Pengasuhan Positif

9 Kesilapan Ibu Bapa Yang Kerap Dilakukan dan Cara Membetulkannya

Jika anda pernah tersilap meninggikan suara terhadap anak anda atau menyalahkannya atas apa yang tidak dilakukannya, pasti anda tahu betapa teruknya perasaan itu. Ibu bapa juga melakukan kesilapan, tapi bagaimana ia boleh dibetulkan semula?

Kesilapan boleh terjadi sama ada kerana tekanan, sibuk bekerja, kurang tidur, salah sangka atau cuai. Namun, ini bukan alasan untuk tidak peduli. Apa yang boleh kita buat ialah belajar daripada kesilapan hari ini agar kita boleh jadi lebih baik di kemudian hari. Mungkin sukar untuk mengatasi ego kita dan mengaku salah kepada anak kita. Tapi dengan menunjukkan teladan ini, kita boleh mengajar anak kita (dan diri sendiri) untuk menjadi manusia yang lebih baik.

Contoh kesilapan pengasuhan

Untuk belajar daripada kesilapan, anda terlebih dulu perlu mengakui kesalahan anda. Ia mungkin terjadi tanpa sengaja atau kerana tidak tahu. Berikut adalah beberapa jenis kesalahan:

  • Mungkir janji. Anda berjanji mahu membawa anak anda ke restoran kegemarannya apabila dia cemerlang dalam ujian, tapi anda terlalu sibuk dan lupa untuk pergi. Ibu bapa sering menjanjikan pelbagai perkara kepada anak-anak, tapi boleh jadi sukar untuk memenuhi semua janji.
  • Tipu ‘sunat’ kerap dilakukan kerana pelbagai sebab – sebagai alasan, untuk mengelak topik sukar atau bagi menenangkan anak-anak. Ibu bapa juga mungkin menipu orang lain di depan anak. Penipuan itu mungkin tidak memberi kesan besar, tapi ia mengajar anak yang menipu dibolehkan, dan ini tidak bagus.

  • Salah sangka. Sesetengah ibu bapa cenderung menyalahkan atau memarahi anak tanpa memberi dia peluang untuk menjelaskannya. Dengan menyangka bahawa kelakuan lepas anak akan menentukan kelakuannya kini dan kelak, ia membuatkan kita memandangnya secara sempit dan menghakiminya secara tidak adil.
  • Menggunakan bahasa kasar. Marah yang membara boleh membutakan kita. Anda mungkin tidak sedar anda mengeluarkan kata-kata kasar dan ia tak boleh ditarik balik selepas diucapkan. Ia cukup teruk apabila dituju kepada orang lain, tapi lebih teruk jika diucapkan kepada anak sendiri.
  • Membandingkan dan mengutuk. Komen yang membina adalah bagus, tapi memperkecil anak anda, membandingkannya dengan orang lain serta mengutuk kelemahannya, walaupun dengan niat ‘menjadikannya lebih kuat’, adalah tidak bagus sama sekali.
  • Terlebih gurauan. Melawak, bergurau dan mengusik anak anda ialah beberapa cara untuk bergelak tawa dan bergembira dengannya. Namun, anda mungkin telah melangkaui batas jika dia tidak ketawa. Lebih teruk, jika anda mendesaknya kerana tidak menerima jenaka anda.

  • Jadual yang sibuk boleh membuatkan anda kadang-kala terlupa rutin-rutin mudah (cth: mengambil anak anda dari kelas tambahan) atau tarikh/acara penting (cth: hari jadi anak anda atau hari sukannya).
  • Cakap tak serupa bikin. Ibu bapa merupakan contoh teladan utama bagi anak-anak. Apabila ibu bapa tidak mengamalkan apa yang mereka nasihatkan, ini boleh mengelirukan anak-anak.
  • Menyakiti secara fizikal. Ibu bapa mungkin tanpa sengaja mencederakan anak-anak, cth: membuat jari anak anda tersepit ketika menutup pintu kereta. Ada juga ibu bapa yang cenderung melampiaskan kemarahan atau kekecewaan ke atas anak (dengan menjerit, menyumpah dan memukul).

Membetulkan kesalahan

Setelah menyedari anda membuat kesilapan, apa yang boleh anda lakukan?

  • Jangan terlalu menyalahkan diri. Tiada ibu bapa yang sempurna, maka jangan terlalu kecewa atau tertekan kerana menjadi ibu bapa yang ‘teruk’. Sebaliknya, tumpukan untuk membetulkan kesilapan dan mencari penyelesaian.
  • Akui kesilapan dan minta maaf. Apabila anda dan anak anda telah bertenang, beritahu penyesalan anda dengan ikhlas dan minta maaf atas kesilapan anda. Minta peluang untuk perbetulkannya. Ini masa terbaik untuk mengajar kemaafan dan merendah diri kepada anak.
  • Berhubung semula dengan anak. Biar anak anda luahkan perasaannya. Dengar dengan minda terbuka dan sedar, serta berbual dengannya. Cuba letak diri anda di tempatnya dan fahami sudut pandangnya. Ini akan membina empati dan kefahaman lebih mendalam untuk saling berhubung.
  • Berusaha jadi lebih baik. Tumpukan pada memperbaiki diri sebagai seorang individu dan ibu bapa. Pelajari cara mengawal emosi dengan menyayangi diri sendiri dan belajar untuk fokus jika ada masalah dalam rumah tangga. Menyayangi anak anda bermula dengan menyayangi diri sendiri.

Membuat kesilapan ialah sebahagian daripada sifat manusia. Dalam hidup, kita akan saling bertukar kemaafan sepanjang hayat, termasuklah sebagai ibu bapa. Yang penting adalah untuk mengakui kesilapan yang telah dibuat dan belajar daripadanya, memperbaiki apa yang salah, berdamai dan memajukan diri sedikit demi sedikit untuk menjadi ibu bapa dan individu yang lebih baik.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen