Pengasuhan Positif

Apakah Punca dan Cara Mencegah Ruam Lampin?

Ruam lampin ialah perkara biasa. Suatu hari, semasa menukar lampin bayi anda yang baru lahir, anda mungkin menyedari punggung atau kawasan lipatan pahanya menjadi kemerahan dan dia kelihatan tidak selesa apabila anda menyentuh kawasan itu. Bayi anda mungkin mengalami ruam lampin.

Ruam lampin ialah masalah yang biasa dialami bayi dan kanak-kanak petatih yang memakai lampin, dan paling kerap bagi bayi bawah umur 12 bulan. Ruam lampin berlaku apabila kulit menjadi radang dan kemerahan di kawasan lampin, termasuklah paha, punggung dan bahagian kelamin.

Ruam lampin biasanya boleh dirawat di rumah, dan jika anda mengetahui cara menguruskan masalah ini dengan betul, ia akan pulih dengan cepat.

Pelbagai punca

Sebelum membincangkan cara mengurus ruam lampin, anda juga perlu fahami puncanya. Punca berbeza mungkin memerlukan rawatan berbeza.

  • Kerengsaan: Punca yang paling kerap. Terdedah kepada air kencing dan najis untuk tempoh yang lama boleh menyebabkan kerengsaan pada kulit sensitif bayi, terutamanya jika menggunakan lampin yang kurang menyerap. Lampin yang terlalu ketat juga boleh menyebabkan rengsa apabila bergeser pada kulit bayi. Lapisan permukaan lampin yang kasar juga boleh menyebabkan geseran dan mengakibatkan ruam.
  • Pertumbuhan Candida: Sejenis yis dipanggil Candida mungkin ada pada kulit normal tanpa sebarang gejala atau kesan negatif. Namun, jika yis tersebut tumbuh mendadak, ia boleh menyebabkan jangkitan sekunder di kawasan lampin. Pertumbuhan berlebihan biasanya berlaku di tempat yang panas, lembap dan lembut dengan pH kulit yang lebih tinggi seperti di bawah lampin basah, ketiak, leher dan lipatan dada.
  • Jangkitan bakteria: Bakteria tertentu yang merebak daripada orang lain atau persekitaran boleh menyebabkan ruam lampin atau menjadikannya lebih teruk. Jangkitan streptokokus menyebabkan ruam merah terang di sekitar dubur, manakala jangkitan stafilokokus boleh terjadi dalam bentuk kerak kuning, nanah atau jerawat.
  • Alahan: Bayi dengan ekzema atau alahan boleh mengalami ruam lampin selepas terdedah kepada bahan perengsa atau pencetus yang terdapat dalam produk yang digunakan atau yang disapu pada kulit bayi, contohnya, lampin, tisu basah, sabun, losen, minyak, krim, dsb. Ruam yang disebabkan oleh alahan juga boleh berlaku di anggota badan yang lain.
  • Faktor lain: Ruam lampin lebih berkemungkinan untuk berlaku apabila bayi anda mula makan makanan pepejal atau mempunyai perubahan dalam diet. Keadaan kulit lain yang jarang berlaku seperti dermatitis seborea atau psoriasis pediatrik juga boleh muncul seperti ruam lampin.

Urus & cegah

Selain daripada ubatan atau rawatan yang diberikan oleh pakar pediatrik kepada bayi, penjagaan lampin yang baik juga adalah penting.

  • Pilih lampin yang sesuai. Saiz yang betul dan mengikut berat badan bayi akan menentukan padanan yang baik. Penyerapan yang berkesan serta bahan yang lut udara dan lembut adalah beberapa faktor penting dalam memilih lampin untuk kulit sensitif bayi anda. Lampin bebas wangian juga mengurangkan potensi tercetusnya kerengsaan.
  • Kerap tukar lampin. Kebasahan daripada air kencing dan najis menyebabkan ketidakselesaan dan kerengsaan kulit jika dibiarkan terlalu lama. Yis dan bakteria suka tempat yang basah dan hangat. Pastikan anda segera menukar lampin basah, kotor atau penuh.
  • Bersihkan kulit dengan cermat. Bilas punggung bayi dengan air suam semasa menukar lampin. Anda juga boleh menggunakan tisu basah bebas alkohol/wangian atau pencuci bukan sabun untuk membersihkannya. Lap kulitnya dengan lembut menggunakan tuala atau biarkannya kering sendiri, tetapi jangan gosok dengan kasar.
  • Biarkan terdedah. Biarkan sebentar kulit bayi kering dan bernafas secara semula jadi kerana ini juga membantu proses penyembuhan sebelum memakaikannya lampin baharu.

  • Kerap gunakan krim pelindung. Krim ini bertindak sebagai pelindung untuk kulit terhadap air kencing dan najis. Produk yang mengandungi zink oksida atau jeli petroleum adalah bagus untuk tujuan ini. Sapukan lapisan tebal setiap kali menukar lampin.
  • Jangan terlalu ketatkan lampin. Ia akan bergeser pada kulit, menghalang aliran udara dan memerangkap kelembapan, lalu mendatangkan keadaan yang sesuai untuk ruam. Ini penting terutamanya jika lampin akan dipakai semalaman.

Lampin untuk bayi baru lahir

Bayi baru lahir mempunyai kulit yang amat sensitif dan memerlukan penjagaan khas. Bayi yang diberi susu ibu lebih kerap membuang air besar dengan najis yang lebih cair. Ia normal tetapi pasti agak sukar diurus. Oleh itu, lampin bayi baru lahir perlu berupaya menyerap dengan pantas dan cekap. Lampin yang diperbuat daripada bahan organik yang lembut juga membantu mencegah rengsa dan ruam. Lampin yang baik memastikan kulit halus bayi sentiasa sihat dan kekal kering dengan lebih lama!

Perhatian!

Jumpalah doktor sekiranya:

  • Ruam makin teruk atau tidak bertambah baik selepas lima hari rawatan di rumah (dengan krim pelindung, kerap menukar lampin, membasuh dengan air suam dan 5 minit tanpa lampin setiap 6 jam).
  • Ruam merebak ke lipatan kulit di kawasan paha dengan bintik merah seperti jerawat (dipanggil luka satelit) di sempadan ruam.
  • Ruam mula berdarah, gatal, meleleh atau terdapat kudis terbuka.
  • Anak anda demam atau kelihatan sakit.
  • Anak anda seperti kesakitan atau tidak selesa.

Bayi akan sembuh daripada ruam lampin dalam beberapa hari dengan pengurusan awal dan cermat. Namun, kes atau jangkitan yang teruk mungkin memerlukan perhatian lanjut dan ubatan preskripsi. Berbincanglah dengan pakar pediatrik jika anda mempunyai sebarang kerisauan.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen