Pengasuhan Positif

COVID-19 vs Influenza: Persamaan dan Perbezaan

Apabila kes COVID-19 mula muncul di hujung 2019, ramai menganggap ia hanyalah sejenis flu biasa. Setelah berjuta-juta kes dan kuarantin yang meluas di seluruh dunia, kini jelas bahawa COVID-19 ialah penyakit yang amat berbeza. Apa perbezaan dua jangkitan virus ini?

Sehingga pertengahan Disember 2020, lebih 72.5 juta kes COVID-19 telah disahkan, dan lebih 1.6 juta kematian direkodkan di seluruh dunia. Tiada siapa menyangka bahawa jangkitan virus ini, yang bermula di Wuhan, China pada Disember 2019, akan menggegarkan dunia sejauh ini ketika kita memasuki dekad baru. Sebagai perbandingan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan 1 bilion orang di dunia terkena flu setiap tahun, lalu mengakibatkan antara 290,000-650,000 kematian.

COVID-19 dan influenza sering dibandingkan, kerana kedua-duanya ialah penyakit virus pernafasan. Namun, terdapat perbezaan besar antara dua virus itu dan cara ia tersebar. Faktor ini mempunyai kesan penting ke atas cara kita menangani wabak virus.

SARS-CoV-2 & virus influenza

Kedua-dua COVID-19 dan influenza disebabkan oleh virus. COVID-19 atau penyakit koronavirus 2019, disebabkan oleh SARS-CoV-2 (koronavirus sindrom pernafasan akut teruk 2), sejenis strain koronavirus. Ia virus yang baru ditemui, jadi tiada rawatan atau vaksin sebelum ini untuknya; ini satu faktor yang menyebabkan jangkitan ini tersebar tanpa kawalan hingga menjadi satu pandemik.

Flu pula disebabkan oleh virus influenza, yang terdiri daripada empat jenis (A, B, C, D) dan banyak subjenis berlainan. Wabak flu bermusim selalunya disebabkan oleh influenza jenis A dan B. Perubahan genetik yang berterusan dalam virus influenza membuatkan kita perlu mengambil vaksin flu setiap tahun untuk melindungi kita daripada influenza secara berkesan.

Gejala serupa

Satu aspek COVID-19 yang sering dikaitkan dengan flu ialah gejalanya yang sama. Ini termasuk demam, batuk, keletihan, sesak nafas, sakit kepala, hilang selera, sakit tekak, dll. Virus penyebab kedua-dua penyakit ialah virus pernafasan; maka, kebanyakan gejala berkait dengan fungsi pernafasan. Sesetengah gejala mungkin lebih kerap muncul sama ada dalam COVID-19 atau flu, tapi selalunya sukar untuk membezakan kedua-dua penyakit, terutamanya jika bergejala ringan.

Namun, tempoh pengeraman kedua-dua jangkitan berbeza. Gejala flu muncul antara 1-4 hari selepas jangkitan, manakala gejala COVID-19 muncul 5 hari selepas jangkitan atau bila-bila masa antara 2-14 hari selepas jangkitan. Satu gejala yang kerap adalah kehilangan kebolehan menghidu.

Faktor penularan

COVID-19 dan flu tersebar melalui titisan pernafasan apabila orang yang terjangkit batuk, bersin atau bercakap. Orang lain dalam lingkungan 1-2 meter boleh dijangkiti apabila mereka menyedut masuk titisan ini ke dalam sistem pernafasan. Kedua-dua penyakit juga boleh tersebar melalui sentuhan langsung (cth: pelukan atau bersalam) serta pada fomit (permukaan tercemar). Ia juga boleh disebarkan oleh orang yang tidak menunjukkan gejala (asimptomatik) atau belum menunjukkan gejala (prasimptomatik).

Namun, ada faktor penularan lain yang menunjukkan perbezaan. Influenza mempunyai selang masa bersiri (jarak masa antara kes berturutan) yang lebih singkat dan boleh tersebar lebih pantas. Manakala, nombor reproduktif asas (R0) atau anggaran bilangan kes baru daripada satu kes COVID-19 lebih tinggi berbanding influenza, menunjukkan yang COVID-19 lebih mudah berjangkit. Selain itu, kebanyakan kes flu menjangkiti kanak-kanak, tapi mereka kurang terkesan dengan COVID-19. Mereka juga kurang berkemungkinan dijangkiti COVID-19, kurang menjangkiti orang lain dan kurang mendapat gejala teruk.

Keparahan & kematian

Data awal menunjukkan 80% jangkitan COVID-19 adalah ringan atau tanpa gejala, 15% teruk dan 5% kritikal iaitu memerlukan alat bantuan pernafasan. Peratus jangkitan teruk dan kritikal biasanya lebih rendah bagi influenza. Kadar kematian bagi COVID-19 (dianggar sekitar 3-4%) juga lebih tinggi berbanding influenza (<0.1%).

Pencegahan & rawatan

Penularan COVID-19 dan flu boleh dikawal dengan membasuh tangan secara kerap dan cermat, mengamalkan adab batuk/bersin, memakai pelitup muka, mengehadkan pertemuan dan duduk di rumah apabila sakit. Penjarakan fizikal juga penting untuk menyekat penularan COVID-19.

Ada vaksin COVID-19 yang telah diluluskan beberapa negara baru-baru ini, tetapi kebanyakannya masih dalam ujian. Sejumlah ubatan (cth: remdesivir) juga telah dicadangkan sebagai rawatan. Namun, masih banyak yang perlu dikaji sebelum rawatan standard boleh ditemui. Sebaliknya, ubat antiviral dan vaksin telah sedia ada bagi influenza. Kita juga amat digalakkan untuk mendapatkan vaksin setiap tahun bagi mencegah influenza.

COVID-19 dan flu berkongsi beberapa persamaan dan perbezaan. Satu perbezaan besar ialah COVID-19 sebagai jangkitan baru memerlukan lebih kajian sebelum kita boleh menemui penyelesaian terbaik untuk merawat dan mencegahnya. Influenza pula telah lama dikaji secara mendalam sejak 1936 apabila influenza A pertama kali ditemui, dan rawatan serta vaksinnya telah tersedia bagi strain berbeza. Perkara terbaik untuk melindungi keluarga anda daripada kedua-dua ancaman ini adalah dengan terus mengamalkan kebersihan yang baik dan penjarakan fizikal, serta mengambil vaksin flu tahunan.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen