Pengasuhan Positif

Bahaya Salmonella typhi

Anda mungkin jarang mendengar tentang bakteria yang dipanggil Salmonella typhi (S. typhi), tetapi anda mungkin pernah mendengar tentang demam kepialu. Seperti namanya, demam panas ialah antara gejala utama.

Demam kepialu atau demam tifoid ialah penyakit yang boleh berjangkit dengan mudah apabila bekalan makanan atau air dicemari mikroorganisma tersebut. Penyakit ini boleh merebak antara manusia dengan mudah, biasanya berpunca daripada pengendali makanan (cth. tukang masak, pekerja dapur/restoran, penjaga, dsb.). Jangkitan ini sering tercetus apabila pengendali makanan mula bekerja selepas gejala mereka telah hilang, tetapi bakteria sebenarnya masih aktif, dan oleh itu, boleh tersebar kepada orang lain.

Walaupun pihak berkuasa mewajibkan pekerja makanan diberi vaksin demam kepialu (dan diambil semula setiap tiga tahun), masih terdapat segelintir yang terlepas daripada pengawasan pihak berkuasa, contohnya mereka yang menjalankan perniagaan makanan/minuman berskala kecil dari rumah serta pekerja asing tanpa dokumen.

Apakah Salmonella

Salmonella merupakan patogen yang sering menyebabkan penyakit berkaitan makanan seperti demam, sakit kepala, loya, muntah-muntah, cirit-birit diselangi sembelit dan kekejangan abdomen. Kebanyakan orang merujuk kepada salmonella sebagai keracunan makanan kerana sumber jangkitan tersebut biasanya ialah makanan, dengan gejala yang muncul dalam masa 12-72 jam. Di Malaysia, strain Salmonella enterica yang sering ditemui.

Keracunan makanan akibat salmonella (jenis bukan tifoid) biasanya tidak mengancam nyawa dalam kalangan orang dewasa yang sihat. Bagaimanapun, kanak-kanak bawah lima tahun, orang tua dan pesakit dengan sistem imun lemah lebih berisiko tinggi untuk mengalami gejala lebih teruk atau mendapat komplikasi.

S. typhi pula lebih berbahaya kerana bakteria ini boleh berjangkit dan boleh menjejaskan seluruh badan. Semasa tempoh inkubasi, demam kepialu tidak menunjukkan sebarang tanda/gejala. Lebih teruk lagi, tanda/gejala yang muncul kemudian tidak semestinya spesifik kepada demam kepialu. Ini menyebabkan demam kepialu sukar dikesan pada awalnya.

Apabila penyakit itu semakin teruk, beberapa tanda/gejala yang sering berlaku termasuklah kehilangan selera, rasa sakit atau tidak bermaya, pening kepala atau sakit badan, dan demam. Sesetengah pesakit mungkin mengalami ruam.

Kelewatan mendapat rawatan boleh mengakibatkan demam panas (suhu 40°C atau lebih tinggi yang boleh berlarutan sehingga tiga minggu), sakit abdomen, pecah usus dan jangkitan darah seluruh badan, serta boleh menjejaskan organ lain. Terdapat juga kemungkinan kecil (3-5%) untuk pesakit itu menjadi pembawa penyakit demam kepialu.

Cara demam kepialu merebak

  • Pengendalian makanan yang tidak bersih, terutamanya jika disediakan oleh pengendali makanan yang sudah dijangkiti, boleh menyebabkan pencemaran makanan/minuman.
  • Pencemaran sumber makanan/air daripada sentuhan langsung/tidak langsung dengan najis seseorang yang telah dijangkiti. Situasi banjir boleh mempercepatkan penyebaran penyakit.

Mencegah demam kepialu

Demam kepialu juga boleh berlaku di kawasan bandar. Terdapat banyak gerai tepi jalan, tepi longkang dan gerai yang kebersihannya kurang memuaskan, di mana kita makan atau memesan makanan tanpa banyak soal. Kita sepatutnya tidak boleh terus menganggap gerai seperti ini bersih, terutamanya jika mereka tiada kemudahan air mengalir, kerana ini akan menyukarkan pemilik gerai untuk mengekalkan amalan kebersihan tangan atau kebersihan umum.

Sumber pencemaran yang lain termasuklah kerang-kerangan yang ditangkap dari perairan tercemar dan tidak dimasak dengan betul atau dimakan mentah (cth. etak, kerang, kupang, lala, tiram), sayur-sayuran mentah (daun salad, ulam), minuman dan pencuci mulut yang disediakan dengan air tercemar dan susu mentah. Elakkan daripada memakan sayur/buah mentah dan minuman berais. Hanya makan makanan yang dimasak sepenuhnya dan minum air masak atau air botol, terutamanya semasa berlaku wabak. Kebersihan amat penting terutamanya bagi makanan dan minuman.

Sebagai langkah berjaga-jaga, dapatkan vaksinasi untuk demam kepialu jika anda tinggal atau merancang untuk ke sesuatu tempat atau kawasan yang endemik demam kepialu seperti Kelantan (akibat banjir dan kadar penggunaan air dirawat yang rendah), sebahagian kawasan di utara/barat Afrika, kebanyakan negara Asia Selatan, beberapa bahagian Indonesia dan Peru. Tidak kira berapa lama anda berada di sana, nasihat ini harus diikuti, sama ada untuk pengembaraan makanan tempatan bersama keluarga, mahupun pelancongan ke luar negara.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen