Pengasuhan Positif

Awas Dengan Penyakit Bawaan Vektor

Kita mungkin sudah terbiasa dengan semburan nyamuk yang sering dilaksanakan oleh pihak berkuasa. Ini antara kaedah untuk mencegah penyakit bawaan vektor yang disebarkan oleh nyamuk. Mari ketahui lebih lanjut tentang penyakit bawaan vektor!

Penyakit bawaan vektor (PBV) ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh parasit, virus atau bakteria yang disebarkan oleh vektor. Lebih 17% daripada semua kes penyakit berjangkit merupakan PBV, yang menyebabkan lebih daripada 700,000 kematian setiap tahun. Sesetengah PBV, seperti denggi dan ensefalitis Jepun (JE), adalah endemik di negara kita. Sebagai contoh, 9 kes JE dengan 1 kematian dilaporkan di Malaysia pada 6 bulan pertama 2020. Selain itu, lebih daripada 20,000 kes denggi juga telah dilaporkan di Malaysia daripada Januari hingga Oktober 2021.

Apakah vektor?

Vektor ialah organisma hidup yang boleh menyebarkan patogen antara manusia, atau daripada haiwan kepada manusia. Selalunya ia terdiri daripada serangga atau artropod lain, yang mengambil darah yang mengandungi patogen daripada hos yang dijangkiti (manusia atau haiwan) dan kemudian menyebarkan patogen tersebut kepada hos baru.

Contoh vektor dan penyakit

Apakah penyumbang kepada peningkatan PBV?

Sekitar 80% kes PBV selalunya berlaku dalam 20% populasi hos, kebanyakannya di negara membangun di kawasan tropika dan subtropika dan dalam populasi kurang berkemampuan. Pelbagai faktor menyumbang kepada peningkatan kes PBV, terutamanya yang menggalakkan ketahanan hidup vektor dalam persekitaran dan pendedahannya kepada manusia.

Proses pembandaran dan faktor kemanusiaan lain merupakan pemandu utama kemunculan dan kejadian PBV. Peningkatan populasi manusia memerlukan peluasan kawasan tempat tinggal dan pertanian, oleh itu patogen boleh merebak daripada alam sekitar kepada hos baru akibat meningkatnya pendedahan hos-vektor.

Faktor lain berkaitan pembandaran termasuklah perumahan yang tidak mencukupi serta sistem saliran dan pengairan yang lemah. Perkembangan pantas kegiatan perdagangan dan pengangkutan sedunia juga satu faktor utama. Selain itu, faktor alam sekitar seperti perubahan iklim, kepelbagaian bio yang merosot, penebangan hutan dan pelbagai gangguan ekosistem lain juga sebahagian daripada masalah.

Bagaimana kita boleh menyelesaikan masalah?

Salah satu strategi untuk membasmi PBV adalah dengan mengawal populasi vektor penyakit. Ini boleh dicapai melalui pengurusan alam sekitar untuk mengurangkan dan menghapuskan tempat pembiakan vektor, contohnya dengan membuang air bertakung di mana nyamuk bertelur.

Selanjutnya, kawalan biologi dan kimia seperti bakteria pembunuh larva, ikan pemakan larva, semburan dalam rumah, semburan kabut serta racun serangga merupakan antara kaedah yang sering digunakan kini. Pendekatan lain ialah kaedah pencegahan dan perlindungan peribadi seperti kelambu dan jaring pintu/tingkap di rumah, atau memakai baju lengan panjang/seluar panjang dan menggunakan penyembur serangga apabila keluar rumah.

Vaksinasi juga sebahagian daripada penyelesaian. Ketika ini, hanya 2 vaksin PBV boleh didapati di Malaysia: vaksin JE dan demam kuning. Di Malaysia, vaksin JE merupakan sebahagian daripada program imunisasi kebangsaan bagi kanak-kanak di Sarawak. Sementara itu, vaksin demam kuning pula disarankan bagi sesiapa yang mengembara ke negara berisiko tinggi demam kuning. Terdapat satu vaksin denggi, namun ia tiada di Malaysia. Ketika ini, beberapa vaksin denggi lain sedang dinilai. Vaksin malaria juga dalam penilaian di beberapa negara.

Kejadian PBV berkait rapat dengan pelbagai faktor manusia dan alam sekitar, terutamanya akibat pembangunan tidak lestari dan gangguan kepada ekosistem. Penambahbaikan dasar perlu bagi menangani isu ini pada jangka masa panjang. Di peringkat bawah, program bersepadu melibatkan kedua-dua vaksinasi dan kawalan vektor akan lebih berkesan dan lestari dalam memastikan anda dan keluarga sihat dan selamat daripada PBV.

Reference:

https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/vector-borne-diseases
https://www.who.int/heli/risks/vectors/vector/en/
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK52945/
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK52939/
https://www.nst.com.my/news/nation/2020/06/603887/penang-je-patient-discharged-hospital
https://www.who.int/docs/default-source/wpro—documents/emergency/surveillance/dengue/dengue-20211104.pdf?sfvrsn=fc80101d_101

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen