Pengasuhan Positif

Apakah Punca Hidung Anak Saya Tersumbat?

Bayi dan anak kecil sensitif kepada bahan perengsa dalam udara yang boleh menyebabkan hidung tersumbat. Ia boleh berlaku kepada sebahagian atau keseluruhan salah satu atau kedua-dua salur hidung. Situasi ini boleh merimaskan anak dan membawa stres kepada ibu bapa!

Kanak-kanak lebih tua dan orang dewasa boleh bernafas melalui mulut jika hidung mereka tersumbat, namun bayi tidak tahu cara untuk melakukannya. Hidung yang tersumbat boleh menyukarkan pernafasan. Lebih teruk lagi, hidung yang kerap tersumbat boleh meningkatkan risiko jangkitan yang boleh membawa kepada komplikasi seperti sinusitis atau otitis media.

Pernafasan biasa

Ada sebabnya cara pernafasan yang betul adalah melalui hidung dan bukan menggunakan mulut. Salur hidung kita berfungsi sebagai ‘penapis peringkat pertama’ dan dilapisi bulu halus yang memerangkap kotoran dan partikel lain. Di peringkat ini, udara juga akan dilembapkan, dihangatkan atau disejukkan mengikut kesesuaian sebelum memasuki peparu kita.

Proses ‘penapisan’ ini berterusan dalam saluran pernafasan yang dilitupi mukus yang akan memerangkap partikel asing sebelum memasuki peparu. Apabila seseorang bernafas melalui mulut, peringkat pertama ini akan dilangkau sepenuhnya.

Apakah yang menyebabkan hidung tersumbat?

Antara punca utama masalah ini ialah faktor persekitaran seperti udara kering terutamanya di bilik berpenyaman udara dan bahan perengsa seperti partikel ultrahalus daripada minyak pati aromaterapi atau setanggi. Alergen di dalam bangunan atau rumah juga merupakan satu lagi faktor, contohnya najis lipas/hama debu, bulu dan kulit haiwan peliharaan, serta kulapuk.

Memandangkan bayi/anak kecil anda meluangkan kebanyakan masa di dalam rumah, pendedahan yang kerap kepada bahan perengsa atau alergen boleh menyebabkan rembesan hingus semakin terkumpul di dalam hidung, lalu menyebabkan hidung tersumbat apabila baring. Ini antara sebab bayi tiba-tiba terjaga daripada tidur pada tengah malam, menyebabkan ibu bapa terpaksa mendukungnya secara menegak untuk menidurkannya semula!

Faktor yang sama boleh menyebabkan kanak-kanak lebih tua mengalami jangkitan saluran pernafasan bahagian atas (seperti batuk, selesema, dsb.) atau mengalami rinitis alahan yang menyebabkan rembesan hingus dan hidung tersumbat.

Satu lagi kemungkinan ialah abnormaliti struktur muka seperti adenoid besar yang menghalang salur hidung, septum hidung bengkok atau penyempitan salur hidung. Disebabkan abnormaliti ini, rembesan hidung mudah terkumpul, lalu menyebabkan hidung tersumbat. Dalam kes begini, kesukaran bernafas boleh berlaku sepanjang hari.

Bantuan diperlukan!

Memandangkan bayi dan anak kecil biasanya tidak tahu cara menghembus hidung untuk membersihkan hidung tersumbat, ibu bapa harus membantu mereka. Keupayaan bernafas secara normal merupakan satu kelegaan, terutamanya semasa pemberian makanan (bayi tidak dapat bernafas sambil makan apabila hidung tersumbat!) atau waktu tidur.

Jika bayi anda sihat, tidak demam atau tiada sebarang tanda jangkitan saluran pernafasan, anda tidak perlu panik. Bertenang dan tumpukan perhatian untuk membersihkan hidungnya yang tersumbat. Elakkan daripada menggunakan ubatan (melainkan anda diberikan preskripsi oleh doktor anak anda) dan ubat sapu (contohnya yang berasaskan mentol, eukaliptus, atau kapur barus). Ubat sapu tidak disyorkan untuk kanak-kanak bawah 2 tahun kerana boleh menyebabkan kerengsaan dan pengumpulan mukus. Anda hanya perlukan semburan hidung dan penyedut hidung.

Bayi anda mungkin meragam jika dia tidak biasa dengan alat ini, jadi ibu dan bapa perlu bekerjasama.

Kepentingan kebersihan hidung

Pelbagai faktor menyumbang kepada kebersihan hidung yang baik. Persekitaran bersih penting untuk mengurangkan (dan mencegah) berlakunya hidung tersumbat. Pastikan bilik bayi dan ruang umum dalam rumah bebas daripada debu dan alergen. Penyaman udara harus ditetapkan pada suhu sederhana (disyorkan pada 26°C) dan udaranya tidak menghembus terus ke wajah anak anda.

Jika anda menggunakan alat pelembap (humidifier) di dalam bilik anda, bersihkannya selalu. Elakkan penggunaan sebarang bahan beraroma termasuk wangian semula jadi kerana ia boleh merengsa hidung dan saluran pernafasan anak anda yang sensitif. Jika sesiapa merokok atau menggunakan rokok elektronik di rumah, pertimbangkanlah untuk berhenti merokok demi anak anda.

Jika anak anda kerap mengalami hidung tersumbat, ambil langkah sewajarnya untuk membersihkan hidungnya serta-merta. Langkah tersebut akan mengurangkan sebarang ketidakselesaan atau gangguan yang dialami anak anda kerana hidung tersumbat boleh menjejaskan kesejahteraan anak serta anda sendiri (terutamanya apabila terpaksa berjaga sepanjang malam!).

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen