Sexting di kalangan remaja kini menjadi satu masalah yang makin serius di zaman digital kesan penggunaan telefon pintar yang meningkat di kalangan remaja. Apakah masalah yang berkait dengan isu ini, dan bagaimana ibu bapa boleh bersedia untuk menghadapinya?
Sexting berasal daripada gabungan perkataan “sex” dan “texting”. Ia satu fenomena baru yang bermaksud menghantar atau menerima mesej, gambar atau video lucah melalui telefon pintar, komputer atau peranti digital lain. Contoh kandungan sexting termasuklah gambar bogel, video lucah serta mesej berkaitan perbuatan lucah.
Statistik berkaitan sexting
Rujukan: a) Pew Research Centre, b) S. Madigan, et al, JAMA Pediatr., Apr 2018
- 95% remaja mempunyai akses telefon pintara
- 45% remaja kerap menggunakan telefon pintara
- 1 dari 7 remaja membuat hantaran lucahb
- 1 dari 4 remaja menerima hantaran lucahb
Jenis sexting
Perbuatan sexting meningkat seiring dengan kemajuan komunikasi digital; oleh itu ia lebih meluas di kalangan generasi muda. Malah, sesetengah invididu mungkin menganggap ia sebahagian daripada ritual romantik secara digital antara kekasih. Namun, sexting ialah kelakuan berisiko dan patut dicegah, terutamanya di kalangan remaja. Terdapat beberapa jenis sexting:
- Dengan izin: Kedua-dua penghantar dan penerima mempunyai hubungan romantik dan kedua-duanya selesa dan mengizinkan tindakan ini. Namun, sexting masih berisiko walaupun dengan izin. Sexting juga tidak dikira mempunyai keizinan jika ia berlaku antara orang dewasa dan remaja bawah umur.
- Terpaksa: Walaupun dalam hubungan romantik, mungkin terdapat unsur paksaan atau tekanan semasa menghasilkan atau bertukar-tukar hantaran lucah. Sebagai contoh, seorang gadis yang diminta oleh teman lelakinya untuk menghantar gambar bogel, walaupun dia tidak menyukainya.
- Tanpa izin: Ini boleh dianggap gangguan seksual. Contohnya, apabila seseorang menerima hantaran lucah tanpa diminta. Contoh lain adalah apabila gambar atau video lucah disebarkan kepada orang lain tanpa izin penghantar asal.
Apa kesan buruknya?
Masalah utama dengan sexting ialah risiko hantaran lucah tersebut terdedah kepada orang yang tidak dikehendaki, sama ada ia sengaja dilakukan oleh penerima asal, atau akibat kesilapan, atau kerana ia dicuri atau digodam oleh pihak ketiga. Risiko menjadi mangsa amat tinggi kerana bahan sensitif sebegini amat mudah tersebar di Internet. Berikut beberapa akibat sexting yang mungkin terjadi:
- Maruah tercemar: Hantaran lucah yang tersebar luas boleh menyebabkan subjek hantaran tersebut dibuli dan diganggu secara maya atau fizikal. Ini boleh meninggalkan trauma dan menjatuhkan maruah mangsa, lalu mengakibatkan kemurungan serta niat bunuh diri.
- Ugutan seks: Lebih teruk lagi, pihak berniat jahat boleh mengugut untuk menyebarkan gambar atau video mangsa bagi mendapatkan wang, seks atau lebih banyak gambar lucah. Ini memerangkap mangsa dalam kitaran ugutan tanpa henti dan mengakibatkan trauma lebih teruk.
- Tersimpan di Internet: Semua yang dimuat naik ke dalam talian akan kekal hampir selamanya di situ. Hantaran lucah yang bocor boleh menghantui remaja di masa hadapan dan memberi kesan buruk ke atas pendidikan, kerjaya dan perhubungannya.
- Akibat undang-undang: Membuat, menyimpan atau berkongsi bahan lucah, terutamanya yang mengandungi kanak-kanak atau remaja, adalah haram di Malaysia. Di sesetengah negara, terdapat kes di mana remaja disiasat serta didakwa kerana menghasilkan atau menghantar gambar atau video mereka sendiri.
Apa yang ibu bapa boleh lakukan?
- Mula sejak awal: Perkenalkan pendidikan jantina seawal mungkin kepada anak anda. Bina kepercayaan dan beri ruang untuk anak anda berkongsi apa-apa saja kepada anda. Bicarakan topik sexting dan bahayanya sebelum membenarkan mereka menggunakan telefon pintar, kamera komputer atau peranti lain.
- Tetapkan panduan: Jika mereka mahu menggunakan telefon pintar, mereka perlu mematuhi peraturan anda. Contohnya, peranti digital tidak boleh digunakan semasa makan atau selepas waktu tidur. Anda mungkin perlu memantau telefon mereka dari masa ke masa. Penggunaan telefon/peranti boleh digantung jika mereka melanggar peraturan berat, seperti menyimpan gambar lucah.
- Terangkan akibatnya: Remaja dan kanak-kanak mungkin tidak menyedari bahawa mereka tidak dapat mengawal apa yang terjadi kepada gambar atau video mereka selepas dihantar atau dimuat naik, walaupun jika mereka cuba memadamnya. Nasihatkan mereka untuk berfikir dengan mendalam tentang perbuatan mereka sebelum menekan butang hantar dan fikirkan kesan jika bahan tersebut dilihat oleh rakan di sekolah, walaupun ia sepatutnya rahsia.
- Langkah yang perlu diambil: Jika seseorang meminta anak anda menghantar bahan lucah, beritahu mereka untuk menolak dan menyekat orang tersebut. Jika mereka diganggu dengan hantaran lucah, mereka boleh memadamnya dan menyekat penghantar tersebut. Tapi jika anak anda terus diganggu, mungkin anda perlu menyimpan bahan tersebut sebagai bukti untuk laporan polis. Secara amnya, remaja perlu memaklumkan ibu bapa atau orang dewasa yang dipercayai jika mereka mempunyai masalah atau pertanyaan.
Kemunculan pelbagai teknologi mendatangkan cabaran baru untuk ibu bapa. Malah, sesetengah remaja mungkin lebih arif berbanding ibu bapa dalam mengikuti kemajuan teknologi. Oleh itu, ibu bapa perlu sentiasa mengambil tahu tentang teknologi/isu semasa agar mereka sedar akan masalah yang mungkin timbul, serta bagaimana untuk menghadapi masalah tersebut.
Reference:
- https://www.verywellfamily.com/what-is-sexting-problem-1258921
- https://www.psychologytoday.com/us/blog/protecting-children-sexual-abuse/202001/teen-sexting-guidelines-parents
- https://jamanetwork.com/journals/jamapediatrics/fullarticle/2673719
- https://www.webmd.com/sex/what-is-sexting
- https://raisingchildren.net.au/teens/entertainment-technology/pornography-sexting/sexting-teens
- https://pediatrics.aappublications.org/content/143/5/e20183183
- https://myhealth.alberta.ca/Alberta/Pages/Sexting-teens-and-technology.aspx
- https://mcchr.org/chsk_faq
Komen