Pengasuhan Positif

Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Rotavirus

Apa itu rotavirus?

  • Nama rotavirus dicadangkan oleh Thomas Henry Flewett pada tahun 1974 apabila beliau mendapati virus tersebut kelihatan seperti roda (rota dalam Bahasa Latin) di bawah mikroskop elektron.
  • Terdapat 9 spesies rotavirus, iaitu Rotavirus A, B, C, D, F, G, H, I dan J.
  • Rotavirus A ialah spesies yang paling mudah ditemui dan menyebabkan majoriti (>90%) jangkitan rotavirus dalam manusia.
  • Ia juga punca utama cirit-birit teruk di kalangan bayi dan kanak-kanak kecil.
  • Dijangka bahawa setiap kanak-kanak akan dijangkiti oleh rotavirus sekurang-kurangnya sekali sebelum umur 5 tahun.
  • Satu kajian pada 2016 menjangkakan bahawa rotavirus menyebabkan 27 kematian, 31,000 kemasukan ke hospital dan 41,000 pesakit luar di Malaysia setiap tahun.

Bagaimana jangkitan rotavirus tersebar?

  • Rotavirus ialah virus yang mudah berjangkit dan tersebar melalui laluan tinja-oral (faecal-oral).
  • Virus ini banyak dikesan dalam najis orang yang dijangkiti dan mudah tersebar melalui sentuhan tangan-ke-mulut dan hubungan rapat, serta melalui permukaan/objek, seperti tombol pintu dan mainan, makanan dan minuman, serta air tercemar.
  • Virus ini amat stabil dan boleh bertahan lama di luar tubuh sehingga berminggu-minggu, jika tiada proses penyahjangkitan.

Apakah tanda biasa jangkitan rotavirus?

Antara tanda-tandanya ialah gejala gastrousus, yang biasanya akan reda dalam 3-7 hari dan tidak spesifik, seperti:

  • Cirit-birit
  • Sakit perut
  • Muntah
  • Demam
  • Kelesuan

Apa yang perlu anda awasi?

Berjaga-jaga dengan dehidrasi teruk kerana ini boleh mengancam nyawa anak anda! Berikut antara tanda-tandanya:

  • Kurang membuang air kecil atau lampin kering
  • Menangis tanpa air mata
  • Mulut dan kerongkong kering
  • Mudah meragam
  • Sering mengantuk
  • Mata cengkung
  • Kulit kurang anjal

Bagaimana jangkitan rotavirus boleh ditangani?

  • Rujuk doktor jika anak anda menunjukkan tanda-tanda jangkitan rotavirus atau dehidrasi yang teruk.
  • Ubat tertentu mungkin diberi untuk meredakan gejala. Ingat, antibiotik tidak berkesan untuk jangkitan virus.
  • Tumpuan utama rawatan adalah untuk mengelakkan dehidrasi:
    • Bayi: Teruskan memberinya susu ibu atau formula seperti biasa. Larutan rehidrasi oral mungkin diperlukan.
    • Kanak-kanak lebih besar: Beri cecair secukupnya daripada minuman atau makanan. Larutan rehidrasi oral mungkin akan dipreskripsi kepadanya.
    • Elakkan minuman bergas, jus epal, produk tenusu dan makanan bergula, kerana ini mungkin membuat cirit-birit bertambah teruk.

Bagaimana ia boleh dicegah?

  • Penjagaan kebersihan
    • Basuh tangan secara kerap dan teliti (cth. selepas menggunakan tandas atau menukar lampin anak).
    • Kaedah pencucian biasa tidak mencukupi; langkah terbaik adalah dengan menggunakan larutan peluntur (1 bahagian peluntur + 9 bahagian air) untuk menyahjangkit permukaan/objek.
  • Vaksinasi rotavirus
    • Vaksinasi ialah langkah kesihatan awam yang utama terhadap rotavirus.
    • Terdapat dua jenis vaksin oral: siri 2 dos dan siri 3 dos.
    • Boleh diberi seawal umur 6 minggu dengan jarak minimum antara dos ialah 4 minggu; semua dos perlu diambil sebelum umur 8 bulan.
    • Tanya doktor untuk mengetahui lebih lanjut tentang vaksinasi rotavirus.

Reference:

https://www.webmd.com/children/guide/what-is-rotavirus

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen