Pengasuhan Positif

Kelebihan Tersembunyi Permainan Imaginasi

Bermain adalah aspek penting dalam perkembangan kanak-kanak. Bermain dengan anak patung adalah contoh terbaik kerana proses bermain itu dapat mengajar anak anda tentang selok-belok kemahiran sosial seperti belas kasihan dan perkongsian.

Sejak zaman dahulu lagi, kanak-kanak telah bermain dengan alat permainan dalam pelbagai bentuk dan saiz – anak patung, patung haiwan, robot atau dinasour, dan tidak spesifik sama ada bagi kanak-kanak lelaki atau perempuan. Alat permainan adalah alternatif yang seronok bagi mengajar kanak-kanak tentang norma-norma sosial dalam masyarakat, sementara bermain secara lakonan boleh menggalakkan imaginasi dan kreativiti mereka.

Kelebihan permainan lakonan

Terdapat beberapa unsur positif yang dikaitkan dengan bermain secara lakonan atau peranan menggunakan alat permainan, seperti:

  • Membentuk kemahiran emosi. Kanak-kanak mencipta senario mereka sendiri atau meniru orang dewasa di sekeliling mereka dan ini dapat membantu mereka membina kemahiran sosial yang penting seperti belas kasihan. Kanak-kanak juga boleh belajar bagaimana ingin menyatakan emosi dan perasaan melalui bermain peranan, contohnya menjaga patung “bayi sakit” atau patung haiwan, memberi makan atau memandikan mereka dan lain-lain.
  • Merangsang kemahiran sosial. Bermain secara lakonan menggalakkan sifat-sifat yang positif seperti kesabaran, perkongsian, bergilir-gilir, belas kasihan, prihatin dan sebagainya. Ini juga menggalakkan interaksi sosial dengan kawan-kawan, yang boleh dicapai melalui permainan lakonan dengan alat permainan ataupun semasa permainan imaginasi.
  • Merapatkan hubungan ibu bapa dan anak. Anak-anak anda mungkin akan mengundang anda ke “tea party” dengan kawan-kawan permainan mereka atau menjadi kapten yang “menghantar” anda ke angkasa, bermain bersama merapatkan dan mengukuhkan hubungan ibu bapa dan anak-anak.
  • Meningkatkan kreativiti dan imaginasi. Bermain menggalakkan kanak-kanak untuk menjadi imaginatif dan kreatif, contohnya dengan mencipta watak atau situasi yang mungkin tidak logik tapi menyeronokkan.
  • Beri anak anda kebebasan dan fleksibiliti dalam bermain selagi ianya tidak mendatangkan bahaya kepada mereka dan orang lain

Kanak-kanak juga seharusnya bebas untuk bermain dengan pelbagai alat permainan. Ibu bapa tidak patut mengenakan stereotaip jantina terhadap jenis mainan kerana ini boleh menyebabkan tingkahlaku stereotaip jantina apabila anak dewasa kelak. Ianya tidak salah jika budak lelaki ingin bermain dengan anak patung atau masak-masak atau membiarkan budak perempuan bermain dengan mainan kereta dan patung “superhero”.

Bermain sendirian ada manfaatnya, tapi jika lebih ramai, pasti lebih meriah. Cuba atur temujanji bermain dengan saudara-mara atau rakan terdekat. Anda juga harus luangkan waktu anda untuk bermain bersama mereka. Ini kerana belajar untuk bersosial adalah penting, dan apabila bermain dengan orang lain, galakkan mereka untuk membantu, berbuat baik dan berkongsi.

Apabila anak-anak anda semakin membesar, mereka akan mula menginginkan masa dan ruang mereka sendiri. Berikan mereka kelonggaran kerana ianya dapat membantu mereka berdikari. Dalam masa yang sama, teruskan memberi galakan kepada mereka untuk bercampur dengan kawan-kawan mereka, tetapi sentiasa pantau aktiviti mereka.

Pilih mainan yang sesuai

Zaman sekarang, kita diberikan banyak pilihan. Sebelum anda membeli-belah, ketahui bahawa alat mainan mempunyai “jangka hayat” tertentu kerana kanak-kanak cenderung untuk beralih arah apabila mereka merasa bosan. Beli permainan yang bersesuaian dengan umur dan menyeronokkan, tetapi jangan abaikan tentang keselamatan. Sesetengah barang permainan mempunyai bahagian yang mudah tertanggal (contohnya butang, kepingan mata, aksesori dsb.) dan berbahaya kepada bayi dan kanak-kanak kecil.

Anda seharusnya kreatif dalam memilih permainan. Barang permainan yang “baik” sepatutnya menggalakkan anak anda untuk menggunakan imaginasi mereka. Barang permainan tidak perlu yang mahal! Anda juga boleh membuatnya sendiri menggunakan barang-barang kitar semula, potongan kertas, pakaian lama, stoking atau benang yang boleh ditukarkan menjadi anak patung/barang permainan yang lembut.

Mengasuh mereka

Walaupun barang permainan dan bermain secara kreatif adalah cara yang bagus bagi mengajar konsep dan sifat positif kepada anak-anak, ibu bapa juga perlu berusaha untuk mengeratkan hubungan mereka dengan anak-anak. Gunakan barang permainan sebagai alat bagi membantu anda merangsang pertumbuhan dan perkembangan, bukannya untuk mengalih perhatian anak anda semasa anda sibuk dengan urusan lain.

Elakkan bergantung 100% kepada barang permainan sahaja bagi merangsang imaginasi anak anda kerana ianya tidak sama dengan bermain bersama mereka dan mengajar mereka konsep yang betul untuk membentuk kemahiran mereka.

Lebih penting lagi, beri sepenuh perhatian dan dengar apa yang anak anda katakan tanpa gangguan alat digital atau benda lain. Luangkan waktu sepenuhnya apabila bersama anak anda. Anak-anak akan membesar dengan sifat penyayang, kreatif dan berkeyakinan apabila ibu bapa meluangkan masa berkualiti bersama anak mereka dengan bermain, berinteraksi dan berhubung.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen