Situasi semasa merupakan satu cabaran buat ramai ibu bapa. Penutupan sekolah, bekerja dari rumah dan arahan penjarakan sosial boleh jadi sukar untuk dihadapi, terutamanya bagi ibu bapa. Dengan corak hidup kita yang sentiasa sibuk, ibu bapa pada era moden perlu lebih cekap dan pintar.
Kesan ke atas hidup
Tiada siapa boleh menyangkal kesan besar pandemik COVID-19 dalam hidup kita, antaranya dari segi penggunaan internet dan tabiat digital kita. Kesan pertindihan persekitaran kerja dan rumah membuatkan lebih ramai ibu bapa di Malaysia yang makin kerap berada dalam talian.
Oleh itu, media digital telah menjadi sebahagian daripada alat penting setiap ibu bapa, pada era “norma baharu” ini. Ramai ibu bapa menjadikan internet sebagai sumber utama bagi maklumat keibubapaan dan destinasi pilihan untuk membeli barangan untuk anak-anak dan produk rumah yang lain.
Rancang lebih awal untuk siapkan tugas dengan cekap
Masa kita terhad, lebih-lebih lagi ketika pandemik. Untuk memanfaatkannya, perancangan awal amat penting untuk membantu anda mengoptimumkan masa untuk tugasan harian/mingguan di rumah dan aktiviti keluarga yang lain.
Antara contoh mudah adalah dengan merancang menu mingguan yang amat membantu jika anda memasak. Ini menjimatkan masa dan wang semasa membeli barangan runcit (apabila anda membeli apa yang diperlukan sahaja) dan anda tidak perlu membazir masa memikirkan apa yang hendak dimasak setiap hari. Terdapat pelbagai aplikasi seperti OurHome, Whisk dan HappyFresh yang boleh membantu anda merancang menu dan tugasan, mencari resepi dan memudahkan pembelian barangan.
Satu lagi kemudahan moden yang boleh dimanfaatkan ialah peralatan rumah/dapur yang boleh menjimatkan masa untuk memasak, mencuci dan sebagainya. Kini, peralatan sebegini mempunyai pelbagai fungsi yang berguna bagi ibu bapa yang sibuk. Namun, harganya mungkin mahal, jadi anda pasti mahukan produk yang berbaloi dengan pelaburan anda. Oleh itu, anda boleh melayari internet untuk membuat pilihan dan perbandingan, serta membaca ulasan pengguna.
Kredibiliti digital
Internet juga ialah sumber utama bagi ibu bapa moden untuk mencari maklumat pengasuhan, seperti kesihatan dan perkembangan anak, pemakanan, perancangan keluarga, dll. Namun sukar untuk menentukan siapa yang boleh dipercayai dalam talian, oleh itu ibu bapa moden perlu mengamalkan “pengasuhan pintar” dan jadi lebih “celik digital” untuk mengenal pasti laman web yang boleh dipercayai. Ini penting dalam membantu ibu bapa mengimbangi kerja dan keluarga, lebih-lebih lagi bagi menyesuaikan diri dengan perubahan pasca-pandemik.
Terdapat banyak sumber maklumat pengasuhan dalam talian, yang penting ia perlu sahih dan tepat. Berikut beberapa petua berguna:
- Domain internet: Domain biasa seperti .com, .org, dan .net boleh dibeli dan digunakan oleh individu. Namun, domain .edu dikhaskan untuk sekolah, kolej dan universiti, manakala .gov pula hanya untuk laman web kerajaan. Oleh itu, domain .edu dan .gov merupakan sumber yang lebih dipercayai. Domain .org pula sering digunakan oleh pertubuhan bukan kerajaan, tapi anda perlu lebih teliti apabila menggunakan laman-laman web ini.
- Maklumat penulis: Sumber yang dipercayai selalunya menyertakan nama penulis. Maklumat lain seperti pekerjaan atau cara menghubungi juga mungkin diberi. Ini antara tanda yang maklumat tersebut boleh dipercayai.
- Tarikh penting: Maklumat sahih perlu menyertakan tarikh jika ia menyebut kajian tertentu atau jika maklumat tersebut diambil daripada internet. Ini membantu anda mempertimbangkan jika maklumat tersebut masih sesuai diguna pakai.
- Senarai sumber: Laman web yang sahih akan menyenaraikan sumber rujukan yang digunakan, dan lebih baik jika terdapat pautan ke sumber (sebagaimana buku dan makalah akademik juga menyertakan senarai rujukan).
- Kualiti laman web: Gaya dan tatabahasa laman web juga menjadi tanda kesahihannya. Laman web dengan reka bentuk yang buruk dengan kesalahan tatabahasa atau ejaan boleh diragui kesahihannya.
- Keselamatan dalam talian: Amalkan keselamatan dalam talian apabila anda atau anak anda menggunakan internet. Tonton rancangan pendidikan dalam talian bersama mereka, pelajari kegiatan yang mesra kanak-kanak dalam talian atau main permainan video mudah sebagai cara untuk meluangkan masa bersama. Yang penting, masa keluarga diluangkan bersama sambil anda mencegah ancaman maya.
Lebih pintar, lebih produktif
Mengimbangi kerja dan keluarga sememangnya satu cabaran, jadi ibu bapa perlu belajar untuk menguruskan masa dengan lebih berkesan. Ini akan memberi anda lebih banyak masa untuk keluarga, dan anda juga akan lebih produktif dalam mencapai sasaran kerjaya dan hidup.
Kecekapan dan produktiviti adalah penting dalam menghasilkan keluarga bahagia, di samping untuk membantu anda bekerja dari rumah, serta memastikan keluarga anda sentiasa sihat dan selamat semasa pandemik. Pada masa yang sama, masih ada rahmat di sebalik pandemik COVID-19 yang menimpa, iaitu peluang untuk mengeratkan hubungan dengan keluarga dan menguruskan masa dengan lebih baik.
Komen