Pengasuhan Positif

Bukan Sekadar Gumpalan Saraf

Sistem saraf pusat kita merangkumi otak (antara organ terpenting dalam tubuh kita) dan saraf tunjang. Kedua-duanya berperanan penting untuk memastikan fungsi tubuh berjalan dengan lancar. Oleh yang demikian, sistem saraf pusat sungguh penting terutamanya dalam perkembangan kanak-kanak.

‘Pentadbir’ dan komponen terpenting bagi sistem saraf pusat ialah otak. Ia organ kompleks yang menjalankan banyak tugas penting berkaitan fungsi kognitif, pemikiran, pembelajaran, emosi, dan juga mengawal tindakan autonomi seperti bernafas dan kadar denyutan jantung.

Saraf tunjang berfungsi sebagai ‘lebuhraya’ utama atau kumpulan saraf yang menghubungkan otak dengan seluruh badan, lalu membolehkan aliran isyarat dua arah (cth: rasa sentuhan di hujung jari (mencetuskan tindak balas saraf), berpeluh untuk menyejukkan badan, dsb.).

Banyak faktor yang boleh menjejaskan tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak. Antaranya termasuk kerosakan sistem saraf pusat akibat kecederaan fizikal (cth: jatuh tangga), penyakit yang memberi kesan kepada otak/saraf tunjang, atau masalah kongenital seperti spina bifida sistika atau mikrosefali.

Penjagaan rapi diperlukan

Tengkorak, tulang belakang dan meninges (tisu selaput otak dan saraf tunjang) melindungi sistem saraf pusat daripada kecederaan luaran. Namun, organ ini masih terdedah kepada jangkitan patogen yang dapat melepasi penghalang otak atau darah. Jadi, kita perlu melindungi dan menjaga sistem saraf pusat kita bagi mengurangkan risiko kerosakan. Antara faktor yang mengancam termasuklah:

  • Jangkitan: Jangkitan patogen, selalunya disebabkan bakteria (kadang-kala jangkitan virus atau kulat), boleh mengancam nyawa. Sistem imun kanak-kanak masih belum matang dan lebih mudah dijangkiti berbanding orang dewasa.
  • Kecederaan fizikal: Kecederaan fizikal ke atas sistem saraf pusat boleh dibahagikan kepada:
  • Trauma daya tumpul: akibat jatuh atau dipukul dengan objek (cth: kayu besbol atau kereta), menyebabkan gegaran atau tulang retak/patah.
  • Trauma tembusan: akibat objek yang menusuk tengkorak/tubuh.
  • Kekurangan pemakanan: Diet yang sihat penting untuk memberikan sistem saraf pusat (terutamanya otak) nutrien mencukupi untuk pertumbuhan dan perkembangan yang sihat. Kekurangan nutrien (cth: zat besi, asid folik, vitamin) boleh memberi kesan kepada otak dan menjejaskan perkembangan dan fungsi kognitif.
  • Penyahhidratan: 73% struktur otak terdiri daripada air. Penyahhidratan yang teruk boleh menjejaskan fungsi otak, oleh itu pastikan anak anda cukup terhidrat.
  • Ibu mengandung: Ini tempoh kritikal bagi tumbesaran janin, dan kecacatan struktur boleh terjadi jika kekurangan nutrien tertentu seperti asid folik, yang menyebabkan spina bifida (menjejaskan saraf tunjang) dan anensefali (menjejaskan otak). Beberapa penyakit (cth: rubela, herpes, zika) boleh terjadi kepada ibu mengandung dan menyebabkan mikrosefali kepada janin (kepala bayi lebih kecil berbanding normal).

Tahukah anda?

Kedua-dua penyakit meningokokus dan pneumokokus boleh menyebabkan meningitis (keradangan meninges), dan ini boleh menyebabkan sawan atau menjejaskan fungsi otak, seperti masalah ingatan atau daya tumpuan, atau masalah keseimbangan dan koordinasi. Lebih teruk lagi, jika jangkitan merebak ke bahagian badan yang lain, ini boleh menyebabkan komplikasi lain seperti jangkitan darah (septisemia) atau pneumonia. Ini boleh memberi kesan buruk berpanjangan kepada kanak-kanak, walaupun setelah sembuh.

Mencegah lebih baik daripada mengubati

Kebanyakan bahaya boleh dicegah, jadi ibu bapa perlu mengambil tindakan sewajarnya. Sebagai contoh, mengajar kanak-kanak menjaga kebersihan demi mengelakkan jangkitan. Namun, langkah ini sahaja tidak mencukupi! Bagi penyakit meningokokus dan pneumokokus, langkah pencegahan terbaik adalah dengan memvaksin anak anda.

Mujurlah, vaksin pneumokokus telah dimasukkan ke dalam program imunisasi kebangsaan. Namun, bagi yang lahir sebelum Januari 2020, ibu bapa digalakkan memberi vaksin kepada anak mereka untuk mencegah penyakit pneumokokus, serta mendapatkan vaksin meningokokus yang disyorkan jika belum. Pada masa yang sama, semua orang dewasa (termasuk warga emas) juga disarankan mendapatkan vaksin, bagi mencegah penyakit tersebut, serta menjadi pembawa yang menyebarkannya kepada orang lain.

Selain pemvaksinan, ambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan anak daripada sebarang kecederaan fizikal. Ambil masa untuk memastikan rumah anda selamat untuk bayi, sentiasa pastikan bayi dan kanak-kanak kecil tidak terlepas daripada pandangan anda, dan halang laluan ke tempat berbahaya seperti balkoni. Ini boleh mengurangkan risiko jatuh dan ditimpa objek berat apabila mereka meneroka persekitaran.

Sistem saraf pusat kita tidak boleh ditukar ganti. Kerosakan boleh jadi teruk dan kekal, dengan kesan seumur hidup dari segi fizikal, mental, dan emosi ke atas anak dan keluarga. Oleh itu, jangan ambil mudah dan sentiasa pastikan anak anda selamat daripada bahaya dan penyakit.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen