Pengasuhan Positif

Kemahiran Hidup Penting Untuk Kanak-Kanak

Kelakuan adaptif dan fungsi eksekutif adalah dua perkara yang berkait dan sama penting untuk dipelajari oleh kanak-kanak ketika membesar agar mereka boleh berdikari dan berfungsi dengan berkesan.

Apabila kita bercakap tentang kemahiran hidup, apa yang anda fikirkan? Dalam bidang psikologi dan perkembangan kanak-kanak, “kelakuan adaptif” dan “fungsi eksekutif” ialah dua terma yang boleh dikaitkan dengan kemahiran hidup yang penting, terutamanya bagi kanak-kanak yang membesar.

Kelakuan adaptif & fungsi eksekutif

Kemahiran untuk hidup

Kedua-dua kelakuan adaptif dan fungsi eksekutif penting dalam hidup dan saling berkait. Fungsi eksekutif memudahkan kelakuan adaptif, yang kemudiannya membantu kita berfungsi sebagai individu dalam masyarakat. Mempunyai kedua-dua kemahiran bermakna seseorang itu mampu untuk menyelesaikan sendiri apa-apa masalah atau meminta bantuan jika perlu.

Tiada bayi yang dilahirkan dengan kemahiran ini, tapi setiap bayi berkebolehan untuk mempelajarinya. Ibu bapalah yang berperanan untuk memastikan anak mereka mempelajari dan mengembangkan kemahiran ini semasa membesar. Dengan fungsi eksekutif dan kelakuan adaptif yang cukup, kanak-kanak akan diperkasa dengan keyakinan diri dan rasa berkemampuan untuk berdikari. Apabila kanak-kanak menunjukkan kebolehan berdikari, ibu bapa akan lebih yakin dengan anak mereka dan rasa kurang terbeban dalam membesarkan dan mendidik mereka.

Kesan daripada kebergantungan kanak-kanak tanpa kemahiran ini, tekanan dan kekecewaan boleh meningkat di kalangan ibu bapa, adik-beradik, rakan-rakan dan pengajar.

Dapatkan bantuan awal!

Kanak-kanak dengan masalah perkembangan atau pembelajaran, seperti gangguan hiperaktif kurang tumpuan (ADHD) atau gangguan spektrum autisme mungkin bermasalah mempelajari dan menggunakan kemahiran hidup ini. Oleh itu, ibu bapa perlu mengesan masalah ini dan mendapatkan bantuan sejak awal, agar langkah yang sepatutnya boleh diambil untuk membantu anak mempelajari kemahiran ini. Dengan sokongan yang tepat, mereka juga boleh berdikari!

Peranan ibu bapa

Berikut beberapa cara bagi ibu bapa menyokong anak mereka mengembangkan kemahiran hidup yang sesuai dengan umur dan memastikan mereka boleh menyelesaikan masalah dan berdikari.

  • Pantau corak perkembangan: Ambil tahu dan awasi corak perkembangan anak anda. Jika terdapat masalah, ambil langkah awal untuk menangani dan menyelesaikannya.
  • Latihan berterusan: Kemahiran ini boleh dilatih dan ditambah baik semasa kanak-kanak membesar. Contohnya, anak anda mungkin sukar berkawan pada tahun pertama di tadika, tapi setelah membina keyakinan dirinya, dia akan lebih mudah berkawan.
  • Jangan jadi ibu bapa helikopter: Jangan buat segalanya untuk mereka dan jangan terlalu melindungi! Biarkan anak anda membuat silap dan belajar menyelesaikan masalah sendiri. Dia tidak akan belajar kemahiran baru jika semuanya dibuat untuk dia, cth: mengikat tali kasut, mengemas bilik, dll.
  • Tumpukan pada kemahiran komunikasi dan sosial: Kemahiran ini ialah kemahiran paling asas yang perlu dimahiri oleh anak anda kerana ia membantunya mempelajari kemahiran lain. Untuk mengajar anak anda, pertama sekali anda perlu dapat berkomunikasi secara berkesan dengannya. Hidup mereka dalam masyarakat juga bergantung pada kemahiran sosial mereka.

Kemahiran hidup secara asasnya ialah kemahiran yang perlu untuk meneruskan hidup. Namun, ia tidak sama dengan sesetengah corak perkembangan yang muncul secara semulajadi. Kemahiran hidup ini perlu dipelajari, sama ada secara langsung atau tidak. Ibu bapa memainkan peranan utama untuk memastikan anak mereka mempelajari kemahiran hidup asas agar dia membesar menjadi seorang dewasa yang berguna. Lebih banyak kemahiran kita, lebih mudah kita menyesuaikan diri, dan lebih senang hidup kita!

Reference:

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen