Pengasuhan Positif

Kejutan Yang Tak Diundang

Berbanding kanak-kanak, orang dewasa mempunyai sistem imun yang lebih kuat. Namun, adakah anda tahu yang orang dewasa mungkin membawa virus tanpa disedari? Anda kelihatan sihat secara luaran, tapi anda mungkin membawa pulang penyakit kepada keluarga anda.

Individu seperti ini dikenali sebagai pembawa, iaitu seseorang yang tubuhnya membawa penyakit dan boleh menyebarkannya kepada orang lain. Kaedah penyebaran bergantung kepada jenis penyakit – sama ada melalui udara, air atau sentuhan.

Adakah pembawa berisiko menghidap penyakit? Jawapannya, ya. Ini akan berlaku apabila sistem imunnya tidak dapat bertahan atau telah menurun kerana stres, tidak cukup tidur, atau sebab-sebab lain.

Pembawa asimptomatik pula ialah seseorang yang membawa penyakit itu tetapi tidak menunjukkan apa-apa gejala. Ini bermakna, dia boleh menyebarkan penyakit tersebut tanpa dikesan. Ini boleh membawa akibat yang buruk, kerana pembawa ini pastinya tidak mengambil langkah-langkah untuk mencegah penyebaran penyakit tersebut. Inilah yang terpaksa kita lalui kerana COVID-19, serta kenapa kerajaan mengarahkan Perintah Kawalan Pergerakan untuk mencegah penularan virus tersebut.

Selain COVID-19, terdapat jangkitan lain yang boleh dibawa dan disebar tanpa disedari, terutamanya yang tersebar melalui udara atau titisan cecair pernafasan. Ini termasuklah virus influenza dan bakteria pneumokokus, yang boleh kita cegah. Kuman punca penyakit ini mungkin tersembunyi di tekak pembawa dan boleh tersebar dengan setiap nafas, hembusan, batuk, bersin atau semasa bercakap dengan orang lain.

Vaksin menyelamatkan nyawa

Vaksin untuk strain influenza aktif boleh didapati secara tahunan. Vaksin pneumokokus pula dirancang untuk disertakan ke dalam Program Imunisasi Kebangsaan kerana penyakit ini mempunyai kadar kematian yang tinggi serta menyebabkan pelbagai komplikasi.

Penyakit pneumokokus disebabkan oleh bakteria Streptococcus pneumoniae. ‘Bahaya tersembunyi’ penyakit ini bukan hanya kerana komplikasinya, tetapi juga kerana sesiapa sahaja dengan mudah boleh menjadi pembawa asimptomatik dan menjangkiti orang tersayang.

Bakteria ini disebarkan melalui titisan pernafasan daripada mulut atau hidung. Namun, ujian makmal mendapati bahawa bakteria ini masih boleh bertahan lama pada permukaan objek. Ini bermaksud, selain penyebaran melalui titisan, terdapat kemungkinan untuk seseorang dijangkiti daripada punca permukaan yang terdedah atau tercemar oleh bakteria.

Bahaya pneumo!

Kenapa pneumokokus perlu diambil serius?

  • Mudah tersebar antara individu.

  • Menyebabkan pelbagai komplikasi yang mengancam nyawa, cth: pneumonia, septisemia, meningitis, jangkitan telinga tengah, sinusitis, bronkitis.

Perlindungan untuk semua

Vaksinasi penting untuk mereka yang berisiko, namun ahli keluarga yang lain juga patut mempertimbangkan untuk divaksin. Anda tidak tahu sekiranya anda ada berhubung dengan seseorang yang merupakan pembawa, oleh itu, langkah pencegahan haruslah diambil.

Maka, pilihan terbaik untuk tujuan ini semestinya vaksinasi, kerana ini membantu tubuh anda membina keimunan terhadap penyakit itu, walaupun anda pernah menghidapinya dahulu.

Siapa yang berisiko?

  • Bayi & kanak-kanak kecil
  • Warga tua
  • Orang yang lemah sistem imunnya

Pastikan anak anda selamat

Mencegah lebih baik daripada mengubati – rujuk pakar pediatrik anak anda tentang pilihan vaksinasi yang ada. Memberi anak anda vaksin boleh mencegah penyakit, namun vaksinasi tidak menjamin perlindungan yang sempurna. Masih terdapat kemungkinan kecil untuk dia dijangkiti penyakit pneumokokus, tapi gejalanya akan lebih ringan berbanding seseorang yang tidak divaksin.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen