Dalam pembelajaran, setiap kanak-kanak mempunyai kelajuan yang berbeza. Sebarang jurang kemampuan kanak-kanak dalam pembelajaran dapat dilihat apabila mereka memulakan sesi persekolahan di peringkat tadika.
Satu kaedah yang dipanggil 3M (menulis, membaca dan mengira), yang merujuk kepada jenis-jenis kemahiran teras, digunakan untuk mengukur kebolehan akademik kanak-kanak. Pada tahun ini, ibu bapa bagi anak-anak yang perlu membuat peralihan dari prasekolah ke sekolah rendah pasti bimbang disebabkan penutupan tadika dan prasekolah akibat pandemik COVID-19.
Walaupun gangguan ini memberi kesan kepada proses pembelajaran, ia masih boleh ditangani, dan dengan kerjasama antara ibu bapa dan tenaga pengajar, kanak-kanak dapat mengatasi sebarang ketinggalan dalam pembelajaran. Oleh itu, jika anda menyedari anak anda sering bermasalah untuk belajar atau memahami sesuatu, amat penting untuk anda mencari punca utama masalah ini.
Kesan lebih awal
Ibu bapa perlu tahu sama ada tumbesaran dan perkembangan anak mereka dalam keadaan normal. Hal ini hanya dapat dilakukan jika anda memantau tahap-tahap perkembangan utama anak anda seawal kelahiran.
Pakar Perunding Pediatrik, Datuk Dr Zulkifli Ismail menerangkan, “Ibu bapa, terutamanya bagi yang pertama kali, hendaklah mengenali tahap-tahap perkembangan yang penting bagi anak-anak seperti bila bayi mula bercakap, mengenali abjad dan sebagainya. Ini membantu anda mengesan dengan lebih cepat sebarang kelewatan atau kesukaran dalam membaca, bercakap atau mengaitkan huruf dengan bunyi.”
Tahap-tahap perkembangan yang perlu ibu bapa ketahui: BACA SINI
Jika anda menyedari sebarang kelewatan, jangan sekadar “tunggu dan lihat”. Kelewatan perkembangan (terutamanya kemahiran membaca, bahasa atau sosial) kadang-kadang berpunca daripada masalah pendengaran atau penglihatan kanak-kanak. Maka, adalah lebih baik jika masalah ini dapat dikesan lebih awal. Jelaskan sebarang masalah kepada pakar pediatrik bagi mengesahkan sama ada memang itu masalahnya, atau jika ia benar-benar masalah pembelajaran.
Datuk Dr Zulkifli mencadangkan, “Jika anda tidak pasti apa yang perlu ditanya kepada pakar pediatrik, suarakan saja kerisauan anda. Beri keterangan yang paling terperinci tentang apa yang anda lihat pada perkembangan dan kelakuan anak anda kerana petunjuk ini sangat membantu.”
Anda juga perlu tahu, walaupun kanak-kanak dengan Sindrom Down, gangguan spektrum autisme dan trauma/kecederaan otak selalu mengalami masalah pembelajaran, keadaan ini tidak termasuk dalam kategori masalah pembelajaran.
Ada pelbagai jenis masalah pembelajaran seperti, disleksia (menjejaskan pembacaan/penulisan), dispraksia (menjejaskan kemahiran motor), and diskalkulia (menjejaskan kebolehan mengira). Pada 2015, para pelajar Malaysia telah disaring oleh Kementerian Pendidikan dan sekitar 7% telah didiagnosis dengan disleksia.
Pengerusi Pengasuhan Positif itu menambah, “Ibu bapa perlu terus berjaga-jaga. Sesetengah masalah pembelajaran seperti disleksia hanya dapat dikesan di peringkat tadika dan ke atas. Luangkanlah masa berkualiti bersama anak anda, bukan sahaja bagi merapatkan hubungan anak dan ibu bapa, malah untuk memudahkan anda mengesan dengan pantas sebarang masalah berkenaan perkembangannya.”
Belajar dengan cara berbeza & rentak sendiri
Masalah pembelajaran (juga dikenali sebagai masalah pembelajaran spesifik) adalah kesukaran yang ketara dan berterusan dalam satu atau lebih bidang pembelajaran. In boleh menyebabkan kesukaran pembelajaran yang lebih teruk, tapi bukan kerana kecerdasan yang rendah.
Masalah kecerdasan disebabkan oleh IQ yang terjejas, dan boleh menjurus kepada kesukaran pembelajaran. Namun ia tidak terhad hanya dalam pencapaian akademik sahaja, malah boleh dilihat dalam bahagian perkembangan yang lain. Tanda-tanda kelewatan perkembangan termasuklah kelewatan bahasa, kemahiran motor dan swadaya sejak dari awal usia, sebelum bermula persekolahan.
Pakar Pediatrik Perkembangan dan Kelakuan, Dr Cindy Chan menyatakan, “Kanak-kanak dengan masalah pembelajaran spesifik biasanya mempunyai IQ yang normal; malah, sesetengahnya amat bijak. Namun, tanpa sokongan yang diperlukan, masih sukar bagi mereka untuk berada searas dengan rakan-rakan lain. Ini menjejaskan keyakinan dan memberi kesan negatif berpanjangan ke atas persekolahan dan pembelajaran mereka.”
Adalah penting untuk mengenal pasti profil kecerdasan dan pembelajaran setiap kanak-kanak. Sebilangan kanak-kanak mungkin mempunyai lebih daripada satu jenis masalah pembelajaran. Oleh itu, mengenal pasti masalahnya dengan tepat akan membantu dalam menghasilkan rancangan pembelajaran yang berkesan. Lebih penting bagi anak anda untuk menerima sokongan tambahan, berbanding menentukan diagnosis tentang masalahnya.
Menangani masalah pembelajaran anak anda selalunya melibatkan beberapa kaedah. Tiada pendekatan intervensi yang sesuai untuk semua kerana ia perlu dipadankan mengikut individu dengan intensiti dan tempoh masa menurut keperluan si anak. Antara strategi yang praktikal termasuklah pendekatan tingkah laku (cth: menyelitkan masa rehat fizikal secara kerap ketika kelas), penyesuaian bantuan (cth: penggunaan aplikasi suara-ke-teks untuk kanak-kanak dengan disleksia, papan kekunci dan komputer riba untuk pelajar dengan kesukaran menulis), penyesuaian persekitaran (cth: kedudukan meja lebih dekat dengan meja guru atau penggunaan mainan kecil untuk kanak-kanak yang sukar memberi tumpuan dalam kelas).
Bincangkan bersama pakar untuk menyediakan intervensi untuk memberi sokongan dan memulihkan masalah, contohnya dengan kaedah sistematik untuk mengajar membaca. Sokongan awal dan berkesan dalam tempoh secukupnya boleh merapatkan jurang dalam kesediaannya untuk bersekolah dan mengukuhkan asas membaca dan mengira yang penting. Tanganinya dengan sistematik dan teliti, sambil memberikan arahan jelas dan sistematik untuk anak anda mencapainya. Ulang sebanyak mana yang diperlukan dan buat ulang kaji dengan konsisten.
Sentiasalah berhubung dengan guru dan doktor anak anda. Pada masa sama, perhatikan sama ada kaedah yang digunakan dapat membantu anak anda dalam pembelajarannya. Maklumat ini berguna untuk terus memperhalusi strategi dan sasaran.
Disleksia bukan penghalang
Masalah pembelajaran tidak menghalang seseorang untuk berjaya dalam hidup. Antara individu dengan disleksia yang berjaya termasuklah Orlando Bloom, Whoopi Goldberg, Kiera Knightly dan Steven Spielberg.
Dr Cindy juga memberi beberapa tips kepada ibu bapa:
- Jaga bahasa anda. Jauhi perkataan negatif (cth: pemalas, bodoh, dll.) apabila berbincang mengenai prestasi dan kelakuan anak anda. Masalah pembelajaran menyebabkan kanak-kanak sukar mengikuti kaedah pembelajaran konvensional. Oleh itu, dia perlu diajar dengan kaedah berbeza dan diberi lebih masa untuk berlatih dan memahirkan diri.
- Ketahui hadnya. Tumpu pada kekuatan anak anda sambil mencari kaedah lebih spesifik untuk memudahkan pembelajarannya. Sebagai contoh, kanak-kanak dengan disgrafia sering mempunyai masalah menulis. Cuba sediakan sokongan yang sesuai – terapi kerja bagi memperbaiki koordinasi tangan-mata, memohon kerjasama pihak sekolah seperti meminta guru menyediakan salinan nota bercetak atau membenarkan penggunaan komputer riba untuk menaip nota di dalam kelas.
- Kawal jangkaan anda. Sebagai ibu bapa, sentiasa ingat bahawa setiap anak adalah berbeza. Ada kanak-kanak yang boleh menangani kekecewaan dengan lebih baik, jadi sesuaikan jangkaan anda terhadap anak anda berdasarkan profil pembelajarannya dan kebolehannya. Tetapkan sasaran yang boleh mencabarnya, tapi tidak terlalu tinggi sehingga tidak boleh dicapai. Mengetahui dan memahami personaliti anak anda akan membantu anda untuk mendorongnya melakukan yang terbaik bagi dirinya.
- Libatkan anak anda ketika membuat keputusan. Ini ialah perjalanan yang dikongsi bersama. Berbincanglah dengan anak anda secara kerap. Galakkannya untuk memberi idea atau strategi yang mahu dicubanya. Ini juga satu aspek pembelajaran yang penting – membuat kesilapan dan mempelajari apa yang baik untuk dirinya.
- Proses lebih penting daripada hasil. Berikan pujian yang ikhlas dan spesifik apabila anak anda berusaha bersungguh-sungguh dan bertahan. Jangan hanya lihat keputusan semata-mata, tapi teruskan menyokong minat mereka di luar akademik. Selain muzik, seni atau sukan, fikirkan peluang dan pengalaman yang berpotensi sebagai pekerjaan pada masa hadapan seperti minat terhadap kelestarian alam sekitar, penjagaan haiwan, dunia digital dan sebagainya.
- Uruskan kelakuan tidak diingini. Pelajari strategi yang sesuai untuk menguruskan kelakuan negatif. Komunikasi yang baik dengan anak anda boleh memberi idea untuk menyesuaikan suasana pembelajarannya agar lebih berkesan dan kurang stres.
Peranan guru
Persekitaran sekolah dan tenaga pengajar memainkan peranan yang penting bagi membantu kanak-kanak dengan masalah pembelajaran untuk terus berada di landasan akademik yang betul. Ibu bapa hendaklah bekerjasama rapat dengan guru-guru, jadi pastikan anda pergi ke perjumpaan ibu bapa-guru. Sentiasa ambil tahu keadaan anak anda di sekolah dan sentiasa berkomunikasi dengan gurunya.
Pn Anisa Ahmad, Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar (PPBM) menyatakan, “Kanak-kanak istimewa dengan masalah pembelajaran secara idealnya perlu dimasukkan ke sekolah yang sesuai kerana sekolah biasa tidak kondusif untuk pembelajaran mereka. Mereka mungkin menghadapi masalah seperti dibuli atau dipulaukan oleh rakan-rakan sebaya. Guru di sekolah biasa juga mungkin kurang berpengalaman untuk menguruskan kanak-kanak istimewa dengan masalah pembelajaran.”
“Terdapat program untuk pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak di TASKA (Taman Asuhan Kanak-kanak) dan TADIKA (Taman Didikan Kanak-kanak), di mana kanak-kanak diajar untuk berempati dan mengenali rakan istimewa mereka. Para pengasuh dan guru perlu mempelajari program intervensi awal, agar pengesanan dan stimulasi awal boleh dijalankan. PPBM bersama Kementerian Kesihatan Malaysia sedang bekerjasama untuk menyediakan modul ini dan kami telahpun menghantar kertas cadangan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk melatih para pengasuh dan guru.”
Kosnya mungkin tinggi untuk menghantar anak ke sekolah swasta khas untuk kanak-kanak dengan masalah pembelajaran, tapi terdapat juga sekolah kebangsaan yang boleh memenuhi keperluan kanak-kanak dengan masalah seperti disleksia. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 mendapati 4.7% kanak-kanak di Malaysia mempunyai kekurangan upaya (sekitar 430,000 kanak-kanak), namun hanya 74,694 kanak-kanak yang mempunyai capaian kepada pendidikan inklusif di sekolah kebangsaan. Sepatutnya terdapat pelbagai pilihan pendidikan tertiari yang boleh dicapai dan bermutu, seperti latihan dan pendidikan vokasional dan teknikal (TVET) untuk kumpulan ini. Oleh itu, kerajaan masih perlu menambah baik peranannya dalam aspek ini.
Sebagai seorang penasihat TASKA, dia menambah, “Ibu bapa dan penjaga kanak-kanak istimewa dengan masalah pembelajaran selalunya berhadapan dengan lebih tekanan dan melalui pengalaman penjagaan yang negatif berbanding mereka yang mempunyai anak dengan perkembangan tipikal. Sertailah kumpulan sokongan ibu bapa. Sokongan daripada ibu bapa lain yang mengalami kesukaran yang sama boleh memberi perbezaan besar, walaupun hanya sebagai tempat untuk meluahkan masalah.”
Sumber untuk ibu bapa:
- Persatuan Masalah Pembelajaran Kebangsaan Malaysia (National Association of Learning Disabilities Malaysia)
- Persatuan Dyslexia Malaysia
Ibu bapa selamanya
Walau apa pun masalah pembelajaran yang anak anda hadapi, sentiasa fokus untuk memupuk kebolehan dan minatnya. Berikan sokongan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada mereka.
Berikan mereka maklum balas positif bagi tingkah laku yang positif. Walau apa pun pujian yang anda berikan, ia perlu jujur dan lebih penting, spesifik. Pujian yang umum seperti “Bagusnya anak Ibu!” akan kehilangan makna setelah diulang beberapa kali. Anda juga perlulah memastikan jangkaan anda supaya selari dengan kebolehan dan kemampuan anak anda.
Peranan sebagai ibu bapa boleh jadi mencabar dan memberi tekanan, oleh itu pastikan anda menjaga kesihatan fizikal dan mental anda. Ambil cuti sekali-sekala daripada rutin harian untuk merehatkan minda dan membolehkan anda untuk terus memberi penjagaan rapi kepada anak anda. Ya, ia mungkin sukar, tapi dengan sokongan dan persediaan yang tepat, anda pasti boleh!
“At the end of the day, the most overwhelming key to a child’s success is the positive involvement of parents.” – Jane D. Hull
Komen