Pengasuhan Positif

Meleraikan Konflik Dengan Remaja

Konflik antara ibu bapa dan remaja adalah normal tapi ia boleh mendatangkan tekanan. Contohnya, konflik boleh timbul apabila anda ingin menasihati remaja anda, kerana dia mungkin rasa bahawa dia sedang dileteri.

Keadaan boleh jadi lebih teruk sehingga menyebabkan pertelingkahan. Tidak mudah untuk bertenang dan mencari penyelesaian waras dan adil yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak.

Memahami cara remaja berfikir

Peringkat remaja adalah tempoh perubahan fizikal dan psikososial. Selain baligh, pelbagai faktor lain memainkan peranan, seperti pembelajaran, persekitaran sosial serta keluarga. Perkembangan otak ketika remaja juga merupakan faktor yang mungkin meningkatkan kecenderungan golongan remaja untuk bertindak secara beremosi. Sesetengah remaja juga tertarik ke arah perbuatan yang berisiko tinggi (merokok, penagihan dadah, perlumbaan haram, dsb.). Emosi yang tidak boleh diramal serta perbuatan yang berisiko tinggi merupakan punca utama yang menyumbang kepada konflik antara ibu bapa dan golongan remaja.

Ibu bapa harus sedar bahawa arahan dan suruhan mereka tidak akan dipatuhi sekiranya mereka memaksa dan memarahi anak remaja mereka. Mereka harus mempunyai ketegasan namun bersifat terbuka. Ini merupakan cara yang paling berkesan apabila berkomunikasi dengan anak remaja, lebih-lebih lagi jika anak remaja mereka mengalami masalah kelakuan dan emosi. Sifat keterbukaan menunjukkan kepada anak remaja bahawa ibu bapa mengambil inisiatif untuk memahami perasaan mereka. Adalah penting untuk ibu bapa menetapkan peraturan tertentu bagi anak remaja mereka walaupun mereka mempunyai kecenderungan untuk melanggarnya. Oleh itu, peraturan yang munasabah adalah perlu untuk anak remaja.

Jangan mengeluarkan kata-kata yang akan anda kesali

Jika sesuatu konflik tidak perlu ditangani serta-merta, anda dinasihatkan untuk menangguhkan perbincangan dengan anak remaja anda. Malah, adalah lebih efektif untuk berbincang ketika keadaan lebih tenang. Tambahan pula, jangan menyimpan dendam dan bermasam muka dengan remaja sementara menunggu penyelesaian konflik. Kata-kata yang kesat dan menyakitkan hati boleh memburukkan lagi keadaan.

Cara-cara efektif menangani konflik

Bagaimanakah anda boleh meleraikan konflik dengan remaja anda? Anda perlu bersifat lebih proaktif. Berikut ialah beberapa cadangan untuk menangani konflik:

  • Ambil masa bertenang: Remaja mungkin melakukan atau mengatakan sesuatu yang menyakitkan hati anda. Untuk mengelakkan tindak balas negatif, anda boleh berdiam diri seketika. Undurkan diri dan beritahu remaja untuk berbincang dengan anda apabila dia bersedia. Contohnya, “Ayah sangat marah sekarang. Mari berbincang apabila kita berdua telah bertenang,” atau “Kamu nampak amat marah sekarang. Boleh kita bincangkan hal ini selepas kita bertenang?”
  • Jangan menjadikan konflik sebagai hal peribadi: Apabila keadaan makin tegang, perbincangan boleh melarat menjadi pertelingkahan. Jangan biarkan emosi menguasai diri anda semasa berbincang dengan remaja, kerana ini tidak bermanfaat. Jelaskan sebab dan logik bagi keputusan anda.
  • Remaja perlukan ruang: Jangan beri kata dua untuk memaksanya mengikut kehendak anda. Ini hanya mengeruhkan hubungan anda dan mencerminkan pandangan anda sebagai lemah. Sebaliknya, cuba cari kata sepakat, tapi berikan masa kepada remaja untuk memahami (dan bersetuju) dengan anda. Cuba bertolak ansur dengan mereka.
  • Dengar pendapatnya: Komunikasi perlu dua hala. Anda perlu mendengar pandangan mereka. Mungkin remaja mempunyai alasan yang rasional. Jika penjelasan mereka munasabah, anda perlu mengakui dan menghormati pendapat dan perasaan remaja. Yang penting, anda perlu mengambil inisiatif untuk memahami mereka.
  • Jangan cepat menuduh: Syak wasangka berbahaya kerana ia boleh menjejaskan hubungan anda dengan remaja. Sebelum menuding jari atau menyalahkan mereka, cuba siasat perkara yang sebenar. Remaja kerap sensitif dan beremosi. Oleh itu, anda perlu memberi penerangan dengan jelas.
  • Elakkan serangan peribadi: Jangan guna nada menuduh atau kata-kata seperti “Kamu tak pernah dengar nasihat!”, “Kenapa kamu bodoh?” atau “Kamu selalu cuai!” Ingat, anda perlu sasarkan kelakuannya dan bukannya mengkritik keperibadian remaja. Jika tidak, komunikasi dua hala tidak boleh dicapai. Walaupun remaja anda mungkin enggan mendengar nasihat, anda tetap perlu berusaha untuk menyampaikan nasihat anda.
  • Tangani satu persatu: Selesaikan setiap isu satu persatu. Jika anda cuba tangani semua isu pada masa yang sama, ini mungkin tidak produktif kerana remaja anda mungkin rasa seperti anda cuba mencari kesalahannya dalam setiap perkara. Namun, pastikan dia bertanggungjawab dengan sebarang tindakan yang diambil.
  • Jelaskan secara terperinci: Terangkan apa yang anda mahu dengan jelas. Jika tidak, ini boleh mendatangkan konflik kerana remaja anda gagal memahami kemahuan anda. Namun, pastikan kemahuan atau jangkaan anda boleh dicapai olehnya. Contohnya, katakan “Ibu nampak kamu sukar menyiapkan kerja rumah kamu. Boleh kamu mula lakukannya lebih awal selepas makan malam?”

Mengatasi konflik

Remaja dan ibu bapa hari ini semakin jarang berkomunikasi untuk saling memahami antara satu sama lain. Suatu konflik tidak boleh diatasi jika anda dan remaja anda tiada kesefahaman. Anda tidak boleh berharap bahawa dia mampu membaca minda anda. Konflik dengan remaja perlu diselesaikan melalui perhubungan dan komunikasi yang sihat.

Lebih mudah untuk menggunakan kelebihan sebagai ibu bapa, tapi remaja mungkin tidak menyukainya. Bagi remaja, pendekatan keras hanya menjauhkannya daripada menerima pandangan anda. Ingatlah bahawa penentangan remaja anda hanyalah satu aspek sesuatu masalah. Cara anda bertindak balas juga merupakan aspek penting. Terimalah hakikat bahawa anda dan remaja akan sentiasa melihat sesetengah perkara secara berbeza berdasarkan pengalaman masing-masing.

Jangan bebankan remaja anda dengan masalah anda. Pastikan anda tahu apa yang anda mahu. Bertanggungjawablah dengan kelakuan sendiri dan cuba fahami perasaan dan pandangannya. Ini membolehkan anda berempati dengan mereka, serta meleraikan konflik dengan remaja anda. Pastikan remaja anda sedar bahawa anda sentiasa bersedia untuk mendengar dan memahami diri mereka. Dengan ini, mereka akan berasa diterima, dihargai dan disokong oleh anda.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen