Rumah: tempat di mana ramai antara kita meluangkan kebanyakan masa sejak beberapa bulan kebelakangan, kesan daripada pandemik global. Namun, ini bukanlah sebab untuk bersedih, kerana situasi ini boleh menjadi peluang keemasan untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan.
Bekerja dari rumah, menghadiri kelas dalam talian dan mesyuarat secara maya, memesan penghantaran makanan – semua kegiatan ini menjadi sebahagian besar daripada norma baharu dalam hidup kita apabila rumah menjadi tempat kita melakukan hampir semua rutin harian. Maka, kita mungkin menjangka hubungan kekeluargaan akan bertambah erat apabila lebih banyak masa dihabiskan di rumah.
Pelbagai cabaran
Namun, dengan semua tugas dan peranan yang perlu dilaksanakan, mencari masa berkualiti bersama keluarga mungkin tidak semudah yang kita sangka. Kuantiti masa tidak sama dengan masa berkualiti. Ibu bapa berhadapan dengan situasi baru apabila mereka perlu mengimbangi antara kerja bergaji dan tugasan rumah, sambil mengawasi pembelajaran jarak jauh anak, untuk jangka masa yang panjang.
Konflik mungkin timbul apabila ahli keluarga “terperangkap” di bawah satu bumbung. Contohnya, kekurangan ruang peribadi untuk kerja atau belajar boleh mengganggu kegiatan harian. Ini masalah yang mungkin terjadi dalam rumah dengan ruang yang kecil atau bilik yang terhad, dan boleh menyebabkan tekanan kerana ahli keluarga tidak dapat menumpukan pada tugas atau perbincangan peribadi.
Selain itu, sempadan antara masa dan ruang kerja, keluarga, dan masa peribadi makin kabur dan ini juga menyukarkan keadaan. Ya, jadual anda mungkin lebih luwes dan masa anda tidak dihabiskan untuk berulang-alik di antara rumah, sekolah dan pejabat. Namun situasi ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan antara hidup peribadi dan kerja. Hal kerja boleh mengganggu hal peribadi, dan sebaliknya, suasana di rumah mungkin memberi kesan kepada prestasi kerja.
Situasi yang tidak dijangka ini juga menjadi satu cabaran buat anak-anak kecil yang baru mula ke tadika atau sekolah. Kurangnya interaksi antara murid dan guru membuatkan mereka sukar menumpukan perhatian. Oleh itu, pengawasan ibu bapa sering diperlukan semasa kelas dalam talian berjalan. Ibu bapa sendiri perlu menyesuaikan diri dengan tanggungjawab tambahan semasa tempoh sukar ini.
5 strategi berkesan
Bagaimana anda dan keluarga boleh menukarkan cabaran menjadi peluang untuk mengeratkan hubungan? Berikut beberapa tips praktikal:
- Saling bekerjasama: Ibu bapa perlu saling melengkapi untuk mengisi pelbagai peranan di rumah. Bincangkan dan rancang awal-awal bagaimana untuk menyusun jadual kerja dan tugasan rumah, supaya salah seorang boleh menguruskan rumah semasa seorang lagi menghadiri mesyuarat maya. Seluruh keluarga juga boleh mengeratkan hubungan dengan melakukan tugasan seperti penyediaan makanan atau mengemas rumah bersama-sama. Jadual tugasan rumah juga boleh melibatkan anak anda. Pengurusan tugas yang efisyen penting untuk mengelakkan salah faham dan supaya setiap ahli keluarga jelas dengan tugas dan tanggungjawab mereka.
- Masa keluarga: Tetapkan satu masa khas untuk diluangkan dengan semua ahli keluarga. Antara contoh masa yang sesuai ialah setiap kali makan malam, malam permainan dua kali seminggu, tayangan filem hujung minggu atau apa-apa aktiviti bersama keluarga yang dipersetujui. Pada waktu ini, semua tugas berkaitan kerja atau sekolah perlu diketepikan. Secara idealnya, peranti peribadi perlu dipadamkan atau disenyapkan.
- Mulakan projek keluarga: Antara yang sesuai ialah projek mencantikkan rumah yang boleh melibatkan semua ahli keluarga, seperti membuat kebun kecil, mengecat bilik, menyusun perabot atau memasang kertas dinding. Projek seni seperti fotografi keluarga, buku skrap atau aktiviti mewarna juga cara lain yang bagus untuk meluangkan masa bersama.
- Perbuatan kecil, kesan besar: Kadang-kala, hal-hal kecil sudah cukup berkesan. Mengucapkan terima kasih selepas menerima bantuan atau memuji tukang masak atas hidangan yang lazat cukup bagi mengukir senyuman ahli keluarga. Anda juga boleh meninggalkan nota ringkas di atas meja atau katil anak anda untuk menghargai kelakuan baiknya. Pelukan dan ciuman juga amat berharga. Ingat, ini juga penting untuk pasangan anda!
- Masa 1-sama-1: Cuba cari masa untuk berbicara satu sama satu dengan setiap anak anda, serta pasangan anda. Ketika itu, berikan sepenuh perhatian kepadanya. Sesetengah perkara hanya boleh diluahkan apabila bersendirian bersamanya. Perbualan mendalam boleh mengukuhkan hubungan dan membantu anda menangani isu-isu tersembunyi.
Anda tidak perlu mengamalkan semua tips ini sepanjang masa untuk mengukuhkan hubungan dengan keluarga anda. Kuncinya ialah usaha yang berterusan walaupun kecil. Dan yang paling utama adalah untuk berusaha membina hubungan dan interaksi yang bermakna dengan keluarga agar suasana positif terhasil di rumah. Ini pasti akan lebih mengeratkan ikatan kekeluargaan. Bak kata penulis Ralph Waldo Emerson, “A house is made with walls and beams; a home is built with love and dreams.”
Reference:
https://www.frontiersin.org/articles/10.3389/fpsyg.2020.588667/full#h1
https://mypositiveparenting.org/2014/01/11/time-with-the-family/
Komen