Pengasuhan Positif

Kesihatan Mental Juga Penting!

Pandemik COVID-19 yang masih berterusan ini menjadi punca kerisauan dan keresahan ibu bapa serta anak-anak di Malaysia.

Sebagai usaha melawan pandemik, kerajaan telah menguatkuasakan langkah-langkah ketat seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara. Namun, apabila kita terpaksa melalui pelbagai fasa PKP, ini telah memberi kesan negatif kepada kesihatan mental kita.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyatakan bahawa pandemik ini akan mempunyai kesan jangka panjang dan besar ke atas kesihatan mental, dan tindakan perlu diambil untuk menangani keresahan dan tekanan. Ini bermakna semua orang termasuk yang dewasa dan kanak-kanak akan terkesan dan berhadapan kesukaran untuk bertahan, lalu mendatangkan risiko lebih tinggi masalah kesihatan mental seperti kemurungan atau keresahan.

Malah, sebelum pandemik lagi, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 menunjukkan bahawa warga Malaysia (termasuk kanak-kanak) berhadapan dengan “epidemik kesihatan mental”. Di peringkat awal pandemik, satu lagi kajian pada tahun 2020 mendapati bahawa ramai pelajar universiti mengalami keresahan.

Seperti yang dilaporkan dalam berita, kadar bunuh diri juga telah meningkat mendadak. Rekod polis bagi lima bulan pertama 2021 menunjukkan 468 kes bunuh diri, berbanding 631 dan 609 kes bagi keseluruhan tahun 2020 dan 2019.

Kepentingan kesihatan mental

“Terperangkap” dengan satu sama lain untuk jangka masa panjang, tanpa dapat menjejakkan kaki ke luar rumah, bukanlah keadaan yang ideal bagi sesebuah keluarga. Bagi mencapai kestabilan dan harmoni dalam rumah tangga, ahli keluarga perlu saling berusaha dan bekerjasama.

Ini boleh jadi mencabar, terutamanya dengan faktor-faktor yang didatangkan oleh PKP, seperti pengasingan sosial, ruang yang sempit, kekurangan ruang dan masa peribadi, malah mungkin berdepan dengan kehilangan orang tersayang.

Bagi kanak-kanak, faktor-faktor ini, ditambah dengan tekanan akademik, boleh menyebabkan peningkatan risiko masalah kesihatan mental. Oleh itu, penting juga bagi kanak-kanak untuk terlibat secara aktif dalam usaha keluarga menangani perubahan-perubahan drastik dalam hidup.

Pengurusan tekanan boleh dilaksanakan melalui pendekatan proaktif seperti mencari “masa sendirian”. Anda perlu mengatur dan menyesuaikan rutin harian dengan kerjasama seluruh keluarga untuk mendapatkan masa ini. Lakukan apa-apa yang sesuai, seperti mendengar muzik, berkebun, bersenam, amalan kerohanian atau gabungan mana-mana aktiviti yang bermakna.

 

Jaga diri sendiri dahulu

Menurut Prof Alvin Ng, “Ibu bapa perlu menguruskan kesihatan mental mereka terlebih dahulu. Seperti dalam kapal terbang, anda perlu memakai topeng oksigen anda dahulu sebelum memakaikannya untuk anak anda. Lebih mudah dan berkesan untuk menangani masalah anak anda jika anda berada dalam keadaan tenang dan rasional.”

Ibu bapa boleh melakukan penilaian kendiri ini untuk melihat petanda keresahan dan kemurungan. (Nota: Penilaian dalam talian ini berasal dari UK dan nombornya tidak boleh dihubungi di Malaysia.)

Kaedah dalam talian ini bertujuan untuk penilaian kendiri dan bukan untuk menggantikan nasihat pakar. Jika markah anda menunjukkan ada masalah, seperti markah sederhana ke teruk, sila rujuk nasihat pakar. Anda boleh melawat doktor anda atau Klinik Kesihatan berdekatan untuk mendapatkan surat rujukan ke hospital kerajaan jika anda perlu berjumpa doktor pakar. Bagi bantuan pantas, sila hubungi Talian Kasih 15999.

 

Beza antara kesihatan mental vs penyakit mental

Kesihatan mental merujuk kepada kesejahteraan emosi, psikologi dan sosial kita, dan ia mempengaruhi cara kita berfikir, berperasaan dan berkelakuan. Kesihatan mental bermakna kita berfungsi dengan baik, boleh menyesuaikan diri, sejahtera dan berdaya tahan.

Penyakit mental pula sebaliknya dan melibatkan masalah yang menjejaskan kesihatan mental kita hingga kita tak dapat berfungsi atau menyesuaikan diri, dan sering berasa tertekan.

Prof Alvin memberi amaran, “Awas dengan tanda-tanda kebimbangan, kurang berfungsi, kurang bersemangat atau keresahan yang teruk, terutamanya jika berlaku berminggu-minggu kerana ini bermakna adanya masalah kesihatan mental. Jika dibiarkan, ini boleh jadi lebih teruk dan mengakibatkan masalah kesihatan mental tahap klinikal. Kesihatan tubuh tidak cukup tanpa kesihatan mental. Jadikan ini sebahagian daripada kamus hidup anda dan pecahkan stigma. Rujuk pakar dan ketahui cara untuk pulih.”

Consult a health professional

Langkah seterusnya

Setelah menilai kesihatan mental anda, perhatikan juga kesihatan mental anak anda. Berbanding orang dewasa, kanak-kanak lebih mudah takut dan risau. Yang bahayanya, kebanyakan tanda dan gejala mereka tidak jelas.

Dr Rajini Sarvananthan mengingatkan kita, “Beberapa aspek pengasuhan adalah penting, dan ini termasuklah hubungan positif antara ibu bapa dan anak, menerima anak anda seadanya, melibatkan diri dalam hidupnya, menggalakkan perkembangan sosial yang positif dengan rakan sebaya dan kanak-kanak lain, serta menjaga kesihatan fizikalnya. Ini perkara asas yang penting, dan ada banyak lagi yang perlu anda lakukan.”

Teroka emosi dengan berbual mengenainya, terutama tentang ketakutan dan kerisauan. Satu cara untuk membantu anak menangani tekanan adalah dengan menghadapi ketakutannya. Bincangkan dengannya tentang berita terkini, dengar apa kata-katanya dan akui perasaan/ketakutannya. Seperti orang dewasa, kanak-kanak (terutamanya remaja) mungkin memerlukan “masa sendirian” untuk menguruskan tekanan, jadi ambil kira masa ini dalam jadualnya. Pantau aktivitinya secara tidak berlebihan.

Kemahiran sosial dan emosi amat penting, jadi ajarlah mereka dan tunjukkan contoh baik. Jangan elak topik sensitif tapi bincangkannya secara terbuka dan sejujur mungkin. Ini menyediakan ruang lebih baik untuk anak anda mengukuhkan daya tahannya, dan berguna dalam mencegah masalah kesihatan mental. Tambahan lagi, galakkan aktiviti keluarga yang boleh dilakukan setiap hari (cth. makan malam bersama) atau tiap minggu (cth. berjalan atau bersenam bersama). Ini bagi membolehkan keluarga meluangkan masa bersama, jadi tutup peranti digital!

Awasi petanda amaran

Dr Rajini juga menyatakan bahawa masalah kesihatan mental dalam kanak-kanak sering diabaikan, terutamanya bagi kanak-kanak bawah 6 tahun. Anda boleh mula mengawasi petanda amaran dengan memberi sepenuh perhatian kepada anak anda. Anda juga boleh menggunakan kaedah penilaian kendiri ini untuk melihat tanda kemurungan dan keresahan yang boleh dikesan dalam anak anda. Kaedah penilaian kendiri ini berfungsi sebagai panduan dan bukan untuk menggantikan diagnosis pakar. Jika anda risau dengan kesihatan mental anak anda, sila dapatkan nasihat doktor.

Kajian menunjukkan bahawa usaha pencegahan dan rawatan diperlukan dan berkesan dalam mengurangkan masalah akibat gejala yang dipendam oleh kanak-kakak. Gejala yang dipendam secara asasnya ialah emosi yang dihalakan ‘ke dalam diri’, seperti rasa sedih, rendah diri, ketakutan dan sekatan kelakuan. Petanda yang perlu diperhatikan dalam kanak-kanak ialah kelakuan regresif, yang merupakan tindak balas biasa kepada tekanan, kekecewaan atau kejadian trauma. Kanak-kanak kecil menunjukkan tingkah laku ini apabila tertekan.

Virtual family gathering

Pakar perunding pediatrik perkembangan tersebut berkata, “Satu cara untuk menerangkan kelakuan regresif ialah ‘kelakuan tidak seperti umurnya’, jadi anak anda mungkin membuat perangai atau ‘lupa’ sesetengah kemahiran yang telah dipelajari, seperti memakai baju sendiri. Walaupun kelakuan regresif lebih kerap dilihat di kalangan kanak-kanak petatih dan tadika, ia juga boleh terjadi di kalangan kanak-kanak lebih tua, malah orang dewasa!”

Selain itu, ibu bapa juga perlu mengambil kira faktor perkembangan (dan perhubungan) sosial yang lain. Maknanya, kesihatan fizikal juga perlu diimbang dengan keperluan untuk melindungi diri daripada pandemik (melalui penjarakan sosial atau PKP). Kini kanak-kanak tidak dapat bersosial seperti biasa, maka cari cara untuk mengekalkan hubungan mereka dengan rakan dan keluarga, terutamanya nenek dan datuk. Anda boleh merancang perjumpaan keluarga secara maya melalui panggilan video untuk bertanya khabar.

Kanak-kanak sekolah juga terpaksa menjalani kelas maya, jadi sebaik saja sekolah dibuka (termasuk pusat jagaan dan prasekolah), anak anda perlu sedikit waktu untuk menyesuaikan diri semula sebelum kembali ke sekolah; anda perlu luangkan masa untuk membantu mereka bersedia.

Mom and son

Jangan abaikan kesihatan mental

Pengerusi Program Pengasuhan Positif, Datuk Dr Zulkifli Ismail menerangkan betapa pentingnya ibu bapa lebih terlibat dengan anak-anak; katanya, “Tidak syak lagi, pengesanan masalah di peringkat awal perlu bagi langkah pencegahan yang berkesan. Oleh itu, ibu bapa harus mengambil berat tentang kesihatan mental.”

Anda perlu faham kepentingan kesihatan mental bagi anda sendiri dan anak anda. Malangnya, stigma masih wujud terhadap isu kesihatan mental dan penyakit mental. Jangan segan untuk meminta bantuan. Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) menawarkan khidmat kaunseling; selain itu, terdapat talian khas yang menawarkan ruang selamat kepada sesiapa yang memerlukan tempat untuk mengadu. Talian Befrienders KL beroperasi 24 jam (03-7627 2929) dan talian BuddyBear untuk kanak-kanak/remaja beroperasi daripada 12pm-12am (1800 18 2327).

Datuk Dr Zulkifli berkata, “Saya harap ibu bapa akan bersikap lebih terbuka terhadap kesihatan mental dan penyakit mental. Ingat bahawa masalah kesihatan mental boleh berlaku pada mana-mana umur, dan kanak-kanak juga tidak terkecuali. Dapatkan bantuan pakar jika perlu, sama ada untuk diagnosis, rawatan atau pengurusan masalah. Penting untuk kita ketahui bagaimana untuk meminta pertolongan apabila perlu. Sebagai ibu bapa, jangan takut atau malu untuk meminta pertolongan yang anda perlukan kerana ini akan membantu meringankan tekanan dan beban yang anda hadapi.”

Oleh:

Prof Dr Alvin Ng, Pakar Psikologi Klinikal dan Presiden Pengasas Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia

Dr Rajini Sarvananthan, Pakar Perunding Pediatrik Perkembangan

Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pengerusi, Program Pengasuhan Positif

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen