Jalan raya boleh jadi berbahaya bagi mereka yang cuai. Pejalan kaki dan pengguna kenderaan bermotor (kereta, motosikal, atau skuter elektrik) berisiko mengalami kemalangan jalan raya. Sebagai ibu bapa, amat penting untuk mengajar anak remaja anda tentang keselamatan jalan raya sejak awal.
Kesedaran tentang keselamatan pejalan kaki hendaklah menjadi asas, kerana ia akan membantu anak remaja anda sedar tentang risiko bahaya ke atas pejalan kaki semasa dia memandu.
Asas penting yang perlu diketahui semua:
- Berjalan di tempat pejalan kaki atau menjauhi lalu lintas.
- Berjalan melawan arah lalu lintas dan sentiasa peka dengan melihat jalan raya dan persekitaran.
- Gunakan jejantas atau lintasan jalan untuk menyeberang jalan.
- Elakkan gangguan semasa berjalan/berjoging/berbasikal (cth: bermesej, mendengar muzik kuat dengan fon telinga, dll.).
- Jangan anggap pemandu dapat melihat anda dan sentiasa bersedia untuk memberi laluan.
Mendapatkan lesen
Di Malaysia, remaja boleh memiliki lesen motosikal seawal 16 tahun dan lesen kereta seawal 17 tahun. Namun, jangan menyerahkan sepenuhnya kepada sekolah memandu untuk mengajar anak anda keselamatan jalan raya kerana fokus pembelajaran mereka hanyalah untuk lulus ujian memandu. Anda masih perlu mendidik mereka agar menjadi pemandu yang berhemah dan bertanggungjawab.
Kemalangan jalan raya berlaku disebabkan pelbagai faktor. Senarai di bawah adalah sebahagian daripada faktor utama yang perlu diberi perhatian:
- Pemanduan yang terganggu: Antara sebab utama kemalangan; gangguan boleh berpunca daripada bercakap/bergurau dengan penumpang, bercakap di telefon, menaip mesej, makan atau minum. Ingat, kedua-dua tangan perlu memegang stereng!
- Kurang pengalaman memandu: Ini menyebabkan penilaian yang lemah dalam hal:
- Anggaran kelajuan yang selamat apabila membelok atau mengambil selekoh tajam
- Anggaran jarak semasa meletak kereta atau bergerak dalam trafik
- Lambat bertindak balas ketika kecemasan
- Penilaian terganggu/keletihan: Memandu di bawah pengaruh dadah dan/atau alkohol adalah punca kemalangan dan ibu bapa perlu tegas dalam isu ini sepanjang masa. Selain itu, elakkan memandu apabila terlampau letih atau mengantuk (terutamanya jika memandu jarak jauh atau dalam tempoh yang lama). Jika mengantuk, cari lokasi selamat untuk berhenti rehat/tidur. Awas dengan ubatan yang boleh membuat kita mengantuk.
- Keadaan jalan atau cuaca yang buruk: Hujan lebat boleh menghalang penglihatan atau menyebabkan banjir kilat; dalam keadaan ini, lebih baik cari tempat selamat untuk berhenti dan tunggu cuaca beransur baik. Elakkan memandu sambil memasang lampu kecemasan; ia hanya patut digunakan apabila anda terpaksa berhenti di tepi jalan. Bahaya di jalan boleh dikesan lebih awal jika anak anda fokus sepenuhnya semasa memandu, dan ini memberikannya masa untuk bertindak balas dengan baik.
- Penyelenggaraan yang lemah: Servis dan penyelenggaraan kenderaan penting untuk memastikan ia selamat digunakan. Jika anda mahu anak anda bertanggungjawab dalam hal ini, ajar mereka apa yang perlu diservis atau diselenggara.
Bersabarlah!
Ramai pemandu kenderaan di Malaysia mempunyai sikap tidak acuh apabila mereka di atas jalan raya. Undang-undang jalan raya wujud demi keselamatan awam, jadi ia patut dipatuhi. Melanggar undang-undang jalan raya akan meningkatkan kebarangkalian terjadinya kemalangan.
Kanak-kanak pandai meniru, dan mereka akan mengikuti cara dan etika pemanduan anda dengan pantas. Jika anda mengajar mereka cara yang betul untuk memandu tetapi anda sendiri tidak mengamalkannya, ajaran anda akan jadi sia-sia.
Ramai pemandu yang tidak tahu bersabar, jadi pastikan anak remaja anda diajar bersabar semasa di jalan raya. Pastikan mereka bersedia untuk berhadapan dengan pembuli jalanan, pemandu cuai dan pemotong barisan. Adakalanya, lebih baik untuk mengalah dan bersikap baik di jalan raya, daripada cuba melawan dan membuktikan hak anda.
Mulakan dari awal
Pastikan anda memandu dengan berhati-hati dan bertanggungjawab, terutamanya apabila anak anda sedang melihat. Jika anda sering gagal menunjukkan contoh yang baik, dia juga akan mengikut tabiat buruk anda. Anda akan melihat pemanduannya yang buruk apabila dia pula memandu anda satu hari nanti!
Mula bina asas kesedaran dan keselamatan jalan raya sejak anak anda kecil. Ia satu kemahiran penting bukan sahaja sebagai pejalan kaki tetapi juga sebagai pemandu kelak. Menyedari potensi bahaya di jalan raya sebagai pejalan kaki akan membantunya menjadi pemandu yang lebih baik, terutamanya kerana dia akan lebih prihatin terhadap pejalan kaki dan pengguna jalan raya yang lain.
Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.
Komen