Sebagai ibu bapa, kita semua sayangkan anak kita, tetapi pernahkah anda terfikir jikalau anda menyampaikan rasa sayang ini dalam cara yang mereka akan balas?
Idea ini, yang dinamakan sebagai ‘bahasa kasih sayang’, tentang cara-cara seseorang menyatakan rasa sayang. Ia dicetuskan oleh sebuah buku berjudul “The 5 Love Languages” tulisan Dr Gary Chapman pada tahun 1995. Buku ini meneroka idea bahawa pernyataan sayang bukan sekadar berkata “Saya sayang kamu”, tetapi juga melibatkan tindakan lain. Ia tidak bermakna tiga perkataan itu perlu disingkirkan, tetapi sebaliknya, anda perlu berinteraksi dengan anak anda bergantung kepada “bahasa kasih sayang” yang lebih responsif baginya.
‘Tak kenal maka tak cinta’ bermakna anda perlu kenal dan fahami anak anda untuk menyayangi dan menghargainya dengan sepenuh jiwa.
Kasih ibu bapa penting dalam membentuk kestabilan emosi, yang menjadi aspek utama perkembangan kanak-kanak, terutamanya pada tahun-tahun awal. Ini akan membantunya dalam hidup pada masa hadapan. Anda boleh menggalakkan perkembangan emosi positif dengan menunjukkan penghargaan, keprihatinan dan kasih sayang kepada anak anda.
Ibu bapa juga perlu berusaha untuk mengenali anak-anak. Ini akan membantu anda merancang bagaimana untuk memupuk tumbesaran dan potensi anak anda. Apa yang anda perlu lakukan adalah memerhatikan perkara yang dilakukannya. Lihat bagaimana dia berhubung dan berinteraksi dengan anda dan dunia di sekitarnya. Perhatikan cara dia bermain dan menggunakan mainannya (cth: patung mainan, kereta, robot, dsb.) – ini boleh jadi klu yang anda perlukan! Anak yang kekurangan kasih sayang dan perhatian (terutamanya jika anda gagal berhubung dengan bahasa kasih sayang yang sesuai) mungkin menunjukkan tingkah laku tidak diingini.
Lima bahasa kasih sayang
Anda perlu mengamalkan kelima-lima bahasa kasih sayang dengan kanak-kanak bawah umur lima tahun, manakala kanak-kanak lebih tua pula selalunya mempunyai satu atau dua bahasa kasih sayang pilihan sendiri. Cuba sesuaikan diri dengan anak anda menggunakan bahasa kasih sayang pilihannya.
1. Sentuhan fizikal
Jika anak anda sering berada berhampiran dengan anda (cth: menyentuh anda, bermain rambut anda, mengambil tangan anda untuk membelai pipinya, memeluk anda, dsb.), ini menunjukkan bahawa sentuhan fizikal ialah cara dia menyatakan sayang. Maka, anda juga perlu menunjukkan sayang anda dengan cara sama. Sentuhan mesra dan lembut boleh digunakan untuk menyatakan sayang, tetapi anda juga perlu memberi penekanan terhadap bahasa kasih sayang yang lain.
Namun, adalah penting untuk mengajar anak-anak tentang perbezaan antara sentuhan baik dan tidak baik, untuk melindungi mereka daripada menjadi mangsa dera fizikal dan seksual. Pn Anisa Ahmad berpesan, “Ibu dan ayah, nenek dan datuk, pak cik dan mak cik, serta abang dan kakak, boleh saling memeluk dan mencium, tetapi ada kawasan yang tidak wajar disentuh. Kita perlu mengajar anak-anak kita mengenainya. Ciuman atau sentuhan pada pipi, dagu, dahi atau tangan boleh diterima, tetapi tidak pada bibir, dada, punggung dan faraj atau zakar.”
“Selain untuk membersihkan najis bayi, ibu bapa juga tidak patut menyentuh kawasan kemaluan anak-anak. Berterus-terang tentang perkara ini dengan anak anda dan bantu dia memahami bahawa tiada siapa boleh menyentuh kemaluannya, serta mengajarnya untuk melaporkan kepada orang dewasa yang dipercayai jika ada sesiapa cuba melakukannya.”
Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) itu juga menasihatkan ibu bapa agar menggunakan nama yang tepat untuk kemaluan, dan tidak menggunakan nama ‘samaran’ seperti bunga, burung, karipap, dsb.
2. Memberi hadiah
Jika anak anda teliti mengenai cara hadiah dibungkus, ingat siapa dan bila sesuatu hadiah diberikan, atau enggan membuang hadiah (walaupun tak diperlukan atau diguna, serta masih berharga baginya walaupun sudah buruk), maka dia pasti gemarkan hadiah sebagai pernyataan sayang.
Terdapat baik dan buruk dalam memberi hadiah. Pertama, jangan terus beri apa saja yang dia mahu setiap kali dia memintanya. Sebaliknya, berikan hadiah sebagai cara menunjukkan penghargaan dan kasih anda, sama ada kerana dia membantu anda atau berkelakuan baik. Ini akan buat dia lebih hargai hadiah itu. Anda juga boleh berikan hadiah ringkas dan mudah dari masa ke masa, untuk menunjukkan yang dia disayangi, seperti pakaian/perhiasan, bunga, makanan/snek kegemaran, malah kad atau hadiah buatan sendiri.
“Selain itu, hargai apa saja yang anak anda berikan kepada anda,” kata Pn Anisa. “Anak perempuan saya memberikan saya kad buatannya sendiri, dan dia amat gembira apabila saya beritahu yang saya sukakannya. Dia terkejut bila mendapat tahu yang saya masih menyimpannya hingga hari ini,” kongsi ibu lima anak ini.
Bukan harga yang penting, tetapi usaha yang ditunjukkan. Memberikan hadiah mahal kepada anak anda tidak akan membuatnya lebih menghargainya. Apa yang lebih penting untuk anda ajarkan kepadanya adalah untuk menghargai setiap hadiah yang diberi.
3. Kata-kata galakan
Anak yang sukakan kata-kata galakan sebagai bahasa kasih sayangnya sering mendengar dan bercakap dengan tekun, dan suka memberi atau menerima pujian. Oleh itu, gunakanlah lebih pujian untuk membantu membina keyakinan anak anda.
Jangan berikan pujian semata-mata untuk memujinya kerana ia mungkin kedengaran tidak ikhlas. Ingat, pujian perlu sentiasa ikhlas dan spesifik. Sebagai contoh, berkata “Awak amat bijak!” atau “Awak anak yang baik!” mungkin kedengaran seperti pujian, tetapi ia tidak spesifik. Agar ia berkesan, anda boleh katakan “Bijak sungguh awak sebab boleh selesaikan teka-teki itu tanpa bantuan!” atau “Awak memang baik sebab tepati janji untuk bersihkan bilik awak.”
“Berikan pujian secara konsisten untuk menggalakkannya membentuk pemikiran positif. Selain itu, elakkan kata-kata atau komen yang menyakitkan kerana ini boleh memberi kesan besar yang berpanjangan ke atas anak anda,” pesan En Hairil Fadzly Md Akir.
Timbalan Ketua Pengarah (Polisi), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) ini juga mencadangkan satu contoh kreatif untuk memuji anak anda: “Bermurah hatilah dalam memberi pujian dan penghargaan terhadap penampilan, budi pekerti atau kelakuan yang baik. Anda juga boleh menulis nota galakan kecil dan meletakkannya di tempat yang dia boleh temui.”
4. Khidmat pertolongan
Satu tanda yang biasa ialah kanak-kanak yang sering meminta anda melakukan sesuatu untuk mereka (cth: mengikat tali kasut, membacakannya cerita, dll.). Namun, kelemahan bahasa kasih sayang ini adalah ia memenatkan dan anda mungkin rasa seperti orang gaji, jadi jangan salah faham dengan konsep ini!
Tujuan utamanya bukanlah agar anda melakukan segalanya untuk anak anda, jadi jelaskan kepadanya bahawa anda tidak akan melakukan semua tugasnya kerana dia masih perlu belajar melakukannya sendiri. Semestinya anda boleh masuk campur untuk membantunya dari masa ke masa.
Adalah penting untuk sedar yang mana lebih efektif, contohnya ada mainannya yang mungkin anda boleh baiki atau kerja sekolah yang mungkin anda boleh bantu dia selesaikan. Kedua-dua tugas memberi anda peluang untuk menukarkannya menjadi aktiviti untuk meluangkan masa berkualiti bersama-sama.
En Hairil, bapa kepada lima anak, menambah: “Antara khidmat pertolongan yang mudah termasuklah menyediakan hidangan kegemaran anak anda, membuat kerja sekolah atau rumah, membina model mainan atau menyelesaikan teka-teki bersama-sama. Yang penting adalah bukan saja meluangkan masa bersama, tetapi juga melakukan aktiviti bersama, dan untuknya. Dia akan menyedari rasa sayang anda dan menghargai masa yang anda luangkan untuknya.”
5. Meluangkan masa berkualiti
Tidak sukar untuk mengenal pasti bahasa kasih sayang ini kerana anak anda akan sering meminta anda bermain dengannya atau memerhatikannya melakukan sesuatu. Anda boleh luangkan masa dengannya dengan membaca bersama, bersiar-siar di taman dan berhubung rapat dengannya.
Ini merupakan asas dalam perhubungan ibu bapa dan anak, tak kira sama ada anda mengikuti teori lima bahasa kasih sayang atau tidak. Malangnya, ramai ibu bapa moden semakin sukar mencari masa berkualiti untuk diluangkan bersama anak-anak.
Datuk Dr Zulkifli Ismail mencadangkan: “Mulakan dengan merancang jadual bagi aktiviti bersama. Bincang dengan anak anda apa yang dia suka. Jika dia suka menyanyi, anda boleh mainkan lagu kegemarannya dan menyanyi bersama. Anda juga boleh perkenalkan aktiviti seperti mendaki atau badminton. Bergilir-gilir ketika memilih aktiviti bersama agar ia sentiasa menarik dan menyeronokkan.”
Pengerusi Program Pengasuhan Positif ini juga mengingatkan: “Tak kira aktiviti apa pun, yang penting ialah anda perlu menumpukan sepenuh perhatian kepadanya. Simpan peranti digital anda, jika tidak anda akan beralih perhatian dan menunjukkan kepadanya bahawa peranti anda lebih penting daripadanya.”
Semuanya untuk berhubung
Kesimpulannya, apa yang penting adalah menggunakan bahasa kasih sayang pilihan anak anda. Jalinkan hubungan rapat seawal mungkin – makin lama anda tunggu, makin sukar untuk memupuk hubungan ibu bapa dan anak yang rapat. Lebih-lebih lagi apabila anak anda sudah mencapai umur belasan tahun dan cenderung untuk memberontak kerana kekurangan perhubungan.
Adalah penting untuk saling menyatakan bahasa kasih sayang pilihan kepada satu sama lain, oleh itu, beritahu secara langsung pilihan masing-masing. Pilihan anak anda akan berubah apabila dia makin membesar dan matang, jadi sentiasa sesuaikan pendekatan anda dalam menyatakan rasa sayang. Lihat bagaimana dia menerima bahasa kasih sayang yang anda gunakan. Contohnya, anak petatih anda mungkin sukakan pelukan sebelum anda meninggalkannya di pusat asuhan, tetapi anak remaja anda mungkin rasa kekok atau malu jika anda melakukan yang sama semasa menghantarnya ke sekolah.
Ingat, beri anak anda ruang dan peluang kerana dia masih perlukan panduan anda. Tujuan utama anda sebagai ibu bapa ialah untuk berhubung dengan anak anda dengan bahasa kasih sayangnya.
Komen