COVID-19 atau penyakit pneumokokus. Jika ada ahli keluarga anda yang termasuk dalam kategori ini, vaksinasi terhadap penyakit pneumokokus amat disarankan.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen