Pengasuhan Positif

Jangkitan Sampingan: Apakah Ia dan Bagaimana Pemvaksinan Boleh Membantu

Semasa pandemik COVID-19 ini, jangkitan sampingan (coinfection) dengan patogen lain telah dikesan dalam sesetengah pesakit dan dikaitkan dengan akibat yang lebih buruk. Jangkitan sampingan perlu difahami untuk menambah baik rawatan dan pencegahan.

Jangkitan sampingan berlaku apabila tubuh dijangkiti oleh beberapa spesies patogen (bakteria, virus, kulat, dsb.) pada masa sama atau berturutan. Sebagai contoh, seorang kanak-kanak yang dijangkiti influenza juga mendapat jangkitan pneumokokus pada masa sama. Antara terma lain yang digunakan untuk merujuk jangkitan sampingan ialah jangkitan berganda, jangkitan serentak dan polimikrobial.

Jenis jangkitan sampingan

Terdapat tiga jenis jangkitan sampingan:

  • Jangkitan akut serentak: Keadaan di mana beberapa jangkitan berlaku pada masa yang sama. Antara jangkitan serentak yang kerap terjadi ialah jangkitan influenza-pneumokokus. Tubuh lebih mudah terkena jangkitan bakteria pernafasan apabila dijangkiti virus. Semasa pandemik COVID-19, pelbagai kes jangkitan sampingan SARS-CoV-2 dengan patogen pernafasan lain telah dilaporkan. Jangkitan sampingan demam denggi dengan jangkitan mycoplasma juga boleh terjadi. Begitu juga dengan kombinasi lain.
  • Jangkitan sekunder/berturutan: Selepas jangkitan asal reda, jangkitan sekunder mungkin muncul akibat sistem imun yang masih lemah. Satu contoh biasa ialah otitis media, sejenis jangkitan telinga yang selalunya disebabkan oleh bakteria S. pneumoniae atau H. influenzae. Ia sering terjadi selepas jangkitan virus sinsitium pernafasan (RSV), koronavirus atau adenovirus. Jangkitan kedua yang tertangguh ini juga dirujuk sebagai jangkitan super (superinfection).
  • Jangkitan kronik serentak: Jangkitan kronik juga boleh menjadi penyebab jangkitan sampingan. Ini boleh dilihat dalam jangkitan HIV yang merosakkan sistem imun, lalu mengakibatkan tubuh lemah terhadap patogen oportunis, seperti Mycobacterium tuberculosis yang menyebabkan tuberkulosis. Malah, jangkitan HIV-tuberkulosis menjadi penyumbang utama peningkatan jangkitan tuberkulosis dunia.

Komplikasi lebih teruk

Berbanding jangkitan tunggal, jangkitan sampingan menyebabkan komplikasi kesihatan yang lebih teruk dan membuatkan jangkitan jadi lebih parah.

Jangkitan influenza yang diikuti dengan jangkitan pneumokokus boleh menyebabkan kematian. Kajian haiwan menunjukkan bagaimana jangkitan influenza merosakkan salur pernafasan, lalu memudahkan jangkitan sekunder oleh pneumokokus.

Walaupun mereka dapat bertahan, pesakit jangkitan sampingan mungkin mengalami kesan jangka panjang seperti buta, cirit-birit kronik, keradangan kronik, karsinoma, pengimunotindasan, fibrosis hati, meningitis, kegagalan buah pinggang dan demam reumatik.

Jangkitan sampingan juga menyukarkan rawatan jika melibatkan patogen berlainan jenis, seperti bakteria dan virus. Ubat antivirus atau antibiotik selalunya digunakan sama ada untuk merawat jangkitan virus atau bakteria, tapi kesan ubat ini ke atas jangkitan serentak masih perlu dikaji.

Ini kerana mungkin terdapat tindak balas yang boleh mengurangkan keberkesanan rawatan atau menjadikan jangkitan lebih teruk. Tindak balas ini perlu difahami untuk mengenal pasti strategi rawatan yang sesuai.

Vaksinasi ialah pilihan lebih baik

Bagi kebanyakan kes, pencegahan melalui vaksinasi ialah pilihan yang disarankan. Banyak kajian ke atas jangkitan influenza-pneumokokus yang menyokong potensi vaksinasi pneumokokus, di samping vaksinasi influenza tahunan, sebagai strategi utama untuk mengurangkan kematian dan morbiditi akibat wabak influenza.

Satu kajian juga mencadangkan vaksinasi pneumokokus dan Haemophilus influenzae jenis b (Hib) sebagai pelan tambahan yang wajar untuk mengurangkan jangkitan sampingan dalam kes COVID-19 selepas mendapati negara dan bandar dengan kadar pemvaksinan pneumokokus yang tinggi mempunyai kadar kematian dan kes COVID-19 yang lebih rendah. Jangkitan sampingan lain juga mungkin boleh dikawal dengan vaksinasi terhadap patogen yang terbabit. Namun, kajian lanjut diperlukan untuk lebih memahami jangkitan sampingan tertentu.

Walaupun vaksinasi pneumokokus mungkin tidak memberi perlindungan langsung terhadap jangkitan sampingan influenza atau COVID-19, ia boleh menurunkan kehadiran dan kemasukan ke hospital, serta mengurangkan beban ke atas perkhidmatan kesihatan.

Kata-kata akhir

Dijangkiti dengan satu penyakit sudah cukup membebankan; jangkitan kedua akibat yang pertama tentu lebih teruk. Oleh itu, lebih baik jika anda memberi anak anda perlindungan lebih meluas daripada jangkitan. Kemasukan vaksin pneumokokus ke dalam Program Imunisasi Kebangsaan ialah satu langkah yang dialu-alukan ke arah penjagaan kesihatan lebih baik untuk negara. Pemvaksinan yang lebih menyeluruh akan memastikan anda, keluarga anda dan golongan berisiko lebih dilindungi daripada jangkitan serta jangkitan sampingan.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen