Pengasuhan Positif

Cara Menangani Konflik Antara Ibu Bapa dan Datuk Nenek

Kita sering mendengar rungutan ibu bapa tentang datuk dan nenek yang suka masuk campur dalam hal pengasuhan anak mereka. Bagaimana isu ini boleh ditangani?

Peranan datuk dan nenek dalam keluarga boleh dianggap istimewa. Mereka kaya dengan pengalaman dan boleh menawarkan sokongan dan nasihat untuk ibu bapa dalam pelbagai hal pengasuhan, terutamanya bagi ibu bapa baru. Mereka juga boleh diharap dan dipercayai untuk menjaga anak-anak apabila ibu bapa terpaksa berjauhan. Mereka gemar memanjakan cucu mereka, suka bercerita dan memberi nasihat, malah merupakan sebahagian penting daripada hidup cucu mereka.

Punca konflik

Kadang-kala, datuk dan nenek mungkin mengganggu cara pengasuhan dan mencetuskan konflik dalam keluarga. Sama ada secara sedar atau tidak, mereka mungkin memberikan nasihat yang tidak diminta, mengkritik cara ibu bapa menguruskan anak-anak, atau memanjakan cucu sehingga melanggar peraturan ibu bapa. Datuk dan nenek juga cenderung memberi terlalu banyak snek kepada cucu, atau kurang prihatin dengan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak. Ada juga yang mahu ibu bapa lebih berkeras dalam mendisiplinkan anak-anak.

Kebanyakan ibu bapa tidak kisah jika ia terjadi sekali-sekala, namun jika ia sering berulang, mereka akan rasa seperti autoriti dan keupayaan mereka dipersoalkan. Arahan yang bercanggah daripada kedua-dua pihak juga boleh mengelirukan anak-anak dan menyebabkan mereka berasa terperangkap di antaranya. Jika tidak diuruskan dengan baik, perbezaan pendapat boleh menjadi perbalahan besar, lalu mengakibatkan ketidakstabilan keluarga.

Mencari keseimbangan

Ibu bapa selalunya menghargai kehadiran datuk dan nenek serta ingin mereka terlibat dalam kehidupan anak mereka, tetapi tidak mahu cara pengasuhan mereka terganggu. Maka, ibu bapa perlu:

  • Jelaskan peranan. Cara utama untuk meredakan konflik dan salah faham adalah dengan menjelaskan peranan mereka sebagai ibu bapa serta apa yang mereka harapkan daripada datuk dan nenek. Pakar bersetuju bahawa ia adalah tugas ibu bapa untuk menentukan peranan datuk dan nenek, bukan sebaliknya.
  • Terangkan peraturan. Tak kira apa niatnya, nasihat yang tidak diminta kurang disenangi. Jika ia datang daripada ibu bapa sendiri atau mertua, ia boleh dianggap satu kritikan. Anda dan pasangan perlu saling bersetuju untuk menetapkan peraturan pengasuhan anda. Kemudian, bersama-sama terangkan peraturan ini dengan tenang dan jelas kepada datuk dan nenek. Pastikan mereka tahu cara mereka boleh membantu dan apa yang tidak boleh dibuat.
  • Tangani perbezaan. Mereka mungkin tidak bersetuju dengan cara anda, tapi cuba fahami pandangan mereka dan jelaskan pandangan anda. Beritahu mereka: sesetengah perkara mungkin berkesan dahulu, tapi kini tidak lagi. Kekal tenang dan jangan terlalu defensif. Anda boleh berkata, “Saya hargai pendapat Ayah, tapi harap Ayah faham saya yang bertanggungjawab terhadap anak saya.” Ini penting terutamanya dalam isu perubatan dan keselamatan.
  • Bertolak ansur. Semua pihak mahukan yang terbaik untuk anak-anak, jadi cari jalan tengah yang dipersetujui semua. Tidak mengapa untuk mengalah sekali-sekala. Datuk dan nenek juga perlu dibenarkan untuk membuat keputusan apabila ibu bapa tiada, dan terutamanya jika tindakan anak-anak memberi kesan langsung ke atas mereka, jika keselamatan terancam atau peraturan rumah dilanggar.
  • Libatkan mereka bersama dalam perbincangan anda mengenai anak-anak dan beri mereka peluang untuk menyumbang. Sebagai contoh, mereka boleh menghantar dan mengambil anak-anak di tuisyen. Ajak mereka untuk sertai kelas keibubapaan atau temu janji bersama pakar pediatrik agar mereka lebih memahami keputusan anda.

Meredakan perbalahan

Konflik boleh tercetus apabila wujudnya perbezaan pendapat atau perwatakan. Ini sering terjadi antara mertua dan menantu; maka, si anak/pasangan perlulah berperanan untuk memulihkan hubungan. Apa yang boleh dilakukan jika berlaku percanggahan pendapat?

  • Bertenang. Bawa kedua-dua pihak ke ruang berasingan untuk menenangkan diri dan menjauhi suasana hangat. Ini penting agar tiada kata-kata kasar terlepas dari mulut dan memburukkan lagi situasi.
  • Jadi perantara. Lebih baik sekiranya si anak yang berbincang sendiri dengan ibu bapanya (datuk/nenek) bagi menyelesaikan masalah. Jika tidak berjaya, minta bantuan ahli keluarga lain yang dihormati untuk jadi perantara.
  • Jangan menyimpan perasaan. Jangan lanjutkan perbalahan atau bermasam muka. Jangan tunggu pihak lain untuk ‘menyedari kesilapan mereka’ atau ‘minta maaf dahulu’ kerana ini boleh mengakibatkan kekecewaan. Kadang-kala, ibu bapa perlu mengalah kepada datuk dan nenek, dan berdamai demi keluarga dan anak-anak. Pasangan perlu memberi sokongan jika ada yang terluka hati.
  • Jumpa pakar terapi keluarga. Jika tiada apa yang berkesan, rujuk pakar terapi keluarga yang berdaftar untuk membantu keluarga menyelesaikan konflik dan berdamai.

Komunikasi yang baik dan terbuka penting dalam mana-mana hubungan, termasuklah antara ibu bapa dan datuk/nenek. Kedua-dua pihak perlu saling menghormati dan memahami, serta menyedari peranan masing-masing dalam membesarkan anak-anak dan cuba untuk tidak melampaui batas.

Setiap ahli keluarga perlu memahami apabila satu-satu pasangan mempunyai anak, mereka perlu belajar menjadi ibu bapa kepada anak mereka sendiri. Proses keibubapaan ini penting dalam membina keluarga. Jika datuk atau nenek mengganggu proses ini, mereka mungkin merampas peluang pembelajaran bagi pasangan ini.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen