Pengasuhan Positif

Kesan Perubahan Suhu ke Atas Kulit

Kulit ialah organ terbesar di tubuh manusia. Berbanding orang dewasa, kulit kanak-kanak lebih lembut dan nipis. Mereka mungkin lebih kerap mengalami masalah seperti kulit kering, ruam dan kulit rengsa.

Kulit juga mempunyai beberapa fungsi penting seperti membentuk halangan (cth: daripada bakteria/virus, mengekalkan kelembapan), membolehkan kita merasa (cth: panas, sejuk, sentuhan), dan membantu mengawal suhu badan.

Suhu panas & sejuk

Setiap kali kanak-kanak terdedah kepada cuaca, kulit mereka juga terdedah kepada haba, kelembapan, matahari dan perubahan suhu mendadak (cth: dari bilik berpenyaman udara ke cuaca panas di luar atau dalam bangunan sama). Tambahan pula, SOP pencegahan COVID-19 masih perlu dipatuhi, seperti pemakaian pelitup muka yang meningkatkan kelembapan di muka, dan penggunaan pencuci tangan.

Kulit sensitif tidak boleh menghadapi perubahan cuaca yang drastik, contohnya daripada panas dan berpeluh kepada sejuk dan kering. Haba boleh menyebabkan peluh/kotoran berkumpul di sesetengah kawasan (cth: dahi, leher, lipatan siku and lutut). Pendedahan berpanjangan kepada cuaca panas/sejuk yang keterlaluan juga tidak disyorkan.

Perubahan suhu yang kerap antara persekitaran berpenyaman udara dan luar rumah boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami masalah kulit seperti berikut:

  • Terdedah lama kepada matahari: Tanpa perlindungan yang betul (cth: pelindung matahari, pakaian kalis UV), kulit rengsa atau terbakar mudah terjadi. Walaupun di tempat teduh, seseorang boleh terdedah kepada matahari melalui tingkap rumah/kereta, dsb.
    Tips: Sapu pelindung matahari dengan faktor perlindungan matahari (SPF minima 30) pada kulit yang terdedah (cth: leher, muka, tangan, kaki) sebelum keluar. Pelindung matahari senang tertanggal apabila digosok, dibasuh atau apabila berpeluh, jadi sapu semula sebelum keluar jika sudah lebih 2-4 jam berlalu. Untuk mengelakkan kulit terbakar, guna produk yang mengandungi antioksidan, vitamin A/C/E atau furfuril palmitat.
  • Penggunaan pelitup muka: Kelembapan berlebihan yang terkumpul daripada peluh dan wap hembusan nafas boleh menyebabkan:
    o Ruam: Di bahagian kulit yang ditutup oleh pelitup muka.
    Tips: Bersihkan dan basuh kawasan yang terkesan dan keringkan dengan lembut. Biarkan kulit anda “bernafas” dari semasa ke semasa. Sapu lapisan nipis jeli petroleum pada tempat yang terkesan (bibir) sebelum memakai pelitup muka (yang terlalu tebal dan melekat pada kulit boleh menyebabkan jerawat).
    o Jerawat: Penggunaan pelitup muka yang berterusan boleh menyebabkan jerawat walaupun pada kanak-kanak.
    Tips: Bagi jerawat ringan, cara rawatan termasuklah penjagaan muka yang kerap dan rapi, seperti dengan retinoid topikal, benzil peroksida. Ini boleh diselang-seli dengan cucian lembut biasa.
  • Penggunaan pencuci tangan: Penggunaan yang kerap membantu mencegah penularan COVID-19. Pencuci tangan yang mengandungi sekurangnya 60% alkohol disarankan, namun ini boleh mengeringkan kulit.
    Tips: Guna pencuci tangan dalam jumlah berpatutan dan terus sapu krim pelembap selepas pencuci tangan untuk mengelakkan kulit daripada menjadi terlampau kering.
  • Udara terlampau sejuk: Penyaman udara membantu menghadapi cuaca panas, tetapi ia juga menyebabkan udara kering. Duduk di dalam kelas atau rumah yang memasang penyaman udara sepanjang hari akan membuatkan kulit anda kering dan gatal.
    Tips: Udara yang sejuk biasanya kering, jadi kekalkan suhu penyaman udara sekitar 24-26 ̊C. Minum sekurang-kurangnya 6-8 gelas air sehari agar kekal terhidrat. Di rumah, guna mesin pelembap di dalam bilik berpenyaman udara agar udara tidak jadi terlampau kering, atau letakkan mangkuk berisi air di dalam bilik. Selalu guna krim pelembap untuk mengelakkan kulit kering terutamanya di bahagian yang terdedah (bibir, kelopak mata dan jari-jari).

Penjagaan kulit kering/rosak

Bagi penjagaan kulit kanak-kanak, penggunaan produk pelembab kulit yang betul selepas mandi adalah penting. Elakkan produk yang mengandungi pH alkali atau alergen wangian kerana mungkin boleh merengsa kulit mereka yang sensitif. Uji produk baru dengan menyapu sedikit ke belakang telinga (kulit paling nipis) dan lihat jika terdapat sebarang tindak balas alahan atau tanda-tanda tidak selesa selepas 5-7 hari.

Jenis produk pelembap yang sesuai juga bergantung kepada jenis kulit setiap individu, jadi anda mungkin perlu mencuba  terlebih dahulu sebelum memilih yang paling sesuai. Antara pelembab yang sering dipilih ialah:

  • Minyak sapu: Tekstur yang pekat dan tebal kerana kandungan minyak yang lebih tinggi. Sesetengah kanak-kanak mungkin tidak menyukainya kerana rasa berminyak tetapi ia lebih bagus dalam mengekalkan kelembapan.
  • Losyen: Kandungan airnya lebih tinggi dan lebih cair, dan ia tidak rasa berminyak. Oleh itu, ia mungkin tidak mengekalkan kelembapan sebagus pelembab berasaskan krim.

Bahan-bahan lain dalam pelembap yang baik untuk kulit termasuklah koloid mil oat (serbuk oat halus) dan produk penjagaan kulit yang mengandungi antioksida, ekstrak likuoris dan prebiotik yang membantu mengurangkan kegatalan dan memulihkan mikrobiota kulit. Secara amnya, pelembap elok disapu selepas mandi dan sebelum tidur untuk mengekalkan kelembapan.

Awas!

Tindak balas pertama yang ditunjukkan oleh kanak-kanak adalah menggaru. Mencegah kulit kering boleh mengelakkan ketidakselesaan akibat kegatalan, kerengsaan dan kulit yang digaru berterusan yang boleh mengakibatkan kulit rosak dan keradangan. Kulit anak anda perlu dilindungi sepanjang 24/7, terutamanya di Malaysia kerana cuaca kita yang panas dan lembap. Jika masalah kulit berterusan, rujuk doktor anda untuk dapatkan nasihat tentang apa yang perlu dilakukan.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen