Pengasuhan Positif

Padanan Lampin 101

Apabila kita bercakap berkenaan bayi, lampin adalah keperluan wajib kerana ia dapat ‘menangkap’ sisa badan mereka. Secara umumnya, bayi dan kanak-kanak kecil bawah umur dua tahun masih tidak dapat mengawal pundi kencing mereka dan pergerakan usus secara betul. Oleh itu, pemakaian lampin dapat membantu mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku apabila mereka membuang air kecil atau besar.

Fungsi lampin cukup mudah untuk difahami, namun membeli lampin yang bersesuaian dengan bayi anda boleh mengelirukan, terutamanya jika membeli untuk kali pertama. Tambahan pula, anda mungkin perlu untuk menukar lampin anak anda sebanyak sembilan kali sehari, terutamanya pada 3 bulan yang pertama.

Permulaan

Ada beberapa beberapa perkara perlu diberi perhatian apabila membeli lampin:

  • Beli saiz yang betul dan padan. Jika saiz terlalu kecil, ianya tidak selesa untuk dipakai dan menyebabkan ruam atau kulit bayi sensitif. Jika saiz terlalu besar, ia mudah tertanggal dan kerap bocor. Malangnya, saiz lampin tidak universal dan berbeza mengikut jenama. Pengeluar lampin biasanya memberi contoh produk secara percuma dimana anda boleh memohon di laman web atau media sosial mereka. Sebagai alternatif, beli pek paling kecil untuk mencuba. Kulit bayi adalah jauh lebih sensitif dan halus berbanding kulit orang dewasa, jadi mendapatkan lampin yang betul adalah satu proses yang penting bagi memastikan anak kecil anda selesa.
  • Saiz mengikut berat, bukan umur. Berbeza dengan pakaian, saiz lampin ditentukan oleh berat badan bayi berbanding umur kerana pertumbuhan fizikal bagi setiap bayi adalah berbeza.
  • Selesa di kulit. Ruam lampin dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti sentuhan kulit dengan kotoran najis yang berpanjangan (terutamanya cirit-birit, yang disebabkan oleh jangkitan) atau lampin yang terlalu ketat. Jika anak anda dijangkiti ruam lampin, anda boleh menggunakan jenis lampin tanpa haruman atau pewangi.

  • Pakai dengan betul. Pemakaian lampin yang betul pada bayi anda dapat memberi perubahan besar, contohnya bahagian tepi dalam keadaan teratur, tidak memakai secara terbalik, dan sebagainya. Bagi bayi yang baru lahir, anda boleh melipat bahagian hadapan lampin untuk pertindihan (jika tali pusat masih melekat) jika bayi anda menunjukkan tanda-tanda tidak selesa. Lampin mesti dipakai secara kemas. Lampin yang terlalu ketat boleh memberi kesan kepada menghalang pengaliran darah ke kaki atau akan menekan perut bayi. Jika terlalu longgar, ia boleh menyebabkan air kencing dan najis terkeluar, atau tertanggal apabila bayi bergerak.
  • Jenis pelekat atau seluar. Dari segi fungsi (keselesaan, penyerapan, dll.), kedua-duanya ada persamaan. Walau bagaimanapun, lampin jenis pelekat disarankan kepada bayi yang baru lahir hingga ke 6 bulan, manakala lampin jenis seluar disarankan kepada bayi berumur 6 bulan dan ke atas kerana ianya mudah dipakaikan/ditanggalkan terutamanya apabila bayi sudah boleh berdiri. Jika anda berada dalam perjalanan atau di tempat yang tidak menyediakan ruang menukar lampin bayi, lampin jenis seluar lebih mudah digunakan.

Bagaimana dengan lampin jenis kain?

Lampin jenis kain dikatakan lebih mesra alam kerana ia mengurangkan pembuangan sisa. Walaupun kos penggunaan lampin kain lebih tinggi pada awalnya, terutamanya jika anda membeli lampin kain jenis baru (sesetengahnya mempunyai poket), tetapi ianya lebih menjimatkan dalam jangka masa panjang.

Namun begitu, pemakaian lampin kain akan menambahkan kerja anda untuk membuang najis bayi dan juga membasuh lampin kain tersebut. Anda juga mungkin mengambil masa untuk belajar menggunakannya dengan betul, kerana anda perlu berlatih cara untuk melipat dan memakaikannya dengan betul, serta membasuh lampin yang kotor.

Pilihan anda

Walau apapun pilihan anda, sama ada ingin menggunakan lampin kain atau pakai buang, anda perlu mempelajari dan memahami sepenuhnya cara untuk menggunakannya untuk anak anda. Jika bayi anda mengalami ruam lampin (yang sering terjadi), tetapi ruam itu tidak hilang atau kerap berulang walaupun sudah menggunakan jenama lampin yang berbeza, anda disarankan untuk berjumpa doktor.

Sebagai panduan asas, anda boleh melatih anak anda membuang air kecil dan besar di tandas dalam lingkungan umur 2 tahun, tetapi jangan kecewa jika anak anda belajar agak lambat – setiap kanak-kanak mempunyai masa mereka sendiri dan apabila latihan itu berjaya, maka hari-hari yang anda gunakan untuk menukar lampin mereka akan berakhir juga!

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen