Pengasuhan Positif

Ekzema: Hentikan Keradangan Daripada Berlaku

Ekzema ialah satu masalah kulit (cth: dermatitis atopik, dermatitis sentuhan, dermatitis seborea, dll.) yang menyebabkan keradangan pada kulit, lalu mengakibatkan kegatalan dan ruam.

Walaupun ekzema ialah sakit kulit yang kronik dan tiada ubat yang boleh menyembuhkannya dengan sepenuhnya, masalah ini boleh diuruskan, lalu memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menjalani hidup yang normal. Namun, ibu bapa perlu lebih berhati-hati untuk mengelakkan berlakunya keradangan atau pencetusan.

Petua untuk mengurangkan keradangan/pencetusan ekzema:

  • Guna kelengkapan mandian yang sesuai

Jangan guna sabun mandi yang biasa. Lap dengan tuala yang bersih dan boleh menyerap kelembapan. Elakkan mandian berlebihan kerana ia boleh menyebabkan dehidrasi kulit.

  • Bukan semua fabrik serupa

Elakkan fabrik yang  menyebabkan ‘gatal’ (cth: bulu biri-biri, poliester) dan buang label pada pakaian kerana ia boleh menjadi punca kegatalan.

  • Bersedia sebelum bersenam

Berpeluh membantu menyejukkan badan, tetapi ia boleh menyebabkan dehidrasi pada kulit sensitif, lalu mencetuskan keradangan. Pakai pakaian longgar (100% kapas, tanpa bahan sintetik), dan minum air secukupnya sebelum bersenam. Tuala penyejuk juga boleh digunakan untuk mengelakkan badan menjadi terlebih panas.

  • Kekalkan kelembapan

Gunakan pelembap yang sesuai untuk ekzema sebelum/selepas bersenam, sebaik selepas mandi (pada kulit lembab), atau sebanyak mana yang diperlukan. Amalkan langkah ini untuk mengekalkan kelembapan kulit.

  • Jangan merokok/menghisap vape

Asap rokok/vape sekunder boleh jadi perengsa. Faktor persekitaran lain yang boleh mencetuskan keradangan antaranya ialah cuaca panas/sejuk, hama, kelemumur haiwan, dan kulapuk. Elakkan penyaman udara yang terlalu sejuk kerana ini mengurangkan kelembapan udara dan mengeringkan kulit.

  • Diari makanan – rekod makanan harian

Jika anak anda ada alahan makanan, ini boleh membantu anda mengesan puncanya apabila berlaku keradangan.

 

Guna produk mesra ekzema

Anda perlu lebih berhati-hati apabila membeli atau menggunakan produk untuk kanak-kanak yang mempunyai masalah ekzema. Hanya gunakan produk yang diketahui selamat untuk ekzema. Ini melibatkan semua produk yang akan bersentuhan dengan kulit anak anda, seperti sabun, syampu, pakaian, pelembap, dll.

Sesetengah produk penjagaan kulit mempunyai pH yang sama dengan kulit sihat, dan ini boleh menghalang kerengsaan kulit. Satu perkara penting adalah untuk memilih produk bebas pewangi, dan bukan sekadar produk tanpa bau. Produk tanpa bau mungkin mengandungi pewangi yang tersembunyi, manakala produk tanpa pewangi memang tidak mengandungi pewangi.

 

Berikut beberapa ciri produk penjagaan kulit yang boleh digunakan:

  • Pelembap kaya emolien

Berkesan dengan sendirinya atau apabila digunakan dengan krim kortikosteroid. Sapu pelembap secukupnya dahulu, kemudian sapu sedikit krim selepas pelembap telah diserap.

  • Elakkan sinar matahari berlebihan

Apabila keluar rumah ketika matahari terik, guna produk pelindung matahari berasaskan mineral dan bebas pewangi.

  • Antara jenis-jenis bahan pelembap:
  • Seramida (Ceramides)

Sejenis lipid (molekul lemak) yang membantu kulit mengekalkan kelembapan dan berfungsi dengan baik dengan menjaga lapisan perlindungan kulit.

  • Mentol (Menthol)

Memberi kesan sejuk yang membantu mengurangkan kegatalan akibat keradangan.

  • Asid karboksilik pirolidon (PCA)

Antara bahan dalam faktor pelembap semulajadi kulit, yang membantu hidrasi kulit.

  • Petrolatum (atau jeli petroleum, diperbuat daripada petroleum)

Sejenis emolien pekat yang menghalang kehilangan air daripada kulit dan membantu memperbaiki lapisan kulit. Ketika keradangan, ia boleh dipakai terus selepas mandi atau sepanjang hari.

Nota: Anda mungkin perlu mengelakkan sesetengah produk seperti bedak bayi, tisu bayi, sabun mandian berbuih, dan patung mainan lembut.

Beri lebih perhatian

Ibu bapa juga perlu berhati-hati dengan faktor-faktor di atas kerana ia boleh mencetuskan keradangan. Perhatian yang teliti membolehkan anda mencegah atau mengurangkan kadar keradangan ekzema daripada berlaku.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen